Suatu ketika Imam Ghazali shalat jemaah dgn adiknya. Imam Ghazali
menjadi Imam manakala adiknya menjdi makmum. Tiba-tiba semasa
bersembahyang, adik Imam Ghazali mufarakah (keluar daripada menjadi
makmum) dan bersembahyang sendirian.
Setelah selesai
menunaikan sembahyang Imam Ghazali terus bertanya kepada
adiknya:“Mengapa ketika bersembahyang engkau meninggalkan aku dan bersembahyang sendirian?”
Lantas adiknya menjawab; “Bagaimanakah aku hendak bersembahyang
denganmu. Aku lihat tubuhmu penuh bersalut darah. Lantaran itulah aku
bermufarakah dan sembahyang sendirian”.
Mendengar jawaban
adiknya itu Imam Ghazali terus berfikir dan lantas teringat bahwasanya
memang benar, pada ketika itu beliau sedang menulis tentang permasalahan
haidh. Dan, memang benar juga, terdapat satu saat semasa beliau
menunaikan sembahyang pemikiran beliau terbawa-bawa oleh apa yang sedang
beliau tulis itu. Dan saat itu jugalah Allah zahirkan apa yang sedang
beliau fikirkan itu ke mata adiknya sehingga adiknya melihat tubuh
badannya dipenuhi dengan darah.Imam Ghazali terkejut lantas bertanya
kepada adiknya;
“Bagaimanakah kamu berupaya untuk melihat hal
yang ghaib? Beritahulah kepadaku dari siapa kamu belajar ilmu ini.”
Adiknya kemudian menjawab; “Engkau tidak layak belajar dengannya. Engkau
orang yang masyhur, sedangkan guruku ini orang biasa sahaja.”
Imam Ghazali terus mendesak sehingga akhirnya adik beliau bersetuju
untuk membawanya berjumpa dengan gurunya itu.Di pasar, mereka mendatangi
seorang penjual daging. Lalu adiknya memberitahu itulah guruku.
Imam Ghazali terus berkata kepada penjual daging; “Tuan, saya mohon
untuk belajar ilmu dengan Tuan.” Penjual daging menggelengkan kepalanya
lalu berkata; “Aku tidak ada ilmu untuk mengajar kamu.” Imam Ghazali
merayu sekali lagi;
“Ajarlah saya. Ajarkanlah saya ilmu yang
Tuan tidak ada itu.” Penjual daging tetap enggan menunaikan keinginan
Imam Ghazali itu. Akhirnya Imam Ghazali berkata kepada penjual daging
tersebut; “Ajarlah saya. Saya serahkan diri saya kepada Tuan seumpama
mayat menyerahkan diri kepada si tukang mandi”.
Penjual Daging
kemudian berkata; “Baiklah, tanggalkanlah jubah kebesaran kamu itu
(jubah yang dipakai Imam Ghazali kerana beliau merupakan orang tertinggi
di Universiti Nizamiyyah). Sapulah meja tempat aku memotong dan menjual
daging ini dengan jubahmu itu.” Tanpa berlengah lagi Imam Ghazali terus
menunaikan kehendak penjual daging tersebut tanpa sedikitpun merasa
terkilan.
Setelah selesai, beliau berkata lagi kepada penjual
daging; “Ajarkanlah aku ilmu.” Penjual daging kemudian berkata;”Baiklah,
esok datanglah ke rumahku selepas Subuh.”Tepat selepas Subuh keesokan
harinya Imam Ghazali sudah sedia menanti si penjual daging di hadapan
rumah. Sebaik sahaja melihat Imam Ghazali beliau terus menyuruhnya
memotong rumput di kawasan rumah. Imam Ghazali terus akur tanpa terdetik
di dalam hatinya sedikitpun rasa terhina.
Selesai menyiapkan
tugas yang dipinta oleh penjual daging, Imam Ghazali pun mendatangi
beliau, lalu mengulangi kata-kata;”Ajarkanlah aku ilmu”. Penjual daging
berkata; “Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh”.Sama seperti
hari sebelumnya, sebaik-baik sahaja selepas Subuh Imam Ghazali sedia
menunggu di hadapan rumah penjual daging. Melihatkan Imam Ghazali,
penjual daging meminta pula beliau mencuci longkang di sekeliling
rumahnya. Imam Ghazali tetap taat menuruti perintah penjual daging.
Setelah selesai, Imam Ghazali berkata kepada penjual daging;”Wahai
Tuan, kerja yang Tuan suruh telah dilaksanakan. Ajarkanlah aku ilmu”.
Penjual daging berkata lagi;”Baiklah, datanglah kembali selepas Subuh
esok”.
Keesokan harinya hal yang sama juga berlaku. Kali ini
penjual daging meminta Imam Ghazali menimba najis dari tandas beliau.
Tugas yang ini juga dilaksanakan tanpa terselit sedikitpun perasaan
terhina dalam hati Imam Ghazali.
Apabila selesai penjual
daging tersebut berkata; “Segala ilmu yang kamu mahu telah kamu dapat.
Pulanglah.”Dalam perjalanan pulang Imam Ghazali terkejut kerana
mendapati pandangannya telah tersingkap dan beliau dapat melihat hal-hal
yang ghaib.
Hikmah yang dapat diambil:
1. Kita
melihat Imam Ghazali mengetahui tentang sesuatu ilmu terus saja beliau
mencari dan mendatanginya serta berusaha untuk mendapatkannya tanpa
berputus asa. Tidak pula beliau mengambil sikap menunggu ilmu itu
mendatangi beliau.
2. Perkara lain yang boleh dipelajari ialah
ketaatan Imam Ghazali terhadap arahan gurunya. Apabila diminta datang
selepas Subuh, beliau menghadirkan diri tepat pada waktunya. Tatkala
diminta membuat pelbagai perkara, beliau akur tanpa banyak bersoal jawab
bahkan tidak terdetik pun di dalam hatinya perasaan musykil dan
prasangka terhadap gurunya. Sikapnya yang tawaduk dan menyerahkan diri
bulat-bulat seumpama mayat menyerah diri kepada si tukang mandi agar
dapat dididik sepenuhnya oleh gurunya inilah yang mendorongnya untuk
mentaati tiap perintah, membuat segala yang disuruh dan meninggalkan apa
yang dilarang oleh gurunya.
3. Dalam mendidik, penjual daging
tersebut menumpukan kepada mengikis sifat-sifat mazmumah seperti ego dan
menanamkan sifat-sifat mahmudah seperti tawadhuk dalam diri anak
muridnya. Sifat-sifat mazmumahlah sebenarnya yang menghijab ilmu yang
ingin dialirkan daripada sampai ke hati. Manakala sifat mahmudah
merupakan kunci kepada kefahaman ilmu. Apabila hati bersih, hati mudah
menerima ilmu. Dan dengan hati yang bersih dari sifat mazmumah ini juga
menjadikan hati itu semakin tenang dengan banyaknya ilmu dan bukannya
semakin berserabut. Hasil daripada itu kita dapat lihat mengalirnya
keberkatan ilmu dari gurunya itu kepada Imam Ghazali. Sehingga beliau
berupaya menghasilkan tulisan yang agung, dapat menghafal lebih 100,000
hadith dan digelar Hujjatul Islam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar