Sesungguhnya Aku
adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang
bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )
Sembahyang mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan
dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t dengan
sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang merupakan
zikir yang paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi
zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana
zikir. Zikir dalam sembahyang menggabungkan pengakuan bahawa yang
diingatkan itu adalah Allah s.w.t; bahawa Allah s.w.t yang diingati itu
adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah
Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan
perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan
adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Zikir yang
di dalam sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar sembahyang.
Menyebut nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan yang baik-baik
diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati kerana
Allah s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t adalah
zikir. Semua itu merupakan zikir perkataan. Zikir perbuatan pula
meliputi segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai dengan syarak
demi mencari keredaan Allah s.w.t. Berdiri, rukuk dan sujud dalam
sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan yang halal kerana Allah
s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah s.w.t turunkan, adalah
zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Apa
juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika dibuat kerana
Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak melakukan apa-apa pun boleh
menjadi zikir. Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan hatinya
daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir jika dia
berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir jika
dibuat kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari
keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan perkataan
terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira
sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah s.w.t,
ikhlas dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya Tanpa
zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan
digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.
Zikir adalah
mengingati Allah s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama
dan sifat-sifat-Nya adalah zikir. Melihat matahari, bulan dan bintang
di langit sambil mengenang kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir.
Melihat kilat memancar dan mendengar guruh berdentum sambil mengenangkan
keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir. Melihat fajar subuh, melihat dan
mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang keelokan Allah
s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah pekerjaan sepanjang
masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan
nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir daim
(zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang
Allah s.w.t.
Misalkan seorang sedang melakukan zikir hati dan
perkataan; menyebut dan mengingati nama-nama dan sifat-sifat Allah
s.w.t. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil
itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada
ketika itu ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir
yang sedang dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak
kecil yang mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak
memutuskan zikir atau ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut nama
Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana
mentaati perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu
meminum racun di hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang
mewajibkan membuang kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan reda
dengan takdir Tuhan yang datang serta bertindak menurut peraturan
syariat Tuhan merupakan zikir yang sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir
yang begini termasuk di dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir
daim.
Zikir daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan
pekerjaan yang baik-baik yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan
tanpa ingatan kepada Allah s.w.t dan bukan dengan penghayatan mematuhi
syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir
daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan zikir sebutan iaitu zikir
nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama
serta sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi kesan kepada
menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka
kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk
yang membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan kesedaran
dalaman mendorong seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah
s.w.t yang dicintainya, yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan
sebutan nama-nama serta sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam
bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa kepada-Nya. Jadi, perlu
dilakukan zikir secara sebutan untuk memudahkan zikir secara amalan atau
perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah zikir yang
berkekalan.
Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah dilakukan
menurut kadar kemampuan masing-masing. Zikir yang paling baik diucapkan
adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda
s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku
dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La ilaha illa Llah ’
.”
Orang yang tidak pernah berzikir adalah orang yang sangat keras
hatinya dan kuat dikuasai oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Cahaya api
syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa nafsu membaluti hatinya
sehingga tidak ada ingatannya kepada Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan
ayat-ayat Tuhan tidak diterima oleh hatinya. Beginilah keadaan orang
Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Orang yang masih mempunyai
kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya
berzikir dengan lidah sedangkan hatinya masih lalai dengan
berbagai-bagai ingatan yang selain Allah s.w.t. Pada tahap pemaksaan
diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t tetapi hati dan ingatan
mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan, hiburan dan
lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada pada
tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia
kan lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir
syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin
hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini
berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang
memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga
zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati. Tenaga syaitan akan
mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan
syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi malas dan
mengantuk. Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi
syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang
dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang
didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan
bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding
hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai
Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. Apabila karat pada
dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa
kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada
paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam
hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada
nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada
Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.
Zikir yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan,
menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat
dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim
yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan mereka dipenuhi oleh
zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.
Zikir yang
diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi
sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih memberi kesan daripada
berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan
amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan
perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan
perasaan sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam
zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati
menyaksikan Keperkasaan dan Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh
menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya seseorang itu
sudah ada hubungan semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan. Pancaran
cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati dapat melihat kenyataan
sifat-sifat Tuhan.
Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, ucapan
serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan Tuhan menimbulkan
keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana kuatnya tarikan Hadrat
Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan akan
memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Hati yang menyaksikan Hadrat
Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pengsan
kerana takutnya hati kepada keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang
menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan mengalami rasa
kenikmatan dan kebahagiaan yang amat sangat.
Pada tahap kesedaran
yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu menerima
‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi
melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati
mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan sejahtera. Pada
tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang Maha Berkuasa.
Berada pada sisi Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan
keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.
Pada tahap kesedaran yang paling dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan
yang bernama Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat, yang melampaui
segala nama dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Hati sampai kepada
tahap jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal menghuraikan tentang
Allah s.w.t. makrifat gagal memperkenalkan Allah s.w.t. Apa sahaja yang
terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan dengan mata luar dan
juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat Allah
s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Perkasa. Sesungguhnya tidak
ada sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha Esa. Hati yang
berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t benar-benar mengalami dan mengenali
maksud keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya kepada
Allah s.w.t, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya,
baharulah lengkap perjalanan Islamnya.
Setelah itu rohnya menjadi
seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang baharu itu
adalah Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui segala
sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya,
menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada
semua roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki.
Pada roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak
kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti
maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.
Dia
turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada
hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat
15 : Surah al-Mu’min
Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan
memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali kepada
kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang
Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya
Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya
Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang
paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan
contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.
Zikir
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang
yang inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya
mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin.
Lantas apabila kamu telah
selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah
kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan
sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah
tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana
sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan
mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )
Yang mengingati Allah
sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan
tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan
kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau.
Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 :
Surah a-Li ‘Imran ) Setiap Muslim seharusnya mencari kehidupan berzikir;
berzikir sambil duduk dan sambil berbaring; bekerja di dalam berzikir;
berehat di dalam berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah berzikir,
anggota tubuh berzikir dan hati berzikir. Tentera Islam yang sedang
berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin
yang berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa berzikir,
mengingati dan mentaati Allah s.w.t.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar