أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa dan saat kedatangan hari kiamat hanya Allah SWT sahaja Yang Maha
Mengetahui , semua makhluk samaada malaikat, manusia dan jin tidak tahu
bila saat datangnya hari kiamat.
Walaubagaimana pun Nabi SAW
dalam hadis sahih ada menjelaskan tanda-tanda awal dan tanda-tanda besar
kiamat akan berlaku dahulu sebelum kedatangan hari kiamat. Sebagai
seorang muslim mukmin kita wajib percaya dan beriman kepada
berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang
berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu
perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari
kiamat”.
Lalu Nabi SAW. bersabda:
“Tidak akan terjadi hari
kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”.
Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit
matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj
dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan
yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar
dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang
Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis diatas
jelaslah kepada kita bahawa terdapat 10 tanda-tanda besar akan berlaku
dimuka bumi, dan setelah iannya berlaku maka akan datanglah hari kiamat
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tanda-tanda tersebut
adalah seperti berikut :
1. Asap (dukhan) yang akan keluar dan
mengakibatkan penyakit seperti selesema di kalangan orang-orang yang
beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan
membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang
yang akan terpedaya dengan seruannya.
3. Dabbah, binatang besar
yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa
manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.
4. Matahari akan
terbit dari tempat tenggelamnya. Pada saat itu Allah SWT tidak lagi
menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang
berdosa.
5. Turunnya kembali Nabi Isa a.s. Baginda akan mendukung
pemerintahan Imam Mahdi yang berdaulat pada masa itu dan baginda akan
mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian, membunuh
babi dan baginda juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya
bangsa Yakjuj dan Makjuj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi
ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari
besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama
dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan keluar dari Yaman.
Huraiannya :
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul
Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang
terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW. bahawa keluarnya
Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang
mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan
itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah
baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat
tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan
merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi
dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali
keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang
matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.
Perbincangan kali ini kita cuba fokus kepada perkara ke 6 tanda-tanda besar kiamat iaitu
"Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj" yang akan membuat kerosakan
dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding
yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh
Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
Sahabat yang dimuliakan,
Allah telah berfirman: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka
tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka
sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan
apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia
menyaksikan segala sesuatu. (Surah Fussilat 41: 53)
Allah
menceritakan kisah lelaki itu (Zulkarnain) seperti firman-Nya dalam
surah itu: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai
Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya’.
Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami
memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun
menempuh suatu jalan.Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam
matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam
dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: ‘Hai
Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap
mereka’. Berkata Zulkarnain: ‘Adapun orang yang aniaya maka kami kelak
akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya’.” (Surah Al-Kahfi
ayat 83 hingga 87)
“Kemudian dia menempuh jalan (yang lain).
Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati
matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi
mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,” (Surah
Al-Kahfi ayat 89 dan 90).
Yakjuj dan Makjuj tinggal di antara dua gunung :
"Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya
satu kaum yang hampir-hampir mereka (Zulkarnain) tidak dapat memahami
perkataan. "(Surah Al-Kahfi ayat 93)
Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di bumi :
"Mereka berkata: 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj
sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami
menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan
syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?'."
(Surah Al-Kahfi ayat 94)
Zulkarnain telah menahan Yakjuj dan Makjuj :
"Dia menjawab: '(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku
menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku
dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan
mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul
besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan
antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan
berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah
tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya'. Maka mereka tidak dapat
memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya."(Surah
Al-Kahfi ayat 95 - 97)
Yakjuj dan Makjuj akan keluar kembali :
"(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: 'Ini ialah suatu rahmat dari
Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan
menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu
benar'.". (Surah Al-Kahfi ayat 98)
Yakjuj dan Makjuj turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi :
Dikhabarkan di dalam Al Quran bahawa Yakjuj dan Makjuj akan turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
"(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang
menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap
tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang
benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur
ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): "Aduhai celakanya Kami.
Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami
daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang
yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al-Anbiyaa’ ayat 96 - 97)
Hadis Nabi SAW :
Dinding Zulkarnain menahan Yakjuj dan Makjuj telah terbuka :
Dari Zainab binti Jahsy : Bahawa Rasulullah bangun dari tidurnya sambil
bersabda: "Laa ilaaha illallah, celakalah orang-orang Arab kerana suatu
bencana akan terjadi, iaitu hari ini dinding menahan Yakjuj dan Makjuj
telah terbuka sebesar ini. Dan Sufyan (perawi hadis ini) melingkarkan
jarinya membentuk angka sepuluh (membuat lingkaran dengan jari telunjuk
dan ibu jari). Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya: Wahai Rasulullah,
apakah kita semua akan binasa padahal di antara kita banyak terdapat
orang-orang soleh? Baginda menjawab: "Ya, jika banyak terjadi
kemaksiatan." (Hadis Riwayat Muslim)
Selain dari berita Yakjuj dan Makjuj dalam Al-Quran, terdapat banyak
hadis yang kuat membicarakan mengenai kaum ini. Namun ulama berbeza pendapat mengenai ciri-ciri kaum ini.
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj ialah
bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk
Asia Tengah. Ada pendapat lain menyatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj
berasal dari bangsa Tartar dan Monggol, dan lokasi tahanan mereka adalah
di kawasan pergunungan Caucasus yang luas. Kebanyakan ulama menyatakan
bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj terus wujud sehingga kini tetapi
dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah dengan tembok yang dibina
oleh Zulkarnain.
“Tugas kaum Yakjuj dan Makjuj ini ialah mengorek
tembok tersebut untuk tembus ke muka bumi tetapi Allah masih menghalang
mereka dengan kembali meneguhkan tembok tersebut sehinggalah hampirnya
hari kiamat. Bila hampir kiamat, Allah mengizinkan tembok itu runtuh dan
Yakjuj Makjuj bebas ke permukaan bumi. Peristiwa ini menjadi salah satu
daripada 10 tanda besar kiamat. Yakjuj dan Makjuj akan muncul selepas
kematian Dajal yang dibunuh oleh Nabi Isa a.s. Kaum Yakjuj dan Makjuj
akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan kaum Yakjuj dan
Makjuj dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa
yang mampu menewaskan mereka.
“Nabi Isa a.s. memerintahkan
manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak
menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj. Kemudian baginda berdoa ke hadrat
Allah lalu Allah membinasakan kaum Yakjuj dan Makjuj dengan mengutuskan
ulat yang menyerang belakang badan mereka hingga mati. Selepas kaum
Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan burung
besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat-mayat itu daripada muka
bumi.
“Ulama juga cenderung berpendapat bahawa kaum Yakjuj dan
Makjuj berasal dan di kurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran
Ayat 90 Surah Al-Kahfi yang menyebut bahawa Zulkarnain sampai “di tempat
terbit matahari” iaitu timur dunia.
Kaum Yakjuj dan Makjuj ini hebat, tiada siapa yang mampu menewaskan mereka, dan mereka hanya binasa dengan kekuasaan Allah.
“Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan kebimbangan baginda
kerana pada zaman baginda, kaum Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah
berjaya menebuk benteng Zulkarnain menjadi sebesar bulatan ibu jari dan
jari telunjuk.
Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj? Dari sumber
Al-Quran dan Hadis, ternyata bahawa mereka ini adalah dari bangsa
manusia. Jelasnya, mereka adalah anak-anak Adam juga. Mereka adalah dari
keturunan Yafits bin Nuh a.s.
Yahjuj dan Makjuj adalah amat kuat dan gagah dan tidak mampu dikalahkan oleh
manusia di muka bumi. Diriwayatkan juga bahawa mereka ini punya muka
yang lebar, mata kecil, rambutnya kelabu keputihan dan muka mereka
adalah seperti perisai yang ditutupi oleh kulit. (Musnad Ahmad).
