Selawat ke atas Rasulullah (S.A.W.) merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.
Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan
malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan
kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]
Manakala di dalam hadith-hadith Rasulullah (S.A.W.),
terdapat banyak arahan dan kelebihan-kelebihan yang dinyatakan
berkenaan dengan selawat ke atas baginda (S.A.W.), antaranya :-
Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barangsesiapa yang
berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan
berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim
daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a]
Sabda Rasulullah
(S.A.W.) yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama
denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke
atasku”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a]
Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barangsesiapa yang
berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya
sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a]
Kedudukan selawat ke atas nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang
diwajibkan menurut sebilangan besar ulama’. Malahan dinukilkan bahawa
Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai ijma’ ulama’. Apa yang
diperselisihkan oleh ulama’ ialah adakah selawat itu wajib pada setiap
kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah ianya
sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup).
Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan ianya wajib setiap kali
disebut nama Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan
wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap
kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain
menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan
dan tidak memadai sekali seumur hidup.
Menurut jumhur ulama
dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan
jalan mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih
dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap
waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim
memperbanyakkannya.
Berkait juga dengan soalan yang
dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang. Perkara ini
berlaku khilaf di kalangan ulama’. Menurut pandangan Mazhab Syafei dan
Hanbali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang
tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, selawat
merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya tetapi
dalam keadaan yang makruh.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar