Laman

Jumat, 16 Maret 2018

KESEMPURNAAN DIRI SEORANG HAMBA ....


Kalimah “HAMBA” merujuk kepada makna TIADA DIRI.
Apabila kita melafaz kalimah AKU HAMBA MU YA ALLAH memberi makna “AKU TIADA HANYA ENGKAU YANG ADA”, segala apa yang ada pada kita adalah tiada pada hakikatnya, segalanya hak atau milikNya jua.
Kita bukan berkongsi dengan ALLAH akan segala apa yang ada, kita hanya pemegang amanah sahaja. Merasai ada diri atau memiliki hak disisi ALLAH, maka ia belum mencapai hakikat seorang HAMBA yang sebenar.

RASULULLAH ﷺ datang menyedarkan insan bahawa dirinya adalah HAMBA pada PENCIPTA YANG AGUNG yakni ALLAH, maka hendaklan menyerah sepenuhnya padaNYA yakni TIADA DIRI MU atau HAK MU disisi TUHAN MU.

Hanya DIA YANG “AHAD”, selain darinya tiada lain melainkan adalah wujud pantulanNYA jua.
Diri pantulan atau bayang tiada miliki wujud yang sebenar, hakikat yang wujud adalah DIRI YANG MEMANTULKAN ATAU TUAN PADA BAYANG-BAYANG tersebut.

Tauhid ialah “menyatu” HAMBA dan TUHANnya yakni tiada lagi wujud, kuasa, ilmu, hayat, kudrat, iradah, melihat, mendengar, berkata-kata, kekayaan, kebijaksanaan dan lainnya melainkan Hak Diri ALLAH jua.

Apabila sudah benar menyatu yakni hilang hak kita hanya hak DIA, maka benarlah engkau adalah hambaNYA dalam solat, ibadah, hidup dan mati…
Menurut Imam Ja’far ash-Shadiq, sebagaimana dicatat oleh Imam al-Ghazali dalam Al-Ihya’, juga oleh Syaikh Abdul Qadir Jailani dalam Fath ar-Rabbani, menyatakan bahawa penghambaan (ibadah/ubudiah) sejati mengharuskan tiga perkara:

(1) Seorang hamba menyedari bahawa apa saja yang ada pada dirinya bukan miliknya, tetapi milik Tuannya (Allah SWT);

(2) Seorang hamba senantiasa taat dan tunduk tanpa membantah sedikit pun kepada Tuannya (Allah SWT) dalam perkara apa saja yang Dia titahkan kepada dirinya; dan

(3) Seorang hamba tidak membuat aturan sendiri selain aturan yang telah Tuannya (Allah SWT) tetapkan untuk dirinya.

Justeru barangsiapa yang masih merasai hak atau pemilikan diri, ilmu, ibadah, kebaikan, kudrat, iradah dan lainnya, maka mereka belum mencapai hakikat HAMBA walau ilmunya bagaikan lautan dan ibadahnya mengalahkan malaikat.

Maka carilah HAMBA dalam pengajian, ibadah, amal kebaikan, berguru, berdakwah dan berjihad… ia adalah gol atau tujuan diri mu dicipta dan diperintah beribadah.
Ilmu adalah untuk ibadah, ibadah adalah kaedah untuk mencapai (darjat) HAMBA. Jika ibadah tidak mencapai HAMBA, maka ibadah tersebut sia-sia sahaja kerana tiada mencapai tujuan yang dikehendaki.
Walid Al-Malik

Siapakah Yakjuj dan Makjuj Tanda Besar Kiamat?

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa dan saat kedatangan hari kiamat hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui , semua makhluk samaada malaikat, manusia dan jin tidak tahu bila saat datangnya hari kiamat.
Walaubagaimana pun Nabi SAW dalam hadis sahih ada menjelaskan tanda-tanda awal dan tanda-tanda besar kiamat akan berlaku dahulu sebelum kedatangan hari kiamat. Sebagai seorang muslim mukmin kita wajib percaya dan beriman kepada berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.
Lalu Nabi SAW. bersabda:
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat 10 tanda-tanda besar akan berlaku dimuka bumi, dan setelah iannya berlaku maka akan datanglah hari kiamat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
1. Asap (dukhan) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit seperti selesema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
3. Dabbah, binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Pada saat itu Allah SWT tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
5. Turunnya kembali Nabi Isa a.s. Baginda akan mendukung pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan baginda akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian, membunuh babi dan baginda juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan keluar dari Yaman.
Huraiannya :
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.
Perbincangan kali ini kita cuba fokus kepada perkara ke 6 tanda-tanda besar kiamat iaitu
"Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj" yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
Sahabat yang dimuliakan,
Allah telah berfirman: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu. (Surah Fussilat 41: 53)
Allah menceritakan kisah lelaki itu (Zulkarnain) seperti firman-Nya dalam surah itu: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya’. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: ‘Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka’. Berkata Zulkarnain: ‘Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya’.” (Surah Al-Kahfi ayat 83 hingga 87)
“Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,” (Surah Al-Kahfi ayat 89 dan 90).
Yakjuj dan Makjuj tinggal di antara dua gunung :
"Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka (Zulkarnain) tidak dapat memahami perkataan. "(Surah Al-Kahfi ayat 93)
Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di bumi :
"Mereka berkata: 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?'." (Surah Al-Kahfi ayat 94)
Zulkarnain telah menahan Yakjuj dan Makjuj :
"Dia menjawab: '(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya'. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya."(Surah Al-Kahfi ayat 95 - 97)
Yakjuj dan Makjuj akan keluar kembali :
"(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: 'Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar'.". (Surah Al-Kahfi ayat 98)
Yakjuj dan Makjuj turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi :
Dikhabarkan di dalam Al Quran bahawa Yakjuj dan Makjuj akan turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
"(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): "Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al-Anbiyaa’ ayat 96 - 97)
Hadis Nabi SAW :
Dinding Zulkarnain menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka :
Dari Zainab binti Jahsy : Bahawa Rasulullah bangun dari tidurnya sambil bersabda: "Laa ilaaha illallah, celakalah orang-orang Arab kerana suatu bencana akan terjadi, iaitu hari ini dinding menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka sebesar ini. Dan Sufyan (perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh (membuat lingkaran dengan jari telunjuk dan ibu jari). Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita semua akan binasa padahal di antara kita banyak terdapat orang-orang soleh? Baginda menjawab: "Ya, jika banyak terjadi kemaksiatan." (Hadis Riwayat Muslim)
Selain dari berita Yakjuj dan Makjuj dalam Al-Quran, terdapat banyak
hadis yang kuat membicarakan mengenai kaum ini. Namun ulama berbeza pendapat mengenai ciri-ciri kaum ini.
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj ialah bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah. Ada pendapat lain menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj berasal dari bangsa Tartar dan Monggol, dan lokasi tahanan mereka adalah di kawasan pergunungan Caucasus yang luas. Kebanyakan ulama menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah dengan tembok yang dibina oleh Zulkarnain.
“Tugas kaum Yakjuj dan Makjuj ini ialah mengorek tembok tersebut untuk tembus ke muka bumi tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan tembok tersebut sehinggalah hampirnya hari kiamat. Bila hampir kiamat, Allah mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj Makjuj bebas ke permukaan bumi. Peristiwa ini menjadi salah satu daripada 10 tanda besar kiamat. Yakjuj dan Makjuj akan muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Kaum Yakjuj dan Makjuj akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan mereka.
“Nabi Isa a.s. memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Kemudian baginda berdoa ke hadrat Allah lalu Allah membinasakan kaum Yakjuj dan Makjuj dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan mereka hingga mati. Selepas kaum Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat-mayat itu daripada muka bumi.
“Ulama juga cenderung berpendapat bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj berasal dan di kurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran Ayat 90 Surah Al-Kahfi yang menyebut bahawa Zulkarnain sampai “di tempat terbit matahari” iaitu timur dunia.
Kaum Yakjuj dan Makjuj ini hebat, tiada siapa yang mampu menewaskan mereka, dan mereka hanya binasa dengan kekuasaan Allah.
“Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan kebimbangan baginda kerana pada zaman baginda, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan jari telunjuk.
Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj? Dari sumber Al-Quran dan Hadis, ternyata bahawa mereka ini adalah dari bangsa manusia. Jelasnya, mereka adalah anak-anak Adam juga. Mereka adalah dari keturunan Yafits bin Nuh a.s.
Yahjuj dan Makjuj adalah amat kuat dan gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh
manusia di muka bumi. Diriwayatkan juga bahawa mereka ini punya muka yang lebar, mata kecil, rambutnya kelabu keputihan dan muka mereka adalah seperti perisai yang ditutupi oleh kulit. (Musnad Ahmad).
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj cuba menggali atau memecahkan tembok Zulkarnain hinggalah mereka sampai ke peringkat bila mana mereka sudah nampak cahaya di luar sana. Kemudian mereka pulang dengan berkata “Esok kita akan dapat membolosinya”. Tapi Allah telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk asalnya menyebabkan mereka terpaksa menggalinya sedari mula. Proses ini berterusan hari demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini terkepung. Bila Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari mereka menggali itu mereka berkata “InsyaAllah, esok kita akan dapat membolosinya”. Pada esoknya mereka akan dapati tembok itu berkeadaan sebagaimana mereka
telah tinggalkan hari semalam, dan setelah memecahkan bakinya itulah
mereka akan keluar (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah).
Sahabat yang dikasihi,
Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu hampir dengan kiamat..
Ada pendapat yang meneliti dengan lebih terperinci. Sheikh
Hifzur-Rahman dalam “Stories of the Quran” telah menuliskan bahawa “Yakjuj Makjuj melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di kawasan yang luas, dan kerana gangguan mereka ini, banyak tembok dan dinding telah dibina di zaman dan tempat yang berlainan oleh raja-raja zaman silam. Ada empat yang paling terkenal:
1) Tembok Besar China, dibina oleh Raja China 3,460 tahun selepas Nabi Adam a.s.
2) Tembok di Asia Tengah berhampiran Bukhara dan Tirmidh, di tempat bernama Derbent.
3) Tembok di Degistan Rusia, juga dikenali sebagai Derbent berhampiran Laut Caspia.
4) Tembok yang berada di bahagian barat Derbent di Degistan Rusia itu, iaitu di kawasan Caucasus.
Beliau berpendapat oleh kerana tembok-tembok di atas dibina untuk tujuan yang sama (melindungi rakyat dari gangguan kaum yang ganas) maka amatlah sukar untuk menentukan secara tepat di manakah sebenarnya tembok yang dibina oleh Zulkarnain. Allama Anwar Shah Kashmiri dalam bukunya Aqeeda-tul-Islam berpendapat bahawa tembok Zulkarnain berada di kawasan Caucasus. Allama Aloosi pula berpendapat bahawa kedudukan tembok Zulkarnain tidak dapat diketahui secara tepat, dan besar kemungkinan ia sebenarnya berada jauh di sebalik gunung-ganang yang dipisahkan oleh laut yang luas.
Menurut satu pendapat mereka (Yahjuj dan Makjuj) adalah terdiri daripada suku bangsa Scythian iaitu suku kaum di Mongolia (Xiongnu, Mongol dan Tartar) dan juga suku kaum di wilayah selatan Russia (Khazar, Aryanomad, Hun Alan). Mungkin orang akan tertanya-tanya iaitu kenapa pada waktu ini masyarakat di sana tidak sedikit pun membuat kekacauan terhadap dunia? Menurut pendapat para pengkaji Islam, Yakjuj dan Makjuj sebenarnya adalah manusia biasa (cucu-cicit Nabi Adam) Jadi kesimpulannya, kehidupan Yakjuj dan Makjuj pada masa kini adalah sama sahaja seperti kita iaitu mempunyai pegangan agama, patuh pada undang-undang negara dan sebagainya.
Untuk pengatahuan semua, masyarakat Mongol dan Khazar (Yakjuj dan Makjuj) sejak turun temurun lagi mengamalkan corak pemakanan yang amat bebas. Mereka akan makan apa sahaja yang mereka mahu seperti ulat, anjing, kucing, labah-labah, katak, ular, kura-kura, daun pokok, usus beruang dan lain-lain (sumber: National Geographic). Kesan daripada corak pemakanan bebas yang diamalkan oleh bangsa ini telah menyebabkan keadaan mereka menjadi agak berlainan sedikit berbanding bangsa-bangsa yang lain. Sifat mereka dikatakan agak sensitif dan tubuh badan mereka pula jauh lebih kuat berbanding bangsa lain tetapi mudah dihinggapi penyakit.
Cuba bayangkan betapa dasyatnya malapetaka akhir zaman kelak (harap ia tidak lagi berlaku semasa hayat kita ini). Ketika bangsa Yakjuj dan Makjuj telah memunculkan dirinya, dunia ketika itu dikatakan baru sahaja hampir pulih daripada kesan tanda kiamat besar yang pertama iaitu kemunculan asap dukhan yang menyelubungi timur dan barat bumi. Asap itu dikatakan akan mengakibatkan orang kafir (tidak berpuasa dan solat) boleh menghidapi penyakit radang manakala orang yang beriman (yang bersolat dan selalu berpuasa) pula hanya menghidapi penyakit selsema sahaja. Asap dukhan itu dikatakan akan menyelubungi bumi dalam tempoh masa yang agak lama, kemungkinan besar asap itu datangnya dari meteor yang akan terhempas ke bumi (wallahualam).
Menurut sumber rujukan, pada akhir zaman kelak segala kecanggihan teknologi akan musnah sama sekali. Segalanya adalah berpunca daripada kesan asap dukhan yang menyelubungi dunia ketika itu (tanda kiamat yang pertama) dan orang kafir pula banyak yang akan mati akibat dari perperangan, wabak penyakit serta kebuluran. Asap dukhan itu dipercayai akan merosakkan segala hasil pertanian dan penternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi kurang! Ini adalah kerana, asap dukhan itu akan menghasilkan hujan asid yang berlarutan sehingga membawa kepada ketandusan dunia. Lihatlah hadis di bawah ini:
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan datang hari kiamat sehingga hujan turun secara merata kepada manusia tetapi bumi tidak menumbuhkan tumbuhan sama sekali” (Hadis Riwayat Ahmad 3:140)
Kesimpulannya. Setelah membaca berbagai sumber hadis dan pendapat ulama di atas tadi, semakin jelaslah pada kita semua bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Mereka ini dikatakan berjumlah begitu ramai, umur mereka pun panjang-panjang, membolehkan mereka beranak-pinak begitu ramai sebelum mereka mati. Mereka juga dikatakan begitu kuat dan hebat, hinggakan seluruh manusia di bumi tidak terdaya mengalahkan mereka. Namun mereka akhirnya akan mati bergelimpangan akibat serangan “ulat”.
Walaupun mereka ini hebat dan kuat (hampir pasti juga mereka ini berteknologi canggih), mereka tidak dapat memecahkan tembok Zulkarnain menggunakan segala kepakaran dan teknologi yang ada selagi Allah tidak mengizinkan.Selain daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, segala pendapat dan huraian mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah pendapat dan pandangan ulama dan pakar-pakar dan pengkaji sejarah, semoga Allah SWT memberi rahmat dan pertolongannya dan mengampunkan jika berlaku kesilapan mengenai perkara ini. Segala yang benar itu datangnya daripada Allah SWT, waullahualam.
Sahabat yang dihormati,
Kehadiran Yakjuj dan Makjuj pasti akan berlaku di akhir zaman seperti yang dijelaskan daripada hadis diatas. Semua ini adalah ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dimuka bumi. Sesiapa yang beriman dan bertakwa dan istiqamah diatas jalan Islam maka mereka semua akan selamat, sebaliknya apabila manusia kufur kepada ayat-ayat Allah SWT, melakukan dosa dan maksiat maka manusia akan menanggung akibat daripada keingkarannya kepada Allah SWT. Mohonlah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi daripada fitnah hidup dan mati, fitnah al-Mashi Dajjal, kejahatan Yakjuj dan Makjuj dan azab sengsara dan kerosakkan kehidupan di akhir zaman.

Segala Peristiwa Yang Berlaku di Muka Bumi Semuanya di Atas Kehendak Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibnu Abbas berkata :”Pada suatu hari, aku di belakang (dibonceng) Nabi SAW. Baginda bersabda :”Hai anak muda, aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat : Jagalah (agama) Allah, nescaya Allah akan menjagamu, jagalah (agama) Allah, nescaya Allah selalu bersamamu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Ketahuilah, jika seluruh manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberikan madarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberikan madarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan hadis ini jelaslah kepada kita bahawa Nabi SAW telah memberi beberapa pengajaran untuk fahami, dihayati dan di amalkan iaitu :
Pertama : Jagalah (agama) Allah, nescaya Allah akan menjagamu
Kedua : Jagalah (agama) Allah, nescaya Allah selalu bersamamu.
Ketiga : Jika kamu meminta , mintalah kepada Allah.
Keempat : Jika kamu memohon pertolongan , mohonlah pertolongan Allah
Kelima : Jika semua manusia berkumpul untuk memberi manfaatkepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu.
Keenam : Jika mereka berkumpul untuk memberi mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberi mudarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering.
Huraiannya :
Pertama : Jagalah (agama) Allah, nescaya Allah akan menjagamu
Kedua : Jagalah (agama) Allah, nescaya Allah selalu bersamamu.
Nabi SAW memberi jaminan bahawa sekiranya kita menjaga agama Allah SWT, iaitu menuntut ilmu agama, memahaminya, mengamalkan dan menyampaikannya kepada orang lain maka Allah SWT akan menjaga kita dan akan sentiasa bersama dengan kita. Kita sentasa akan terpelihara daripada bala dan musibah, diberi kekuatan untuk berisitiqamah dan mengamalkan Islam dalam kehidupan.
Jika kita gunakan diri, harta dan masa kita untuk dikorbankan demi membantu agama Allah maka Allah akan membantu kita dan memberi balasan syurga.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan diri dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga” (Surah At Taubah ayat 111)
Ketiga : Jika kamu meminta , mintalah kepada Allah.
Keempat : Jika kamu memohon pertolongan , mohonlah pertolongan Allah
Jika kita mengharapkan sesuatu bantuan dan pertolongan maka mintalah kepada Allah SWT kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Maha Kaya dan mengkabulkan doa dan permohonan para hamba-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) : 'Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka mendapat petunjuk".
(Surah al-Baqarah ayat 186).
Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah SWT akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah SWT.
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.
Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah SWT dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan kerana sesungguhnya setiap doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT samaada cepat atau lambat.
Kelima : Jika semua manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu.
Keenam : Jika mereka berkumpul untuk memeberi mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberi mudarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering.
Jika semua manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberi mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberi mudarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering.
Jelaslah disini bahawa untuk mendatangkan manfaat atau mudarat kepada seseorang maka semuanya adalah dengan izin Allah SWT. Manusia tidak memiliki apa-apa kuasa dan pengaruh. Jika manusia berusaha untuk memberi manfaat kepada orang lain maka jika berjaya itu adalah kerana bersesuaian dengan kehendak Allah SWT, begitu juga sebaliknya jika manusia ingin mendatangkan mudarat kepada seseorang sedangkan ianya tidak sesuai dengan ketetapan Allah SWT maka manusia akan gagal sama sekali.
Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”
Allah SWT berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)
Sahabat yang dimuliakan,
Manusia boleh merancang untuk mendatangkan mudarat kepada orang lain dengan memfitnah dan berkonspirasi untuk menjatuhkan seseorang muslim yang lain dengan berbagai-bagai cara samaada dengan membawa saksi palsu, membuat sumpah palsu dan mengemukakan bahan bukti yang di dimanipulasi secara tipu muslihat. Perlu diingat Allah SWT Maha Adil dan akan mengkabulkan doa hamba-Nya yang dizalimi, difitnah dan di aibkan maka Allah SWT mampu mengubah hati manusia (para hakim) supaya berlaku adil di saat-saat akhir. Maka semuanya berlaku dengan izin Allah SWT dan mengecewakan golongan fasik yang cuba menegakkan kebatilan dan membenarkan tuduhan palsu tanpa membawa saksi -saksi yang adil mengikut kehendak syarak.
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah SWT berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tabrani - sanad hasan)
Ingatlah segala kebatilan dan kepalsuan akan kalah dan keadilan dan kebenaran akan datang dan ini adalah tanda pertolongan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dizalimi dan akan mendatangkan azab kepada golongan fasik yang membuat kerosakan di muka bumi.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita dengan menjadi pembela agama Allah SWT di dunia ini , menegakkan keadilan kerana Allah SWT dan berdoa dan bertawakal hanya kepada-Nya. Ingatlah segala amalan dan perbuatan kita di dunia ini semuanya akan di hisab dan di nilai oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Jika kita melaksanakan sesuatu mengharapkan pangkat dan harta dunia dengan melakukan fitnah dan dosa besar maka tanggunglah akibatnya di hari akhirat nanti tetapi jika kita melakukan kebaikan dan amal soleh mengharapkan keredaan Allah SWT maka pasti kita akan mendapat kenikmatan dan syurga seluas langit dan bumi akan disediakan oleh Allah SWT.

Syafaat Nabi s.a.w dan Keadaan Peghuni Syurga Dari Ahli Neraka


Sahabat yang dirahmati Allah,
Ketika berada di Padang Mahsyar semua manusia berada didalam kegelisahan yang amat sangat kerana lamanya masa berada disini sebelum berlakunya timbangan amalan masing-masing. Nabi s.a.w menceritakan di dalam hadisnya seperti berikut :
Dari Anas bin Malik r.a., ia berkata : “Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Allah mengumpulkan manusia pada hari kiamat, maka mereka berkata : “Seandainya kita mohon syafa’at kepada Tuhan kita, sehingg Tuhan memberikan kelonggaran kepada kita ditempat kita”
lalu mereka datang kepada Adam dan berkata : “Engkaulah yang telah diciptakan Allah dengan tanganNya, Dia meniupkan ruh Nya padamu, dan Allah telah memerintahkan Malaikat, sehingga mereka sujud kepadamu, maka mohonlah syafa’at untuk kami di sisi Tuhan kami”.
Ia menyebutkan kesalahan-kesalahannya dan berkata : “Datanglah kepada Nuh, seorang Rasul pertama yang diutus oleh Allah”.
Lalu mereka datang kepada Nuh, maka Nuh menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -dan ia menyebutkan kesalahannya itu- datangilah Ibrahim yang mana Allah menjadikannya sebagai kekasih !”,
lalu mereka datang kepadanya, maka ia menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -dan ia menyebutkan kesalahan- datangilah Musa yang telah diajak bicara oleh Allah !”.
Lalu mereka datang kepadanya, maka Musa menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -ia menyebutkan kesalahannya- datangilah Isa”,
lalu mereka datang kepadanya, maka ia menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu, datangilah Muhammad saw. yang telah diampuni dosa-dosanya yang telah terdahulu dan yang terkemudian !”.
Lalu mereka datang kepadaku, dan aku minta izin kepada Tuhanku. Ketika aku melihat Nya aku sujud dan Tuhan meninggalkan aku sesuai dengan apa yang dikehendakiNya, kemudian diserukan : “Angkatlah kepalamu, mintalah perantara maka kamu akan diberi dan berkatalah maka akan didengar, mohonlah syafa’at maka akan diberi svafa’at,”
Kemudian aku mengangkat kepala dan memuji Tuhan dengan pujian yang telah diajarkan kepadaku, lalu aku mohon syafa’at, maka Aku membatasinya kepadaku,
lalu aku mengeluarkan mereka dari Neraka dan aku memasukkan mereka ke Syurga, kemudian aku kembali dan sujud seperti itu, pada yang ketiga atau keempat kalinya, sehingga yang ada di Neraka itu hanyalah orang-orang yang telah dicegah oleh Al Qur’an.”
(Hadis Riwayat Bukhari).
Dari Humaid, ia berkata : Aku mendengar Anas r.a. berkata : Saya mendengar Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila hari kiamat tiba, Aku diberi syafa’at, kemudian aku berkata : “Wahai Tuhan, masukkanlah ke Syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi”. Maka mereka masuk, kemudian aku berkata : “Masukkanlah ke Syurga orang yang didalam hatinya ada sedikit- dikitnya sesuatu”.
Maka Anas r.a. berkata seolah-olah saya melihat jari-jari Rasulullah s.a.w.
(Hadis Riwayat Bukhari).
Dari Abu Said Al Khudri r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Allah memasukkan penghuni Syurga ke Syurga, Dia memasukkan orang yang di kehendakiNya dengan rahmat-Nya dan memasukkan penghuni Neraka ke Neraka, kemudian Dia berfirman maksudnya : “Lihatlah orang yang kamu sekalian dapati di dalam hatinya iman seberat biji sawi, maka keluarkanlah ia”.
Kemudian mereka dikeluarkan dari Neraka seperti arang, mereka telah terbakar maka mereka dilemparkan di sungai hidup (Nahrul hayat), lalu mereka tumbuh di dalamnya, sebagaimana biji-bijian itu tumbuh di tanah yang dibawa banjir, tidaklah kamu melihatnya, bagaimana ia tumbuh dengan kuning emas”.
(Hadis Riwayat Muslim).
Dari Abu Sa’id r.a., ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Adapun penghuni Neraka yang memang jadi penghuninya, mereka itu tidak mati dan tidak hidup, akan tetapi orang-­orang yang masuk Neraka, kerana dosa-dosa mereka,” atau baginda bersabda : “Kerana kesalahan-kesalahan mereka, maka Allah mematikan mereka dengan benar-benar mati, sehingga mereka menjadi arang, ia diberi izin untuk diberi syafa’at, mereka didatangi dengan berkelompok-kelompok kemudian mereka di sebarkan di sungai Syurga. Lalu dikatakan : “Wahai penghuni Syurga berangkatlah bersama mereka, kemudian mereka tumbuh seperti tumbuhnya biji-bijian di tanah yang dibawa banjir. Seseorang berkata : “Seolah-­olah Rasulullah s.a.w. ada di perkampungan”.
(Hadis Riwayat Muslim).
Dari Abdullah bin Mas’ud ra., ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Sungguh aku mengetahui penghuni Neraka yang paling akhir keluar dari Neraka dan penghuni Syurga yang paling akhir masuk Syurga. Yaitu orang laki-laki yang keluar dari Neraka dengan merangkak, kemudian Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi berfirman kepadaNya : “Pergilah, dan masuklah ke Syurga”.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Maka ia datang ke Syurga dan terbayang olehnya bahwa Syurga itu sudah penuh, lalu ia kembali dan berkata : “Wahai Tuhan, saya mendapati Syurga itu penuh”. Kemudian Tuhan berfirman kepadanya : “Pergilah, dan masuklah ke Syurga. “
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Maka ia datang ke Syurga dan terbayang olehnya bahwa Syurga itu sudah penuh, lalu ia kembali dan berkata : “Wahai Tuhan, saya mendapati Syurga itu penuh”.
Kemudian Tuhan berfirman kepadanya : “Maka ia datang ke Syurga”, dan di bayangkan olehnya bahwasanya Syurga itu penuh. Lalu ia kembali dan berkata : “Wahai Tuhan, saya mendapati Syurga itu penuh”.
Kemudian Tuhan berfirman kepadanya : “Pergilah dan masuklah ke Syurga”.
Sesungguhnya bagimu seperti dunia dan sepuluh kalinya”, atau bagimu sepuluh kali dunia”.
Rasulullah s.a.w bersabda : “Maka ia berkata : “Apakah Engkau mentertawakan aku, sedangkan Engkau Raja”. Ibnu Mas’ud berkata : “Sungguh aku melihat Rasulullah s.a.w. tertawa sehingga tampaklah gigi taringnya”. Baginda bersabda : “Maka dikatakan : “Itulah penghuni Syurga yang tempatnya paling bawah”.
(Hadis Riwayat Muslim).
Dari Abu Sa’id Al Khudri ra., ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila Allah menyelamatkan orang-orang Mukmin dari Neraka, dan mereka beriman, maka seseorang diantaramu tidak mendebatkan hak sahabatnya di dunia lebih keras dari pada perdebatan orang-orang Mukmin dengan Tuhan mereka bagi saudara-saudara mereka yang dimasukkan ke Neraka”.
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Mereka berkata : “Wahai Tuhan kami, saudara-saudara kami solat bersama kami, berpuasa bersama kami dan haji bersama kami, namun Engkau memasukkan mereka ke Neraka”. Lalu Tuhan berfirman : “Pergilah kalian dan keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal diantara mereka”, maka orang-orang Mukmin datang kepada mereka, lalu mengetahui rupa-rupa mereka kerana Neraka tidak memakan rupa-rupa mereka. Diantara mereka ada orang yang telah dibenamkan di Neraka sampai pertengahan betisnya dan diantara mereka ada yang dibenamkan sampai kedua mata kakinya. Lalu orang-orang Mukmin mengeluarkan mereka, kemudian mereka itu berkata : “Tuhan kami, kami telah mengeluarkan orang-orang yang telah Engkau perintahkan kepada kami”, Lalu Allah berfirman : “Keluarkanlah orang-orang yang didalam hatinya ada iman seberat dinar, kemudian orang-­orang yang di dalam hatinya ada iman seberat setengah dinar, kemudian orang yang didalam hatinya ada iman seberat biji sawi”.
Abu Sa’id berkata : “Barang siapa yang tidak membenarkan hal ini maka bacalah ayat ini :
“INNALLAAHA LAA YAZHLIMU MITSQAALA DZARRATIN WA INTAKU HASANATAN YUDLAA­’IFHAA WAYU’TI MILLADUNHU AJRAN ‘AZHIIMAA “
Maksudnya :"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendakiNya, barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa besar"
(Surah An Nisa’ ayat 48).
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa kemuliaan yang diberikan Allah s.w.t kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai kekasih-Nya akan memberikan syafaat dan pertolongan kepada semua umat manusia ketika di Padang Mahsyar untuk dipercepatkan proses timbangan amal dan Nabi s.a.w dengan syafaatnya juga boleh mengeluarkan penghunu Neraka untuk masuk ke Syurga (untuk mereka yang ada iman walaupun sebesar biji sawi).
Di dalam hadis di atas ada menceritakkan bagaimana orang Mukmin ahli Syurga boleh membantu sahabatnya yang memasuki Neraka dengan diberikan syafaat oleh Allah s.w.t. Oleh itu perbanyakkanlah bersahabat dengan orang alim, orang berilmu dan soleh supaya ia akan teringatkan kita dan memberi pertolongan di saat genting di hari akhirat nanti.

Keistimewaan dan Kebaikan Hari Jumaat


Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Jumaat adalah hari hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud : "Apabila diseru untuk bersembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah serta tinggalkan jual beli. Inilah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui".
(Surah Jumaah ayat 9)

Dalam ayat itu, Allah melarang manusia bekerja dan berusaha untuk kepentingan dunia sebaik ia mendengar seruan azan solat Jumaat. Larangan ini menggambarkan bahawa menunaikan fardu Jumaat penting dan wajib dikerjakan.
Dalam hadis lain Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar disisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.
Pada hari Jumaat kita disunatkan pergi ke masjid awal,sekurang-kurangnya sebelum tergelincir mata hari. Ini kerana pada setiap hari Jumaat, Allah mengutus malaikat berdiri di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang masuk. Apabila khatib naik ke mimbar, berhentilah mereka mencatatnya.

Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk kesaf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang. Apabila masuk masjid, hendaklah kita solat dua rakaat tahayattul masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah.
Sebaik-baiknya hendaklah ia solat di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia sedang solat. .Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah nasihat itu untuk diri kita dan berazamlah untuk melaksanakan segala nasihat tersebut.

Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah. Larangan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:"Sesiapa yang berkata kepada temannya sedangkan imam masih berkhutbah: Dengarlah! Maka dia telah lalai, dan barang siapa yang lalai pada waktu imam sedang berkhutbah maka tiada Jumaat baginya."
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Setiap hari-hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. hari Jumaat adalah hari yang paling istimewa daripada hari-hari lain. Terdapat enam keistimewaan hari Jumaat iaitu :

1. Berlakunya hari kiamat.
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat”.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari Syurga.
Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam a.s. diciptakan, dan hari ini jugalah baginda diturunkan daripada Syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya : “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari Syurga.”

3. Penghulu segala hari.
Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat di namakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
Daripada Abdullah bin Amr berkata sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
Jadi, sama-samalah kita berdo'a moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t.

5. Kebaikan menjaga kebersihan dan memotong kuku.
Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yangsebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

6. Makbulnya do'a di antara dua khutbah.
Majoriti ulama' berpendapat bahawa makbulnya do'a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo'a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do'anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.”
(Hadis riwayat Tarmizi).
Abi Burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda maksudnya :
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta."
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu."
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas."

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam , " dan
"Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.
Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.
“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.”

(Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tarmizi).
Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam antaranya adalah :

1.Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari kiamat.
Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata : Rasululah s.a.w. telah bersabda maksudnya :
"Tidaklah daripada seorang Muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur".
(Hadis Riwayat Tarmizi)

2. Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo'akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

3. Waktu solat subuh membaca surah al-Sajdah dan surah Al-Insan.

4. Selesai solat Jumaat : Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas

5. Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat

Firman Allah Dalam Al-Quran maksudnya :
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (nabi)".
(Surah Al-Ahzab, ayat 56)

6. Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.

7. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang."

8. "Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar."

9. "Mereka yang berdo'a dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah."