ILMU TAUHID\
Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membicarakan soal-soal 'aqaid' yakni segala keyakinan dan kepercayaan dalam agama islam dengan dalil-dalil yang yakin.
Erti kata tauhid ialah 'mengesakan' dari bahasa arab :
(wahhada-yuwahhidu-tauhid). Hadi bertauhid ertinya mengesakan Allah
Ta'ala pencipta semesta alam, yang tidak ada sekutu bagi-Nya dengan
keyakinan yang bulat. Sehingga yakin seyakin-yakinnya bahawa Allah yang
Maha Kuasa tidak ada yang dapat menandingi-Nya.
Adapun sebabnya
ilmu yang membicarakan soal-soal kepercayaan dalam agama islam itu
dinamakan ilmu Tauhid, kerana soal kepercayaan dalam agama Islam itu
dinamakan Ilmu Tauhid, kerana soal yang terpenting dalam ilmu ini adalah
mengenai keesaan Allah Ta'ala. yakni yang terpenting daripada ilmu ini
ialah mengenai adanya Allah yang Maha Esa dengan segala sifat-sifat-Nya.
Adapun soal-soal yang lain adalah soal nombor dua. Jadi ilmu ini diberi
nama dengan salah satu bab yang terpenting dalam ilmu tersebut.
Iman tentang adanya Allah Ta'ala dan keesaan-Nya akan memberikan
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Bahkan seseorang yang
mempercayai dengan sepenuh hatinya dan dibenarkan oleh lisannya dan
perbuatannya atas adanya Allah Ta'ala dan keeasaan-Nya, maka dia berhak
memiliki syurga Allah Ta'ala kelak, termasuk manusia yang berbahagia di
dunia dan diakhirat. Soal keesaan ini akan diterang kan dalam bab yang
tersendiri.
Soal keesaan Allah Ta'ala itu tercantum dalam Al-Quran:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa." (Al-Ikhlas :1)
Kadang-kadang ilmu Tauhid disebut juga dengan ilmu Usuluddin dan ilmu Kalam.
ILMU USULUDDIN
Ilmu Usuluddin ialah ilmu yang membicarakan soal 'aqaid, yakni segala
keyakinan dan kepercayaan dalam agama islam disertai dengan dalil-dalil
yang yakin.
Erti kata Usuluddin ialah 'dasar-dasar agama'. Ilmu itu membicarakan soal kepercayaan itu menjadi dasar agama.
Dan sebenarnya kita dapat memahami dari syariat agama islam apa sebab
tauhid itu menjadi dasar agama sehingga dapatlah dikatakan bahawa agama
tanpa kepercayaan sama sahaja dengan rumah tanpa dasar. Jadi sendi-sendi
tauhid merupakan tiang agama yang utama. Tanpa tauhid maka agama tadi
akan roboh. Begitulah ibaratnya.
ILMU KALAM
Ilmu kalam
ialah ilmu yang membicarakan tentang aqaid segala keyakinan dan
kepercayaan dalam agama Islam berdasarkan dalil-dalil yang sudah yakin.
Erti kalam ialah 'pembicaraan'. Ilmu yang membicarakan soal kepercayaan
dinamakan ilmu kalam sebab soal-soal kepercayaan itu menjadi buah
pembicaraan yang hangat dikalangan orang-orang yang mempunyai
kepercayaan tersebut antara sesama mereka.
Terbukti dari zaman
dahulu kala manusia selalu memperbincangkan soal kepercayaan itu, bahkan
kepercayaan mereka kadang-kadang telah meresap masuk ke dalam tulang
sungsum sehingga sukar hilangnya, telah mendarah daging dan kepercayaan
tadi di bawa sampai kepada akhir hayatnya yang ertinya bahawa mereka itu
mati disertai dengan kepercayaannya. untuk menerangkan soal kepercayaan
memerlukan pembicaraan yang berliku-liku. Keterangan dan hujah yang
kuat hingga dapatlah diterima oleh akal fikiran yang sihat. Memang
untuk menghuraikan soal kepercayaan tidak semudah seperti mengira orang.
Itulah sebabnya maka ilmu yang membicarkan soal kepercayaan disebut
ilmu kalam kerana pembicaraannya yang berliku-liku. Jadi Ilmu Tauhid,
Ilmu Usuluddin dan ilmu Kalam, ketiga-tiganya yang dimaksud ialah sama.
Yakni suatu ilmu yang semata-mata membahas soal kepercayaan sahaja.
Ada pula orang menyebut ilmu Tauhid itu dengan ilmu 'Aqaid (ilmu
ikatan, keyakinan ataupun kepercayaan) Kerana dalam pengetahuan ini ada
fasal-fasal yang harus diikat erat-erat dalam hati kita, yang harus
menjadi kepercayaan yang teguh.
Ada pula menamakannya dengan Ilmu
Makrifat, yakni ilmu mengenal Allah Ta'ala dengan segala sifat-Nya.
Kerana dengan ilmu ini, dapat mengetahui segala sifat-sifat-Nya dan
dengan keyakinan yang teguh.
Ada pula menamakannya dengan ilmu
hakikat (ilmu sejati). Kerana ilmu ini menjelaskan hakikat (kesejatian)
segala sesuatu, sehingga dapat meyakini akan kepercayaan yang benar
(hakiki).
Ilmu Ma'rifat dan Hakikat terkadang dipakai juga untuk istilah dan pengertian lain.
Maka berbahagialah orang yang dapat memahami Ilmu Tauhid itu sebab tauhid menjadi pedoman bagi tertegaknya syariat Islam.
TUJUAN MEMPELAJARI ILMU TAUHID
Tujuan utama mempelajari Ilmu Tauhid ialah untuk mengenal Allah Ta'ala
dengan sifat-sifat-Nya. Begitu pula mengenal Rasul 'Alaihis Salam dengan
ajaran-ajarannya, berdasarkan dalil-dalil yang jelas dari Al-Quran dan
Al-Hadith, agar manusia memperolehi kebahagiaan dalam hidup di dunia dan
akhirat.
Mengetahui hal-hal yang wajib, mustahil dan harus bagi
Allah Ta'ala dan mengetahui hal-hal yang wajib, mustahil dan harus bagi
Rasul 'alaihis Salam.
Sebagaimana yang tersebut dalam firman Allah Ta'ala:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorangv
manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah
Tuhan yang Satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan
pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan
janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada
Tuhannya" (Kahfi :110)
Di dalam ayat lain Allah Ta'ala berfirman:
"Dan muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun
didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh)
(Ali-Imran :114)
Kedua ayat di atas mengandung makna bahawa kita diperintah mengenal Allah Ta'ala dan Rasul-Nya beserta ajaran-ajarannya.
KEDUDUKAN ILMU TAUHID
Ilmu ini adalah ilmu yang maha penting dan sangat utama dalam Islam.
Sebab ilmu ini menyangkut soal zat Allah Ta'ala dan menyangkut pula
diri peribadi Rasul 'Alaihis Salam yang sangat suci lahir batinnya.
Padahal kita telah sama maklum bahawasanya Allah Ta'ala itu adalah zat
Yang Maha Kuasa dalam segala-galanya, sehingga segala isi dunia ini
termasuk juga manusia adalah di bawah kekuasaan, kebesaran dan keagungan
Allah Ta'ala.
Jelaslah bahawa Allah Ta'ala adalah zat Yang Maha
Agung yang bersifat serba Maha. Sehingga manusia itu kecil jika
dibandingkan dengan kekuasaan Allah Ta'ala, dan manusia itu makhluk yang
lemah jika dibandingkan dengan kebesaran dan keagungan Allah Ta'ala.
Maka sudah barang tentu ilmu yang membahas tentang zat Allah Ta'ala
yang serba agung itu adalah ilmu yang snangat utama dan maha penting
dalam Islam.
HUKUM MEMPELAJARI ILMU TAUHID
Oleh kerana itu
mempelajari ilmu Tauhid itu hukumnya wajib 'aini, yakni wajib bagi
tiap-tiap muslim/muslimat mengetahui ilmu Tauhid, sekalipun hanya dengan
dalil Ijmal, yakni mengenai garis besarnya sahaja dengan singkat.
Dan akan lebih sempurna lagi yakni fardu kifayah hukumnya mengetahui
ilmu Tauhid dengan dalil Tafsil, iaitu sampai perincian-perinciannya
dengan panjang lebar. Jadi mempelajari ilmu Tauhid dengan dalil tafsil
ini hukumnya fardu kifayah.
FAEDAH ILMU TAUHID
Faedah ilmu
Tauhid yang terpenting ialah agar dengan ilmu Tauhid, kita akan
mempunyai iktiqad yang bersih suci, terhindar dari keyakinan yang keliru
dan tersesat , terhindar dari segala macam tahayyul dan kurafat yang
mengotori jiwanya.
Kerana iktiqad yang tersesat itu akan
membahayakan bagi kesuburan kehidupan rohani, yang beerti bahawa
rohaninya akan menjadi tidak sihat lagi.
Kalau rohani tidak
sihat, akan tidak sihat pula batinnya, padahal kesihatan batin itu
adalah menjadi faktor yang amat penting dalam pembentukan peribadi.
Dengan memahami ilmu Tauhid kita akan menjadi sihat iktiqadnya, sihat
angan-angan dan fikirannya akhirnya akan memiliki iman yang kuat dan
membaja.
Dan juga dengan mempelajari ilmu Tauhid kita akan
mengetahui sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah Ta'ala, begitu
juga sifat wajib, mustahil dan harus bagi Rasul 'Alaihis Salam.
BERTAUHID
Bertauhid ertinya mengesakan Allah Ta'ala, pencipta semesta alam.
Kepercayaan tentang keesaan Allah Ta'ala ini tersimpul dalam hatinya
yang menyebabkan ia tunduk dan sujud di hadirat-Nya yang kemudian akan
membawa pula kebaikan pada amal perbuatannya.
Kalau jiwa Tauhid
ini telah tertanam dalam sanubari seseorang akan terasa olehnya segala
apa yang ada di dunia ini kecil jika dibandingkan dengan kebesaran Allah
Ta'ala.
Yang demikian akan membawa kesedaran dalam hidup. Dengan
sendirinya jiwanya menjadi kuat menghadapi arena pergaulan hidup dan
akan terhindar dari segala kegelisahan mahupun kebimbangan dalam
hidupnya.
Disebabkan Nur Illahi telah memancar dalam kalbunya,
hatinya menjadi tenteram, sedar tentang kewajibannya dalam hidup,
terhadap diri sendiri, masyarakat, bangsa dan agama. hidupnya akan
menjadi lebih berguna.
MENYERAH KEPADA ALLAH TA'ALA
Bertauhid itu pula akhirnya akan membentuk peribadi muslim yang menyerah
kepada Allah Ta'ala. Yang beerti makin mendalam Tauhidnya kepada Allah
Ta'ala makin sempurnalah Islamnya. Hatinya menjadi merdeka dan jiwanya
juga merdeka dan tidak dapat diperbudak-budak oleh harta benda. Ia tidak
akan menyembah pohon, batu dan lain-lain. Hanya kepada Allah -lah
tempat berlindung serta mengharapkan sesuatu.
Dengan sendirinya
ia akan merasa bahawa hidup dan mati itu sebenarnya ada di tangan Allah
Ta'ala. Akhirnya kepercayaan ini diikuti oleh lidah dan perbuatan. Ia
akan selalu menjalankan perintah-perintah Allah Ta'ala serta menjauhi
larangan-nya.
Dan inilah disebut takwa kepada Allah Ta'ala.
Akhirnya hidupnya akan selamat dan sejahtera. Perhatikanlah firman Allah Ta'ala dalam Al-Quran:
"Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)." (Al-Baqarah :197)
KETERANGAN
Sebenarnya pengertian tentang 'Tauhid' sudah ada dan diamalkan oleh umat islam sejak Nabi Muhammad S.A.W. masih hidup.
Hanya sahaja belum disusun dalam satu ilmu yang tertentu. Yang
mengaturnya dalam satu ilmu yang tertentu. Yang mengaturnya dalam satu
ilmu yang khusus yang penyusunannya seperti yang kita maklumi dari para
Ulama'.
Diberi pula dalil-dalilnya, baik dari Al-Quran mahupun Al-Hadith sehingga memudahkan bagi orang yang mempelajarinya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar