DI ANTARA tanda tanda orang Sufi ialah
hendaknya dia bersih dalam kata katanya dan
perbuatannya dan gerak gerinya daripada
daki daki bahaya bahaya nafsu, akhlak dan
dunia. Dan juga bersih lintasan hatinya
daripada debu debu pengingkaran
(penentangan) terhadap Allah taala dan
mengalihkan pandangannya daripada Allah
kepada selain Dia.
Juga di antara tanda tandanya lagi, hendaklah
dia berada dengan jiwanya seperti tanpa ada
jiwa, dan bersama makhluk tanpa ada
makhluk, dan dengan hati tanpa ada hati,
dan dengan ehwalnya tanpa ada ehwal, dan
dengan waktu tanpa ada waktu. Hanya
hendaklah ia menjadi lurus di atas hamparan
perintah Allah, menundukkan diri di bawah
keagungan Allah, mencukupi dan tidak
memerlukan lagi kepada yang lain selain
Allah saja. Hatinya tersiksa oleh perasaan takut
akan terputus dan terbiar. Dan batinnya
tersiksa oleh perasaan bimbang akan terjauh
dan terhalang. Jiwanya bercahaya dengan
Nur Khidmat, hatinya bercahaya dengan
Nur Cinta, dan batinnya bercahaya dengan
Nur Makrifat.
Lagi, di antara tanda tandanya, hendaklah
hatinya berterbangan dengan sayap sayap
rindu, segala anggotanya lurus berdiri di atas
landasan benar dengan Tuhan Yang Benar dan
kerana Tuhan Yang Benar, dan bersedia untuk
menunggu dengan penuh kesabaran, dan
dengan penuh patah hati, menghadapkan
keseluruhan diri kepada tuan punya diri itu,
dengan meninggalkan penolehan daripada
Tuhan kepada segala yang dimiliki Tuhan,
dengan melarikan diri dari manusia kerana
terlampau keinginan untuk merasakan
kelazatan kemesraan dengan Tuhan
semesta alam.
Bila kembali ia kembali kepada Tuhan Yang
Benar, bila bergantung ia bergantung kepada
Tuhan Yang Benar, dan bila menetap ia hanya
dengan Tuhan Yang Benar, tanpa menoleh
daripadaNya kepada makhlukNya.
Hatinya sentiasa rungsing, bicara ala kalam
samawi, ilmunya ilmu ketuhanan, hematnya
hanya keseorangan, kehidupannya hanya
kerohanian, takdir baginya takdir kenuranian
dan maksud dalam hatinya hanya keesaan
semata.
Kesemua kemahuannya adalah bergantung
di bawah kemahuan Tuhannya yang disembah,
sentiasa bersyukur kepada Allah secara terang
terangan dan secara kebatinan, supaya
mengelakkan diri terjatuh ke dalam lautan
kufur nikmat, sentiasa mengingati Allah dengan
hati dan lisan pada setiap waktu dan keadaan
untuk mengelakkan diri tersebut di dalam
jurusan kelupaan.
Dia sentiasa tahu bahawa Tuhan sedang
memandangnya, dan dari atas ketinggian
menjaganya, jadi dia fana (mati) di bawah
keagungan pandangan Tuhan, bersatu dengan
keseluruhan dirinya di bawah kesempurnaan
KudratNya, memendam kesucian waktunya
di dalam lautan kekurniaanNya dengan
membelakangi semua keenakan dan kemanisan
selain dari keenakan dan kemanisan cinta
kepada Tuhannya.
Dia sentiasa lurus atas kebenaran perhambaan
tanpa melihat siapa yang diperhambakan diri
kepadaNya, hatinya kosong dari segala syughul
selain kepada Allah dengan penuh tawakkal
dengan hati kepada Allah, selalu merendah
diri terhadap kaum yang beriman, sentiasa
berdiri di atas hamparan kedukacitaan,
sehinggalah datang kepadanya rasa keyakinan,
yakni maut, dengan memperoleh keampunan
dan keredhaan.
Lisan seperti sama dengan hatinya, dia
sentiasa benar dalam tutur katanya dan
perbuatannya, bukan seperti disifatkan Allah,
dalam firmanNya: "Mengapa kamu mengatakan
apa yang kamu sendiri tidak melakukan?"
( As Shaf : 2 )
Bersedia bersyukur atas nikmat yang sedikit,
bersabar di atas cubaan yang banyak, redha
dengan takdir Rabbul Izzah ( Tuhan Yang Maha
Perkasa), sentiasa mengawasi hati terhadap
Allah dengan bukti.
Dia tidak takut selain Allah, dan tidak
mengharap selain kepada Allah, dan tidak mahu
kecuali Allah, kerana dia mengetahui bahawa
tiada yang memberi mudharat atau manafaat,
tiada yang mengangkat dan menolak, tiada
yang memuliakan dan menghinakan, melainkan
Allah Yang Esa, yang tiada sekutu bagiNya.
Sentiasa menjejaki perjalanan Nabi pilihan
Muhammad saw dan mencontohi kelakuannya
dan perjalanan para Sahabatnya.
Sentiasa bimbang daripada keburukan
kesudahan, sentiasa syughul diri dengan Tuhan
yang mentakdirkan ketika manusia ramai
syughul dengan takdir, selalu syughul dengan
Tuhan yang mentadbirkan, manakala manusia
ramai syughul dengan apa yang ditadbirkan,
duduk atas hamparan khidmat dengan penuh
malu, bersandar di atas kasur kefakiran dan
kepapaan, memerhatikan lingkungan lingkungan
kedekatan dan kelihatan, meminum dengan
gelas kemesraan dan kecintaan, selalu
memanjangkan diamnya, menahan marahnya,
mengalahkan syahwatnya, menjauhi
kerehatannya tanpa menoleh terhadap apa
yang dikerjakan oleh hatinya kepada Allah itu
Hidup pastikan aman tenteram dunia wal akhirat kalau saja kita selalu bertafakur untuk mengingat Allah dan mengingat kehidupat akhirat, minimal 5 menit dalam sehari semalam
Rabu, 10 Mei 2017
Pesanan Seorang Guru - Beribadatlah
Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.
Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa.
Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan.
Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu.
Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya.
Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.
Wahai saudaraku,
Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia.
Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan.
Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya.
Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia.
Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.
Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan.
Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut.
Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri.
Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri.
Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat.
Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.
Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu.
Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi.
Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.
Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui.
Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu.
Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga
tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD.
Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan.
Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat.
Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin.
Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”.
Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.
Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat.
Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi.
Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik.
Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah.
Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul.
Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya.
Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya.
Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.
WaLlahu ‘alam.
Langganan:
Postingan (Atom)