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj
cuba menggali atau memecahkan tembok Zulkarnain hinggalah mereka sampai
ke peringkat bila mana mereka sudah nampak cahaya di luar sana.
Kemudian mereka pulang dengan berkata “Esok kita akan dapat
membolosinya”. Tapi Allah telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk
asalnya menyebabkan mereka terpaksa menggalinya sedari mula. Proses ini
berterusan hari demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini
terkepung. Bila Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari
mereka menggali itu mereka berkata “InsyaAllah, esok kita akan dapat
membolosinya”. Pada esoknya mereka akan dapati tembok itu berkeadaan
sebagaimana mereka
telah tinggalkan hari semalam, dan setelah memecahkan bakinya itulah
mereka akan keluar (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah).
Sahabat yang dikasihi,
Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan
perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi
menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia.
Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu
hampir dengan kiamat..
Ada pendapat yang meneliti dengan lebih terperinci. Sheikh
Hifzur-Rahman dalam “Stories of the Quran” telah menuliskan bahawa
“Yakjuj Makjuj melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di kawasan yang
luas, dan kerana gangguan mereka ini, banyak tembok dan dinding telah
dibina di zaman dan tempat yang berlainan oleh raja-raja zaman silam.
Ada empat yang paling terkenal:
1) Tembok Besar China, dibina oleh Raja China 3,460 tahun selepas Nabi Adam a.s.
2) Tembok di Asia Tengah berhampiran Bukhara dan Tirmidh, di tempat bernama Derbent.
3) Tembok di Degistan Rusia, juga dikenali sebagai Derbent berhampiran Laut Caspia.
4) Tembok yang berada di bahagian barat Derbent di Degistan Rusia itu, iaitu di kawasan Caucasus.
Beliau berpendapat oleh kerana tembok-tembok di atas dibina untuk
tujuan yang sama (melindungi rakyat dari gangguan kaum yang ganas) maka
amatlah sukar untuk menentukan secara tepat di manakah sebenarnya tembok
yang dibina oleh Zulkarnain. Allama Anwar Shah Kashmiri dalam bukunya
Aqeeda-tul-Islam berpendapat bahawa tembok Zulkarnain berada di kawasan
Caucasus. Allama Aloosi pula berpendapat bahawa kedudukan tembok
Zulkarnain tidak dapat diketahui secara tepat, dan besar kemungkinan ia
sebenarnya berada jauh di sebalik gunung-ganang yang dipisahkan oleh
laut yang luas.
Menurut satu pendapat mereka (Yahjuj dan Makjuj)
adalah terdiri daripada suku bangsa Scythian iaitu suku kaum di Mongolia
(Xiongnu, Mongol dan Tartar) dan juga suku kaum di wilayah selatan
Russia (Khazar, Aryanomad, Hun Alan). Mungkin orang akan tertanya-tanya
iaitu kenapa pada waktu ini masyarakat di sana tidak sedikit pun membuat
kekacauan terhadap dunia? Menurut pendapat para pengkaji Islam, Yakjuj
dan Makjuj sebenarnya adalah manusia biasa (cucu-cicit Nabi Adam) Jadi
kesimpulannya, kehidupan Yakjuj dan Makjuj pada masa kini adalah sama
sahaja seperti kita iaitu mempunyai pegangan agama, patuh pada
undang-undang negara dan sebagainya.
Untuk pengatahuan semua,
masyarakat Mongol dan Khazar (Yakjuj dan Makjuj) sejak turun temurun
lagi mengamalkan corak pemakanan yang amat bebas. Mereka akan makan apa
sahaja yang mereka mahu seperti ulat, anjing, kucing, labah-labah,
katak, ular, kura-kura, daun pokok, usus beruang dan lain-lain (sumber:
National Geographic). Kesan daripada corak pemakanan bebas yang
diamalkan oleh bangsa ini telah menyebabkan keadaan mereka menjadi agak
berlainan sedikit berbanding bangsa-bangsa yang lain. Sifat mereka
dikatakan agak sensitif dan tubuh badan mereka pula jauh lebih kuat
berbanding bangsa lain tetapi mudah dihinggapi penyakit.
Cuba
bayangkan betapa dasyatnya malapetaka akhir zaman kelak (harap ia tidak
lagi berlaku semasa hayat kita ini). Ketika bangsa Yakjuj dan Makjuj
telah memunculkan dirinya, dunia ketika itu dikatakan baru sahaja hampir
pulih daripada kesan tanda kiamat besar yang pertama iaitu kemunculan
asap dukhan yang menyelubungi timur dan barat bumi. Asap itu dikatakan
akan mengakibatkan orang kafir (tidak berpuasa dan solat) boleh
menghidapi penyakit radang manakala orang yang beriman (yang bersolat
dan selalu berpuasa) pula hanya menghidapi penyakit selsema sahaja. Asap
dukhan itu dikatakan akan menyelubungi bumi dalam tempoh masa yang agak
lama, kemungkinan besar asap itu datangnya dari meteor yang akan
terhempas ke bumi (wallahualam).
Menurut sumber rujukan, pada
akhir zaman kelak segala kecanggihan teknologi akan musnah sama sekali.
Segalanya adalah berpunca daripada kesan asap dukhan yang menyelubungi
dunia ketika itu (tanda kiamat yang pertama) dan orang kafir pula banyak
yang akan mati akibat dari perperangan, wabak penyakit serta kebuluran.
Asap dukhan itu dipercayai akan merosakkan segala hasil pertanian dan
penternakan sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi kurang! Ini adalah
kerana, asap dukhan itu akan menghasilkan hujan asid yang berlarutan
sehingga membawa kepada ketandusan dunia. Lihatlah hadis di bawah ini:
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan datang hari kiamat sehingga
hujan turun secara merata kepada manusia tetapi bumi tidak menumbuhkan
tumbuhan sama sekali” (Hadis Riwayat Ahmad 3:140)
Kesimpulannya.
Setelah membaca berbagai sumber hadis dan pendapat ulama di atas tadi,
semakin jelaslah pada kita semua bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini
adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Mereka
ini dikatakan berjumlah begitu ramai, umur mereka pun panjang-panjang,
membolehkan mereka beranak-pinak begitu ramai sebelum mereka mati.
Mereka juga dikatakan begitu kuat dan hebat, hinggakan seluruh manusia
di bumi tidak terdaya mengalahkan mereka. Namun mereka akhirnya akan
mati bergelimpangan akibat serangan “ulat”.
Walaupun mereka ini
hebat dan kuat (hampir pasti juga mereka ini berteknologi canggih),
mereka tidak dapat memecahkan tembok Zulkarnain menggunakan segala
kepakaran dan teknologi yang ada selagi Allah tidak mengizinkan.Selain
daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW, segala pendapat
dan huraian mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah pendapat dan pandangan
ulama dan pakar-pakar dan pengkaji sejarah, semoga Allah SWT memberi
rahmat dan pertolongannya dan mengampunkan jika berlaku kesilapan
mengenai perkara ini. Segala yang benar itu datangnya daripada Allah
SWT, waullahualam.
Sahabat yang dihormati,
Kehadiran Yakjuj
dan Makjuj pasti akan berlaku di akhir zaman seperti yang dijelaskan
daripada hadis diatas. Semua ini adalah ujian Allah SWT kepada
hamba-hamba-Nya dimuka bumi. Sesiapa yang beriman dan bertakwa dan
istiqamah diatas jalan Islam maka mereka semua akan selamat, sebaliknya
apabila manusia kufur kepada ayat-ayat Allah SWT, melakukan dosa dan
maksiat maka manusia akan menanggung akibat daripada keingkarannya
kepada Allah SWT. Mohonlah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi daripada
fitnah hidup dan mati, fitnah al-Mashi Dajjal, kejahatan Yakjuj dan
Makjuj dan azab sengsara dan kerosakkan kehidupan di akhir zaman.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar