Laman

Kamis, 24 Oktober 2013

Berbaik sangka


P2010067Hari ini pagi-pagi aku dan isteri telah keluar rumah, ada temu janji dengan seorang pengusaha tekstil dan ketua sebuah pertubuhan solat dari Indonesia, yang baru tiba ke Malaysia. Dia dan seorang lagi rakannya menginap di sebuah hotel di Puchong. Tapi kami hanya bertemu dengan pengusaha itu  kerana yang seorang lagi itu ada urusan lain.

Bapak ini berumur 57 tahun tapi masih kelihatan gagah dan tidak nampak tua. Beliau seorang pengusaha tekstil di Solo dan mengeksport tekstil ke Eropah. Tujuan utamanya kami  berjumpa beliau adalah untuk menayakan peluang-peluang perniagaan antara Kuala Lumpur dan Solo.

Bagaimanapun beliau bercerita juga  tentang patrap dan menghampirkan diri kepada Allah dan di samping itu berjaya dalam perniagaanya di dunia.

Secara ringkas yang dapat ku ingat akan ku catatkan di sini.

Beliau berkata yang paling penting adalah berbaik sangka dengan Allah dan jangan ragu-ragu sedikitpun terhadapnya, jikalau ada keraguan Allah akan menjauh daripada kita.  Lakukan saja apa yang ada dalam intuisi mu dan analisisnya kemudiankan saja. Ini sesuai dengan sebuah hadis yang pernah menyebut mulakan sesuatu itu dengan tangan  kanan,  padanya yang dimaksudkan tangan kanan itu adalah otak kanan, di mana letaknya intuisi atau ilham,  bahasa Tuhan dengan manusia. Mulakan sesuatu pekerjaan itu dengan penuh keyakinan dan sandarkan kejayaannya kepada Allah, kerana Allah itu amat dekat. 

Katanya,  pejamkan mata kamu, tapi kamu masih nampak saya dalam mata hati kamu,  saya masih ada di sini. Begitulah kita dengan Allah, Dia sentiasa ada bersama kita. Serba ke Allah dan Pasrah lagi kepada Allah.

Saban hari begitu ramai orang meminta kepada Allah, umpamanya dalam solat ’tunjukkan  aku jalan nan lurus’  ini kalau tidak silap disebut sebanyak 17 kali dalam lima solat fardu setiap hari, tapi malangnya  tidak ada tindakan yang dilakukan untuk itu,  hanya memohon, memohon dan memohon tiada tindakan, jadi  bagaimana sesuatu itu akan berlaku. Perlulah melakukan sesuatu dengan bersangka baik terhadap Allah  insyaalah hasilnya akan positif.

Perkara-perkara yang negatif seperti gangguan jin, saka itu jangan difikirkan, kerana ia akan mengganggu perjalan kita kepada Allah, itu sebabnya kita disuruh berzikir mengingati Allah,  supaya benda-benda lain tidak dapat masuk ke dalam hati kita. Pasrah sahaja kepada Allah. Di samping itu solat adalah anugerah Allah yang paling berharga kepada kita, cuba fikirkan, solat tidak bolih ditinggalkan walaupun kita sakit, walaupun kita terbaring di atas katil kerana sakit, tiba waktu solat, kita harus solat. Tapi kalau ibadah lain seperti puasa jikalau kita tidak upaya ia boleh dikadakkan. Solat itu adalah mikraj nya orang mukmin.

Berdoalah kepada Allah, “Aku bermohon menjadi saksi agar anak-anak ku berjaya dan diberkati di dunia dan di akhirat”  Berdoalah ketika kita sakit, Ya Allah izinkan aku memakai Kekuasaan Mu dan mohonlah agar sakit itu disembuhkan Allah. Insyaallah penyakit kita akan sembuh. Penyakit itu umpama gangguan jin yang menghalang kita dalam perjalanan kita kepada Allah.

Secara kasarnya umat islam ini ada tiga kumpulan,  iaitu kumpulan kanan, kumpulan kiri, dan kumpulan tengah. Kumpulan kiri menuju ke neraka, kumpulan kanan menuju ke syurga dan kumpulan tengah menuju Allah. Oleh itu sentiasa saja berzikir dan menuju kepada Allah,  jangan difikirkan kiri dan kanan.

Sampaikan yang kita mahukan kepada Allah selepas itu tenang dengan yakin ia telah diterima Allah, dan hasilnya terpulang kepada Allah, sudah pasti positif.

Jangan berteori sahaja tetapi perlulah beramali, orang dulu-dulu tidak banyak teori tetapi amali, amali akan menimbulkan keyakinan. Insyallah.

Ya Allah,……Berkatilah aku dan terimalah aku di sisimu ya Allah.

Mengapa… ya


P5080441Kadangkala kita terfikir juga, jika segala-galanya berasal dari Allah, sedangkan Allah itu adalah kebaikan dan tiada yang buruk datang dari NYA, mengapa kejahatan, sihir, gangguan jin, penyakit dan sebagainya wujud di dunia ini.

Dari manakah semua keburukan itu datang,  adakah dari Allah atau dari diri kamu sendiri. Tapi selalu kita dengar, bijak pandai sering berkata,  yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu daripada kamu sendiri. Benarkah begitu, jikalau tidak benar, masakan cerdik pandai berkata begitu.

Keburukan itu sebenarnya berpunca daripada ketidakfahaman kita terhadap kehendak Allah, Allah berfirman aku jadikan manusia itu untuk beribadah kepada ku, tapi sangat ramai yang tidak mahu beribadah kepada NYA, (tapi ingat ibadah pun bertingkat-tingkat bukan hanya puasa dan sedekah sahaja), yang ramainya adalah yang mahu meminta-minta kepada Allah. Minta rumah besarlah, kereta mewahlah  dan sebagainya.

Sebenar kebahagian itu tidak payah diminta-minta  jika kita sentiasa mematuhi kehendaknya, tapi masalahnya ramai yang tidak tahu apa yang Allah mahukan daripada kita. Kita memberikan apa yang kita sangka apa yang Allah mahukan daripada kita, tetapi jelas itu bukan apa yang Allah mahukan daripada kita, buktinya kita sakit, kita sangsara, kita menderita dan sebagainya.

Kita sering berkata ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah, tetapi ibadah itu kita lakukan untuk diri kita sendiri. Kita boleh menipu orang ramai, tapi mampukan kita menipu Allah,  yang maha mengetahui, dan tidak satu pun yang tersembunyi daripada NYA.

Segala sesuatu yang wujud di dunia ini adalah daripada Allah, oleh kerana itu segala sesuatu yang terdapat di dunia ini hendaklah dikendalikan kerana Allah. Kejahatan, keburukan, penderitaan, dan gangguan makhluk halus itu adalah kerana sesuatu yang kita dikendalikan itu  bukan kerana Allah, tetapi kerana diri kita sendiri.

Secara amnya kejahatan, pendertitaan dan sebagainya itu adalah kerana penyalahgunaan kuasa oleh kita sendiri, kita berbuat sesuatu kerana diri sendiri bukan kerana Allah.

Oleh itu salahkanlah diri sendiri jangan salahkan Allah.

Alam


P1300005Manusia diberikan Allah dengan tiga zaman, yang secara umumnya dapat disebut sebagai Alam (zaman) Ruh, Alam Dunia dan Alam Akhirat. Zaman Dunia terbahagi pula kepada tiga kumpulan,  Alam Rahim (ibu), Alam kehidupan dunia dan Alam Barzah. Sementara itu pula Alam Akhirat terbahagi kepada Alam Masyar, Alam Hisab (perhitungan), Alam Mizan (timbangan), Alam Siratul Mustaqim dan akhir sekali alam akhirat (pada satu zaman tapi dimensi yang lain pula).

Yang dimaksudkan dengan dimensi yang berlainan adalah seperti di Alam dunia, kita mempunyai alam kehidupan di dunia, seperti berjasad, bekerja dan melakukan sesuatu, sedangkan alam barzah adalah pada zaman alam dunia juga, tetapi dimensi yang berlainan kerana pada alam barzah, kita tidak lagi mempunyai jasad kasar,

tetapi kerana kedua-duanya pada zaman yang sama maka manusia tertentu, yang diizinkan Allah dapat melihat alam barzah, seperti banyak cerita yang kita dengan tentang pengalaman orang koma, yang sadar kembali dan menceritakan pengalaman yang dilaluinya semasa koma, atau orang yang merasai sendiri pengalaman di alam kubur, orang yang disahkan telah mati tetapi hidup kembali kerana ajalnya masih belum sampai.

Ini hanya segelumat dari perbendaharaan Allah, tetapi walaupun sedikit, sudah  cukup untuk menyadarkan bagi mereka yang tersentuh hatinya….

Pembebasan


solat di tanggaJikalau dirimu (ego) masih ada, kamu belum masuk dalam makam kehambaan, kamu hanya menyembah diri sendiri dan syaitan, dan sebenarnya kamu tidak menyembah Tuhan.

Begitulah selama hati berada dalam kendalian syaitan dan nafsu, maka tempat penyembahan al-Hak dan tentera-tentera Ilahi terampas, peribadatan kepada al-Hak tidak terwujud di sana,  bahkan segala peribadatan kamu  menjadi untuk syaitan dan nafsu.

Sejauh kamu keluar dari tentera-tentera syaitan, maka kamu akan memasuki wilayah-wilayah kekuasaan tentera-tentera Ilahi, sampai terjadi tiga penaklukan atau kemenangan seperti berikut:

1. Al-Fath al-Qarib (Penaklukan atau kemenangan dekat).

Penaklukan wilayah-wilayah dengan mengusir tentera-tentera syaitan,  dan hasilnya adalah manifestasi Tauhid Perbuatan (at-Tauhid al-Af’ali). Firman Allah (QS ash-Shaff:ayat: 13). Pertolongan Allah dan kemenangan yang dekat.

2. Al-Fath al-Mubin (Penaklukan atau kemenangan yang nyata)

Penaklukan Kabah Hati dengan mengeluarkan syaitan-syaitan pembisik dari hati. Firman Allah (QS al-Fath:ayat 1): Kami telah memberikan kepada kamu penaklukan yang nyata.

3. Al-Fath al-Muthlaq (Penaklukan atau kemenangan mutlak)

Ini melampau ritual-ritual lahiriah dan meleburkan takyunat-takyunat (pembatasan-pembatasan) yang nyata dan ghaib,…  Kesatuan dalam Keesaan. Firman Allah (QS an-Nashr:ayat:1): Jika datang pertolongan Allah dan kemenangan.

Hasil daripada ketiga-tiga kemenangan itu, …  maka  terbukalah seluruh Kekuasaan Ilahi dan … pemberian anugerah  kepada kamu.

Kembali


Kita ini semuanya berasal dari Allah, maka kembalilah kepada Allah, bukan ke surga atau neraka, bak kata-kata bijak pandai “dari asal balik ke asal, dari tanah balik ke tanah”. Kalau  difikir-fikirkan kita pun hairan kerana ramai sangat yang hendak balik ke surga, dan tidak seorang pun yang ingin pergi ke neraka, .. pelik kenapa pelik.. kerana kita bukan berasal dari surga, tetapi berasal dari Allah maka kembalilah kepada Allah.

Apabila berlaku kematian, kita sering mendengar orang berkata “Sesungguhnya kami datang dari Allah maka kepada Allah kami kembali”, tetapi apa yang diucapkan di lisan tidak sama apa yang tersemat di hati,…. hati bermaksud masuklah ke dalam surga Firdaus, nikmatilah kesenangan-kesenangan yang terdapat di dalam surga.

Kita harus memperbetulkan matlamat, kita berasal dari Allah maka kembalilah semuanya kepada Allah… semuanya zahir dan batin.. diri hujung rambut sampai ke hujung kaki, … jangan satu pun yang tinggal, termasuk diri yang batin… semua pembatasan. 

Semuanya kembali kepada NYA.

Apabila kesadaran ini telah diperolehi, maka itu bagi orang sufi disebut “Maqam laa maqam”  (Maqan yang tiada maqam).

Dengan itu, kembalilah kepada Alllah semasa hidup lagi di dunia, jangan tunggu setelah jasad dimasukkan ke dalam kubur, baru ingin ketemu dengan Allah.

MasyaAllah…

Sanubari atau Nurani


solat di kutub

solat di kutub

Kalau kita berkata tentang hati, kadangkala kita naik rimas, kenapa?… kerana terlalu banyak istilah yang  menyangkut dengan hati. Seperti baik hati, hati mulia, hati suci, hati pemurah dan tidak kurang pula lawannya seperti hati busuk, hati berdendam, hati khianat dan sebagainya.

Secara kasarnya sifat-sifat hati adalah positif dan hati negatif, … hati positif yang bersifat atau berkiblatkan langit manakala hati negatif,  yang berkiblatkan  dunia atau bumi.

Hati yang manakah yang boleh kita buat panduan atau ikuti nasihatnya,…., sudah pasti hati positif, tapi bagaimnakah kita hendak mengetahui bilakah itu hati itu bersifat positif atau bersifat negatif.

Secara amnya hati itu adalah …. Hati Sanubari dan Hati Nurani.

Hati Sanubari bersifat negatif, … seperti gundah- gulana, risau, tergesa-gesa, berdendam dan sebagainya, … jikalau sifat-sifat negatif ini ada, … jadi jangannlah mengikut nasihat hati itu, …kerana ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekecewaan. Hati ini berkiblatkan dunia, nafsu dan syaitan.

Hati Nurani pula adalah hati yang telah disinari cahaya Ruh, ia bersifat tenang, hening, tenteram, damai dan secara kasarnya bersifat positif, ..hati yang semacam inilah yang perlu diikuti apabila  ia memberikan nasihat, …. nasihatnya dalam bentuk  ilham, gerak hati, intuisi dan sebagainya. Hati ini berkiblatkan Ruh dan penciptanya, sudah pasti  Allah. Ikutilah hati ini apabila ia memberikan nasihat, pasti bermanfaat dan mensucikan.

Maka oleh itu,…  hati-hatilah jangan tersalah pilih…

 

Salam ……

About these ads

Penyaksian


telur & sarang 

Syuhud adalah pandangan yang tidak ada keraguan di dalamnya, apa yang dilihat itu adalah benar-benar KEBENARAN. … yakin dengan sebenarnya,  jikalau masih ada ragu-ragu gemerlapan cahaya yang dilihat itu bukanlah Nur Ilahi.

Sementara itu, apabila disebut musyahadah, .. ia bermaksud kehadiran Al Hak JUGA TANPA ragu-ragu… suatu KEBENARAN tanpa ragu-ragu, itulah penyaksian dengan HATI NURANI atau RASA …Musyahadah bi Dzauki.

Penyaksian Al Hak tidak dapat digambarkan, dibayangkan dan dilukiskan kerana DIA , …. TIADA SUATU PUN YANG MENYERUPAINYA, ia adalah Dzat Wajibal Wujud, yang ada sendirinya, apabila DIA ADA, yang lain TIADA.

Bagaimanappun,  DIA hadir pada seseorang Salik, dengan Cahaya Keagungan Ilahi yang membias pada cahaya hati salik tersebut.. atau sesiapa saja yang dikehendaki NYA.  Dan salik yang telah mampu melihat NYA  atau merasakan KEHADIRANNYA telahpun melampaui makam Takwa, …tetapi hadir dalam KEESAAN.

DIA hanya dapat diRASAKAN atau diILIHAT DENGAN MATA HATI,  (siapa yang belum merasa belum ketemu), dan hanya itulah kemapuan manusia ataupun ruh melihat Tuhan. Kita mampu merasakan KEBERADAAN atau KEHADIRAN NYA,… tanpa mampu melihat wujud NYA.

Hanya dengan anugerah NYA sahaja yang dapat melihatnya, bukan dengan usaha sendiri…. TIADA DAYA DAN UPAYA..

MasyaAllah

Saksi


solat

Banyak yang tidak percaya Allah dapat dilihat di dunia ini, mereka percaya DIA dapat dilihat hanya di akhirat nanti,,.. tetapi ingatlah firman Allah,  “Sesiapa yang buta di dunia ini, di akhirat kelak akan lebih buta”, (QS Al Israk 17:72), ….bagaimanapun melihat itu bukan dengan mata kepala tetapi dengan Mata Hati, …..RASA. 
Perbicaraan tentang hakikat dan makrifat ini adalah sesuatu yang berat bagi jiwa-jiwa yang belum tercerahkan oleh Nur Illahi, …Nurun ala Nurin.. (Cahaya di atas Cahaya),  bagaimanapun ia perlu dilakukan kerana ia adalah fitrah manusia, …. matlamat manusia dilahirkan ke dunia ini untuk Mengenal Allah,… yang belum tercerahkan itu, jangan tergesa-gesa, mohonlah kepada Allah, kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang.
Tuhan dapat disaksikan atau dirasakan (dengan Mata Hati) oleh indera perasa yang dimiliki oleh Ruh Qudus, yang ada  pada setiap Insan Kamil, … yang telah merdeka daripada nafsunya. Indera perasa ini dinamakan sebagai SIR atau Rahasia,…sebagaimana firman Tuhan, “ Manusia itu Rahasia KU, dan AKU adalah Rahasia NYA”.
SIR inilah yang dapat berkomunikasi atau menangkap signal-signal Tuhan, … untuk sampai ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah, terlalu banyak ranjau dan duri yang perlu diharungi dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Tidak semua yang menempuh jalan ini yang berjaya, tetapi hanya mereka yang mendapat pertolongan  daripada Allah.
Di dalam agama Islam mereka yang berjaya mencapai makrifat di sebut Syahid, … kerena mereka telah mati dalam perjalanan itu, tetapi bukanlah mati jasad, bahkan “Mati sebelum Mati”,…  manakala bagi kaum Sufi ia disebut “Wusul” (sampai).
Setelah menyaksikan Tuhan haruslah menepati janji yang telah diucapkan, ..(Syahadah: Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Rusul itu Pesuruh Allah), …Mulut dan Hati yang berjanji, manakala amal Perbuatan kita pula pihak yang melaksanakan janji,……
Allah itu Tuhan kerana adanya Manusia……

Bersama mu jua


Cahaya
Cahaya

Allah itu tidak terpisah oleh jauhnya jarak dan tidak terikat oleh ruang dan waktu. Jauhnya tidak berjarak, dan dekatnya tidak bersentuhan. Sungguh Maha Halus dan Allah meliputi segala sesuatu, sehingga tidak disedari bahawa Allah sentiasa meliputi dan menyertai sesiapa pun di mana jua mereka berada, ….dekat sekali bahkan lebih dekat dari urat leher.

Ketika KESADARAN itu telah timbul pada seseorang,  maka pastilah ia tidak mencari-cari atau menghadirkan Allah lagi. Bagaimana Tuhan akan dapat dicari, sebab  Tuhan tidak jauh dari dirinya, dan Tuhan tidak tersembunyi dari dirinya.  Bagaimana mungkin ia dapat menghadirkan Tuhan. Sedangkan Tuhan sentiasa Qadim, bahkan Tuhan sangat Maha Hadir di mana saja seseorang itu  berada. Allah  sentiasa bersamanya  dimana saja dia  berada tidak kira siang atau malam.

Apakah daya kekuatannya  sehingga dia dapat menghadirkan Tuhan,   walhal dia  TIADA DAYA DAN UPAYA…

Kesadaran,… ya tentu sekali KESADARAN yang  dapat merubah jiwanya  untuk merasakan kehadiran Allah yang meliputi segala sesuatu, dalam gerak mahupun diam, dalam tangis mahupun tawa, dalam sedih mahupun gemira, dalam sakit mahupun sihat, dalam ibadah mahupun di luar ibadah, dan sebagainya….

Sungguh sangat mesra, dia yang telah tumbuh KESADARAN yang demikian, yang selalu bahagia bersama Tuhannya pada setiap waktu dan ruang dan kesadaran…

MasyaAllah….

Makrifat


sinar 

 

Makrifat adalah suatu topik yang sangat sukar untuk difahami, banyak orang tidak mengerti tetapi beranggapan faham,.. mereka beranggapan ilmu makrifat itu adalah Makrifat. Ilmu tidak sedikitpun menyentuh Makrifat, kerana apa,… kerana ilmu adalah yang berkaitan dengan alam. …alam yang dijadikan Tuhan dan alam bukan Tuhan.

Sedangkan Makrifat adalah yang bersangkutan dengan Dzat Allah Yang Mutlak, iaitu Tuhan Semesta Alam. Sungguh jauh perbezaannya, contohnya orang yang mempunyai ilmu tentang kereta, sebut saja tentang kereta ia sangat faham tentang kereta,..tetapi malangnya dia sendiri tidak ada kereta, hendak pergi ke mana-mana pun terpaksa sewa teksi atau bas.

Beginikah yang dikatakan Makrifat, tentu sekali tidak…Makrifat adalah berkaitan dengan pengalaman, hal, dzauk,..tetapi bukan yang berkaitan dengan ilmu.

Seseorang yang bermakrifat, yang sungguh-sungguh dalam  Makrifatnya kepada Allah, bukan sekadar teori semata, tetapi telah benar-benar meresapi Makrifat itu, …. malahan telah menjadi SATU dalam pandangan Tauhid.

Maka,  jika mereka mati, sesungguhnya mereka tidak mati, tetapi mereka hidup di sisi Allah dan mendapat Rahmat Nya.

Allah mengharamkan cacing-cacing dan ulat-ulat tanah daripada memakan jasadnya yang telah dikuburkan itu, …walaupun telah dikuburkan beratus-ratus tahun,  jasadnya masih tetap tidak binasa, malahan masih seperti baru dikebumikan. Segar tidak hancur dan tidak mengalami perubahan, kelihatan seperti orang yang dilamun mimpi indah dalam tidur.

Sebahagiannya yang lain mendapat Rahmat Tuhan, dengan apa yang disebut “terbang burung terbang sangkar”,  …. jasad dan ruh mereka kembali kepada Tuhan yang dikasihinya.

HAI JIWA-JIWA NAN TENANG  KEMBALILAH KEPADA TUHANMU DENGAN REDA DAN MEREDAI

MasyaAllah

Ad Dzahir

Makam Rasulullah
 

Dzat Tuhan merupakan Wujud Mutlak, yang tidak terjangkau oleh akal fikiran,  perasaan,  khayalan dan panca indera.

Dzat adalah sebagai aspek Batin segala yang maujud, yang kelihatan di alam raya ini,  kerana Tuhan adalah Yang Maha Meliputi segala sesuatu.

 

Bagaimanapun Dzat ini juga yang Dzahir, Yang Nyata, Yang Kelihatan, tetapi IA tidak dapat hendak dikatakan atau disifatkan, …mengapa?  kerana ia tidak

terjangkau oleh akal fikiran.

 

Apabila segala sesuatu yang kelihatan ini menjadi Fana, maka Yang Batin telah menjadi Yang Dzahir, Yang Dzahir atau Yang Hidup itu meliputi segala sesuatu.

DIA lebih nyata daripada sekeliah alam yang kelihatan ini, dan DIA lah menggerakkan dan mengatur segala sesuatu.

 

Maka sembahlah Yang Dzahir bukan alam atau makhluk…

MasyaAllah.

Ghaib


indah 

Tuhan adalah sesuatu yang ghaib, yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala dan dirasai oleh panca indera.  Jikalau demikian bagaimana kunci untuk sampai kepadaNya?

Sesuatu yang ghaib, maka untuk sampai kepadaNya perlukan jalan yang ghaib pula, ….iaitu melakukan hubungan dengan alam ghaib. Untuk melakukan hubungan dengan alam ghaib tidak perlu pergi bertapa ke dalam hutan, gua, gunung atau ke tepi pantai dan sebagainya.

Bahkan dalam kesebukan harian dalam keramaian,…  hubungan ini boleh dilakukan… yang diperlukan ialah keheningan Qalbu. Seseorang itu harus mampu mengheningkan Qalbunya dalan kesebukan yang dilaluinya.

Keheningan ini adalah perbatasan antara alam nyata.. iaitu alam yang kita duduki sekarang ,.. dan alam ghaib. Dalam keheningan inilah signal-signal dari alam ghaib dapat ditangkap,….yang berupa ilham, ilmu laduni  dan sebagainya…

MasyaAllah…

Sang Pencinta



msaiSeorang pencinta akan berusaha sedaya upaya untuk mencari apa yang dicintainya. Begitu juga mereka yang mencintai Allah. Segala usaha ditumpukan untuk memahami tentang kekasihnya,….Allah. Mereka pergi berguru, banyak bertanya dan membaca dan sebagainya. Ini semua adalah kerana ransangan ingin tahu, ingin mengenal diri dan mengenal Allah. Mereka berpegang kepada phrasa-phrasa atau ayat-ayat tersentu, ….seperti Allah itu lebih dekat dari urat leher,.. ke mana sahaja kamu hadapkan wajahmu di situ ada Wajah Allah, …tiap-tiap sesuatu itu akan lebur kecuali Wajah Allah, ….tidak bergerak sesuatu zarah kecuali dengan izin Allah.

Dan banyak lagi kata-kata yang seumpama itu,… yang mendorong mereka berusaha mencari Allah, yang amat mereka kasihi. Seorang pencinta adalah seorang kekasih nan sejati.  Apabila pencinta mula mencari Allah,  maka janganlah berputus asa, kerana bayak ranjau duri yang akan ditempuhi di dalam perjalanan. Hanya mereka yang cekal,… insyallah akan berjaya. Tetapi walaupun pahit,  bagaimana seksa sekali pun,  ia perlu dilaksanakan kerana inilah fitrah sang pencinta,…. untuk mengenal Allah,… di dunia ini,  semasa masih hidup bukan setelah mati.

Pada suatu ketika nanti dalam perjalanan nan suci itu,  sang pencinta  akan mengetahui bahawa tiada jalan atau kenderaan yang dapat digunakan untuk mencapai kekasih yang dikasihi,….Allah.  Dengan itu pencinta tidak akan lagi bersandar kepada ilmu yang diperolehinya,… atau amal yang telah dilakukannya sekian lama. Apatah lagi untuk bersandar kepada ilmu dan amalan orang lain, …. walaupun martabatnya kelihatan tinggi dari pandangan matanya.

Apabila telah sampai ke tahap ini, sang pencinta itu perlu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, bagaikan kayu mati dibawa arus sungai,… tiada daya dan upaya,.. hanya upaya arus sungai.

Datanglah kepada Allah tanpa ilmu, tanpa amal, tanpa diri, tanpa makrifat,  tanpa segala sesuatunya,

……..kecuali Allah semata-mata.

MasyaAllah…

Prasangka


Lubang jepun 


Allah berfirman: Sesungguhnya Aku menurut prasangka hambaku.

Sesuai dengan itu dipaparkan kata-kata seorang ahli Makrifat…. dalam bentuk pengajaran..

Tolong ambilkan aku buah pohan di sana itu.

Seseorang menjawab: Ini dia buahnya yang mulia.

Belah dualah buah itu.

Sudah terbelah yang mulia.

Apakah yang kamu lihat?

Saya melihat biji yang amat kecil.

Belah dualah salah satu daripadanya.

Sudah terbelah yang mulia.

Apakah yang kamu lihat di dalamnya?

Tidak ada suatu apapun yang mulia.

Ahli Makrifat berkata:

Yang Halus, yang tidak kelihatan itu ialah yang hidup. Yang tidak kelihatan itu, yang sebenarnya lebih kelihatan. Dari Yang Halus itulah sebenarnya Yang Ada. Yang daripadanya sekelian ini terjadi. Itulah kenyataan yang sejati, dan pandanglah dengan keheningan Hakikat, engkau akan melihat biji benih itu tumbuh bergerak menjadi besar, sel-sel tersusun, menjadi akar, menjadi batang, menjadi ranting, menjadi daun, menjadi bunga berwarna merah, dan menjadi buah.

Lalu mati, terurai menjadi zat-zat yang tergabung dengan alam sekitarnya. Itulah zarah atau atom-atom yang bergerak mengikut Yang Hidup dan Yang Abadi. Yang menggerakkan segala sesuatu, menghidupkan dan mematikan. Engkau akan melihat kenyataan sebenarnya bahawa segala benda hanyalah mengikut gerak, sehingga ia bergerak,…. mengikuti gerak, sehingga ia bergerak mengikut Yang Hidup sehingga ia hidup.

Apabila engkau menfanakan keberadaan alam ini, maka engkau akan melihat Yang Batin itu menjadi Yang Ad Dzahir, Yang Hidup itu meliputi segala sesuatu…..

Dia lebih nyata daripada apa yang kelihatan…

 MasyaAllah

Pulang ke Allah


lubang jepang 

Hai jiwa-jiwa nan tenang kembalilah kepada Ku (Allah) dengan reda dan diredai, maka masuklah hamba Ku, masuklah ke dalam surga Ku. (QS Al Fajr 89:27-30).

Sebenarnya untuk kembali kepada Allah itu sangat mudah,.. semudah memejamkan mata atau menarik nafas. Setiap saat pun kita boleh kembali kepada Allah. Di mana sahaja kita boleh kembali kepada Allah, hanya yang diperlukan adalah keyakinan, keikhlasan dan kerelaan.

Kita tidak perlu mempunyai ilmu yang banyak,  bahkan tanpa ilmu pun kita boleh kembali kepada Allah. Tetapi nampaknya kita tidak percaya untuk kembali kepada Allah itu sangat mudah, Kita tidak menerima bahawa kembali kepada Allah  itu pekara mudah, oleh itu kita mencari pelbagai ilmu,  yang sesungguhnya telah menghijap kita dari perjalanan kita menuju Allah. Ilmu itu adalah hijab,  pada satu ketika ilmu itu harus ditinggalkan untuk sampai kepada Allah.

Sekali lagi, malangnya kebanyakan orang tidak percaya kembali ke Allah itu mudah. Mereka dihijab ilmu, untuk sampai kepada Allah mesti mempunyai ilmu yang banyak,  contohnya mesti lulus ilmu Kalam, ilmu  Wahyu dan pelbagai macam ilmu lagi. Mereka ini lah orang-orang yang telah terhijab oleh ilmu, jikalau mereka tidak sadar mereka tidak akan maju,… untuk sampai kepada Allah.

Di zaman Rasullulah dahulu, tidak adapun pelbagai ilmu yang ada seperti sekarang.  Umat di zaman Rasullulah diberikan kefahaman tentang Tawakal, Yakin, Ihsan, dan Reda…… dan kebanyakan mereka telah berjaya kembali kepada Allah semasa mereka masih hidup lagi, ….semasa mereka masih berjasad lagi.

Kembali kepada Allah bukan dengan amal, bukan dengan ilmu, bukan dengan apa-apa pun, cukuplah hanya dengan Penyerahan Diri dan Kerelaan untuk kembali kepada Allah. Allah lah yang akan memperjalankan kita, …  kita hanya berserah diri kepadan Nya,  … selanjutnya mengikut apa yang dikehendaki Nya.

Allah tidak perlukan ilmu kita, amal kita, harta kita,…. tetapi ia mahukan Kerelaan kita, …. Penyerahan Diri kita kepadanya secara keseluruhannya.

Sememangnya, Allah tidak terjangkau oleh akal fikiran dan imaginasi,… tetapi Allah Maha Meliputi, dan ia lebih Hampir dari urat leher kita sendiri,

Oleh itu, kembalilah kepada Nya dengan Reda,…..dengan Penyerahan Diri secara total…hanya untuk NYA.

MasyaAllah…

Ruh


BT-2Kebanyakan orang tidak mau mengetahui tentang ruh. Mereka berpendapat ruh adalah urusan Tuhan, hanya sedikit tentang ruh yang diketahui oleh manusia, tetapi bukan maklumat tentang ruh  yang sedikit,  tetapi hanya sedikit orang yang mengetahui tentang ruh.

Setidak-tidaknya kita mestilah tau serba sedikit tentang ruh, kerana ia sangat penting, ruh adalah kita, dengan ruhlah kita kembali kepada Allah. Secara kasarnya ruh mempunyai beberapa sifat: ia bersifat suci, ia bersifat tau atau bashirah dan ruhlah  yang kembali kepada Allah,… bukan jasad dan bukan nafsu.

Suci adalah sifat ruh, manakala tahu atau bashirah adalah pekerjaannya dan kembali kepada Allah adalah tugasnya. Bagaimanakah kita boleh mendapat kesadaran tentang ruh nan suci ini,  caranya tidak lain, kita perlulah bersedia untuk mengikut ruh kembali  ke  Allah. Kembali ke  Allah adalah satu jalan yang memberikan kebaikan kepada ruh dan jiwa manusia itu sendiri.

Kembali,  dalam arti pulang ke Allah dengan meninggalkan tubuh atau jasad. Kenapa kita perlu meninggalkan tubuh, jawabanya adalah jelas kerana nafsu berada pada tubuh. Secara amnya ada dua cara untuk meninggalkan tubuh..  (tapi ingat jangan bunuh diri pulak). Yang pertama dengan ibadah puasa, dan ia bersesuaian benar, kerena secara kebetulan kita akan berpuasa Ramadan tidak lama lagi. Dalam ibadah puasa kita meninggalkan jasad dengan tidak memberi jasad makan dan minum, mengekang nafsu atau syahwat, menghindari maksiat lahir dan batin dan sebagainya.

Cara yang kedua untuk meninggalkan jasad ialah dengan menyengaja untuk meninggalkan tubuh seperti dalam sholat, kerana  sholat itu adalah mekraj orang mukmin. Selain daripada itu jasad boleh juga ditinggalkan, seperti dalam tafakur mengingati Dzat Allah. Seperti maksud hadis Rasullullah, tafakur sesaat hangga sampai kepada Dzat Allah itu adalah lebih baik daripada beberapa amal-amal sunat yang dilakukan.

Perlukah kita mencari ruh, sebenarnya ruh tidak perlu dicari, dengan sendirinya ia akan aktif dan bergerak, jikalau jiwa seseorang itu mengingati Allah. Aktifnya ruh akan dapat dirasakan apabila hati dan jasad kita bergetar. Sesuai dengan firman Allah: Bagi orang yang beriman, apabila disebut nama Allah maka hati dan jasadnya akan bergetar. Inilah tanda orang beriman dan ini jugalah tanda ruh itu aktif.

Kembalikan ruh kita kepada Allah, maka dengan itu kita akan merasa ketenagan, … selalulah kembali ke Allah dan sehinggakan ia menjadi satu perjalanan yang semula jadi kepada kita,… boleh dilakukan setiap saat dan di mana-mana saja.

MasyaAllah…

Hakikat Alif


Bukit Tinggi 

 

Buat renungan sesama kita yang memang berminat tentang Hakikat, agar dapat difikirkan dengan perlahan-lahan agar mencapai matlamat yang sebenar. Di sini ana coretkan sedikit tentang Hakikat Alif…..

Hakikat perkataan adalah alif, (alif adalah satu huruf dalam tulisan jawi, kalau tulisan rumi.. mestilah ‘a’ ), manakala hakikat alif pula adalah noktah, dan hakikat noktah adalah dakwat.

Jikalau dikaji selanjutnya maka hakikat dakwat pula adalah cecair, sedangkan hakikat cecair adalah debu-debu, dan hakikat debu-debu adalah unsur-unsur (atom) dan hakikat unsur adalah Cahaya Allah.

Sedangkan Gelap (tidak diketahui) ialah Cahaya Dzat, …. dalam gelap itulah adalah ‘Air Kehidupan’ (Yang Menghidupkan).

Sebagai misalan,  ….jika anda melihat kepada dakwat, maka dengan sendirinya huruf hilang,…

dan jika anda melihat huruf , maka dakwat hilang…

Sejajar dengan itu cuba difikirkan pula:

Jika ana ada Dia tiada, … dan jika Dia ada ana pula tiada…

MasyaAllah.

Gangguan


kubahTerdapat manusia yang porak- peranda hidupnya kerana diganggu syaitan dan jin. Tidak kiralah sama ada terkena sihir atau saka.

Tetapi jangan lupa sebenarnya golongan tersebut juga (syaitan dan jin) mempunyai tugas yang diberikan Allah kepada mereka.  Allah berfirman: Jikalau kamu lupa kepada KU  maka AKU  (Allah) akan menghantarkan syaitan atau jin sebagai teman kamu.

Dan jangan lupa Iblis juga pernah berkata kepada Allah: Demi Kekuasaan mu Ya Allah, aku (iblis) akan menyesatkan umat manusia.

Dengan itu jelas bahawa iblis, syaitan dan jin menyesatkan dan memporak-perandakan manusia dengan Kekuasaan Allah, … maksudnya dengan izin Allah,.. tetapi bukan dengan Kehendak Allah.

Bagaimanakah seseorang itu boleh terlepas daripada gangguan golongan tersebut?…. tidak ada jalan lain, … kecuali kembali kepada Allah.

Syaitan dan jin tidak dapat mengganggu manusia, apabila ‘sempadan’ antara hamba dan Tuhan sudah tiada lagi. Bagaimanakah hendak menghapuskan sempadan tersebut?  Itu sesuatu yang amat sulit pula,…..hanya dengan Kurnianya  juga.

Tuhan: Apabila Dia melihat Dirinya dengan Dirinya.

Hamba: Apabila “Salik”  melihat Tuhannya dengan dirinya.

Itulah yang dimaksudkan oleh Ahli Makrifat, Tuhan tetap  Tuhan dan hamba tetap hamba, …  tidak Tuhan menjadi hamba dan tidak pula hamba menjadi Tuhan. Pembahagian itu amat jelas sekali, jangan ragu-ragu lagi,…….kecuali kepada mereka yang telah dibukakan ‘Mata Hati’ oleh Allah. 

Bagi mereka yang telah dibukakan Mata Hati, …selalulah setia dengan Keesaan dengan Allah,…

Inilah kenikmatan yang paling tinggi yang boleh didapati….

MasyaAllah…

Mikraj


k roo 

Sholat adalah mikraj orang mukmin. Sudah benarkah kita bermikraj ketika solat. Adakah syarat-syarat mikraj telah kita penuhi semasa solat. Hanya kita sendiri yang dapat menjawabnya, orang lain tidak  tahu.

Secara dasarnya Mikraj adalah proses mengosongkan diri dari semua yang lain (ghayr) kecuali Allah. Mikraj ini terbahagi kepada dua golongan iaitu Mekraj Kecil dan Mekraj Besar.

Mekraj Kecil ialah berusaha sedaya upaya keluar dari diri sendiri dengan suluk dan mujahadah untuk kembali kepada Allah, di samping itu ia juga berusaha dengan gigih dan tanpa jemu untuk menghapuskan atau mengawal nafs, iaitu nafsu dan keinginan-keinginan duniawi. Dan ini adalah cara bagi ahli-ahli ibadah, yang kewarakannya jelas  terlihat oleh orang lain.

Manakala Mikraj Besar adalah nafi dan isbat,  iaitu menafikan  ghayr (selain Allah) dan mengisbatkan Allah,  supaya seseorang itu binasa diri (mati sebelum mati) dan Kekal  dalam Allah. Dan ini adalah bagi ahli-ahlli makrifat, yang tiada sebarang tanda yang menunjukkan ia adalah seorang yang warak atau hampir kepada Allah, …tetapi mereka tetap bersatu dengan Kekasihnya….. Allah.

Dengan pertolongan Allah jua, seseorang itu dapat menukar liqanya (aspek wujudnya) menjadi Liqa Allah.

Dan sangat beruntunglah mereka yang demikian.

MasyaAllah.

Hijab


MaksurahBenda-benda yang menghijab pandangan manusia kepada Allah adalah banyak, seperti banyaknya buih yang berkerlipan di lautan nan luas. Namun dengan usaha dan pertolongan Allah segala hijab itu akan tersingkap akhirnya dan kelihatanlah yang Empunya hijab dengan jelasnya sekali.

 

Bagi mereka yang masih dalam perjalanan merungkai hijab itu,   teruskanlah perjalanan dengan sabar.

Segala  hijab itu dapat pula digolongkan kepada dua golongan yang besar,  iaitu hijab diri sendiri dan hijab sifat.

Hijab diri sendiri tidak akan terungkai selagi masih ada hamba dan Tuhan, zat hamba itu sendirilah yang menjadi hijab antaranya dan Tuhannya. Segala usaha untuk membuang hijab itu tidak akan berhasil, … jikalau usaha yang dilakukan hanyalah, seperti batu yang hendak dikilatkan seperti cermin, dan batu itu selama-lamanya tidak akan berkilat dan memantulkan rupa  orang yang melihatnya.

Bagaimanapun hijab ini hanya akan terhapus dengan izin Allah apabila berlaku Tajali Dzat atau dengan istilah lain ‘mati sebelum mati’.

Manakala hijab sifat akan hilang apabila salik menukar zat dan sifatnya kepada Dzat dan Sifat Tuhannya, … prosesnya seperti membuang habuk-habuk yang terdapat di permukaan cermin bagi memantulkan rupa orang yang melihatnya,… atau menghilangkan takyunat-takyunat (pembatasan-pembatasan) kembali kepada Dzat Allah….

MasyaAllah..

Perjalanan

 

makam ibrahimPermulaan perjalanan adalah menuju Allah, salik berusaha untuk mengenal Allah dan mengenal dirinya sendiri, contohnya, berdasarkan kata-kata seperti: Siapa yang mengenal diri mengenal Allah, setelah kenal maka binasalah jasadnya.

Perjalanan menuju Allah berakhir setelah salik itu mengalami Fana (hilang terhadap kesadaran diri dan alam semesta).

Setelah itu maka bermula pulalah perjalanan yang baru, iaitu perjalanan dalam Allah. Perjalanan ini adalah bagi mereka  yang telah fana dan kini memasuki Baqa pula. Perjalanan ini tidak ada penghujungnya, dan ia akan berterusan selama-lamanya.

Kebiasaannya penghalang bagi perjalanan menuju Allah adalah tarikan dari duniawi, seperti galian, tumbuh-tumbuhan, binatang, manusia dan sebagainya.  .. yang sememangnya telah tertanam baik pada diri salik tersebut. Keperluan-keperluan kepada benda-benda tersebut telah bertapak dengan kuat dalam diri salik dan mereka telah berasa seronok dan selesa dengan benda-benda tersebut. Pada kebiasaannya inilah yang menarik salik menjauhi Allah, untuk menjadi penghalang bagi mereka untuk meneruskan perjalanan menuju Allah.

Bagaimanapun bagi salik yang bersungguh-sungguh dan sabar mereka akan berjaya melintasi segala halangan tersebut, setelah semua kotoran duniawi itu dibersihakan daripada Qalbunya, maka ia pun mengalami Fana. Salik tersebut kini memakai ‘warna’ (bahasa kiasan) dan keluar dari segala pembatasan (takyunat) dan menjadi Mutlak.

Sebagai kesimpulannya setelah memfanakan diri maka salik pun menjadi Baqa (Kekal)  dalam Allah. Dalam keadaan ini salik tidak tahu zatnya sebagai dirinya, tetapi tahu tentang Dzat Mutlak Allah  sebagai Penzahir, Penzahiran dan yang Dizahirkan. Dan inilah yang dikatakan perjalanan dalam Allah yang tidak berkesudahan itu.

MasyaAllah.

Mukasyafah


S C Bekasi 


Bagi salik yang telah berjuang dengan hati yang bersemangat dan sabar akhirnya Allah bersedia menerimanya. Allah akan membukakan pintu-pintu rahsianya bagi insan yang dikasihiNya. Terbukanya rahsia-rahsia  di sebalik rahsia Ketuhanan disebut Mukasyafah. Di sinilah pengalaman Ketuhanan yang paling puncak akan dirasai. Di sinilah pula baru terbuka hijab secara kasyaf, sehingga Wujud Allah tidak diragukan lagi. Kehadiran Wujud yang tidak berawal dan tidak berakhir itu… (Wujud, Qidam dan Baqa), …..dilihatnya dengan jelas dan tanpa ragu-ragu.

Dalam kata lain,  pembukaan ini disebut juga Tajali Ilahi,  Tajali Dzat atau ‘Mati sebelum mati’ dan dengan beberapa istilah lain lagi,.. yang akah menghasilkan liqa Allah (aspek kewujudan Allah). Setelah penyaksian Wujud tersebut,  maka di sinilah bermula syahadah yang benar,…bukan syahadah yang palsu. Dikatakan syahadah yang benar kerana salik telah menyaksikan Wujud yang sebenar, dan itulah arah Kiblatnya yang tepat, dan tidak tersasar.

Syahadah: Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, aku bersaksi bahawa Muhammad Rasul Allah.

Syahadah yang benar, kerana salik bersaksi (melihat dengan mata hatinya Wujud yang sebenar),..melihat Hakikat Ketuhanan di dunia ini. Bagaimanapun, apabila telah bersaksi maka salik akan mengalami kematian,….”Mati syahid”…. (mati dalam penyaksian), dan yang tinggal hanyalah Wujud Yang Mutlak.

Maka dengan itu jadilah salik seorang yang Fakir, yang telah mengetahui dan menyaksikan Nur Insan (RuhKu), Nur Muhammad (RasulKu) dan Aku (Dzat Mutlak).

Dengan bersaksi atas kehadiran Allah, maka dengan selarinya pula telah menyaksikan Muhammad Rasul Allah.

Muhammad Rasul Allah yang telah mesra dengan Ahmad bin Abdullah,… (Fulan bin Fulan), menyebabkan Ahmad larut  dan juga digelar Muhamad Rasul Allah. Bahkan beliau juga diberi gelaran: Ahmad bila min (Ahmad tanpa min)…. Ahad …Esa.

Dan mereka yang telah bersaksi itulah yang mendapat kemenangan di dunia dan akhirat,.. kerana ia bersyahadah dengan penyaksian yang benar, bukan syahadah  palsu…

MasyaAllah.

Baitullah


kaabah 3Baitullah adalah rumah Allah, rumah yang dibina oleh Allah sendiri bukan yang dibina oleh Nabi atau manusia. Rumah Allah ini berada di Qalbu nan hening. Untuk memasuki rumah Allah memerlukan beberapa tatacara, dan jikalau ia tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak mungkin dapat masuk. Memasuki rumah Allah tidak perlu bawa apa-apa, tidak perlu bawa ilmu, tidak perlu bawa amal, tidak perlu bawa makrifat dan sebagainya. Hanya masuklah seorang diri tanpa berbekal apa-apa pun.

Oleh kerana itu jangan berbangga dengan ilmu yang banyak, amal yang banyak dan sebagainya, kerana Allah tidak memerlukan itu, tetapi Allah melihat pada Qalbu nan hening, tanpa dicemari duniawi dan nafsu,… ketika memasuki Baitullah,… Rumah Allah.

Allah SWT berfirman QS 20:12: Sesungguhnya Akulah Tuhanmu, sebab itu bukalah kedua terompahmu, sebenarnya kamu telah berada di lembah suci Tuwa.

Ini adalah ayat mutasyabihat (kiasan), terompah yang dimaksudkan di sini adalah kiasan, bukan bermaksud terompah alas kaki.

Untuk memasuki Baitullah harus meninggalkan terompah di luar. Terompah adalah benda yang kotor dan sudah pastinya benda-benda yang kotor tidak boleh dibawa masuk ke dalam Rumah Allah. Setiap benda yang kotor, seperti terompah dan nafsu dan sebagainya tidak akan sampai kepada Allah. Jasad manusia yang terdiri dari darah dan daging itu juga tidak akan sampai kepada Allah. Jasad yang penuh nafsu hendaklah dizakatkan,  hakikat zakat adalah penyerahan diri kepada Allah.

Setiap wahyu yang dinyatakan oleh Rasullulah SAW selalunya merujuk kepada Al-Quran. Semaklah wahyu yang diturunkan kepada Rasullulah dalam hadis dan Al-Quran dan ilham yang diturunkan kepada seseorang hendaklah juga dirujuk kepada hadis dan Al-Quran, jikalau bersesuaian dengan hadis dan Al-Quran maka pakailah, jikalau tidak jangan dipakai.

Berkaitan memasuki Rumah Allah,  Rasullulah SAW memberkan peringatan: Tambatlah untamu sebelum kamu memasuki Baitullah.

Unta tidak boleh dibawa masuk ke Baitullah, kerana ia adalah benda kotor, kerana unta terdiri dari darah dan daging , yang tidak akan sampai kepada Allah, sama seperti jasad manusia yang terdiri dari darah dan daging, sebab itu ia kena ditinggakan di luar sebelum memasuki Baitullah. 

Jangan unta dibawa masuk ke dalam Baitullah mengadap Allah,… tidak akan berhasil menemui Allah…

Kesimpulannya  jasad dan benda-benda kotor harus ditinggalkan semasa mahu mengadap Allah di Baitullah,…dan masuklah tanpa apa-apa bekal,… hanya  “kamu” (RuhKu)  seorang diri..

MasyaAllah.

Tajali


tasik qarun  

Allah jangan dikhayalkan:

Jangan berkhayal tentang Tuhan

Tuhan wajib untuk dibuktikan…disaksikan

Agar terarah sasaran penyembahan

Jelas tercurah dan terarah penyerahan diri

Menyembah Tuhan bukan ucapan… tetapi

Melihat dan dilihat dengan kepastian

Tuhan bukan untuk dikhayalkan

Wujudnya hendaklah di tajalikan.. dizahirkan.

 

 

earth

 

Gemuruh terompet.. genderang Insani

Menerima keselarasan putaran bumi

Melodi menghadirkan muzik Ruhani

Sedangkan di Surga hanya menikmati hasil duniawi

Kerana belum menyelam ke dalam diri

Dan belum basyar (melihat) kepada Sang Ilahi

 

Wahai Insan penduduk bumi

Masuklah ke Istana Rabbi di Arshy

Turunkan Cahaya Ilahi ke dalam diri

Inna anzalna fi Lalitul Qadri

Inilah nikmat berpuasa di bulan Ramadan..

lebih baik dari seribu bulan.