Bismillahirrahmanirrahiim.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dinul Islam itu adalah satu ajaran yang mencakup seluruh ruang hidup
manusia lahir, batin, dunia dan Akhirat. Mengkaji ilmu Islam yang sangat
luas ini tidak cukup kalau dibuat setakat beberapa jam sahaja dalam
satu minggu sepertimana berlaku di sekolah-sekolah sekular sekarang ini.
Sebab itulah hari ini, ramai umat Islam yang tidak tahu betul tentang
agama anutannya sendiri sekalipun mereka beranggapan mereka lebih tahu
dan faham serta berautoriti kerana mereka lulusan dari universiti Islam.
Walhal hakikat sebenarnya, mereka belum mengetahuinya.
Ajaran
Islam itu selain daripada ilmu usuluddin (ilmu yang mengkaji tentang
ketuhanan) yang menjadi asas kepada ajaran Islam, terdapat juga ilmu
syariat dan ilmu hakikat. Disebut juga keduanya sebagai ilmu feqah dan
ilmu tasawuf. Kedua-duanya termasuk perkara yang penting yang turut
dituntut oleh Al Quran dan Hadis. Bidang kajian ilmu syariat ialah
tentang kehidupan lahiriah manusia.
1. Ilmu Syariat Definisi ilmu
syariat itu ialah: hukum-hakam yang datang daripada Allah, yang
disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW terdiri daripada lima hukum iaitu
wajib, sunat, haram, makruh dan harus (mubah). Dengan hukum-hakam ini,
syariat menentukan seluruh kehidupan ini ada yang mesti dibuat, yakni
perkara-perkara yang wajib. Ada yang elok dibuat yakni perkara sunat.
Ada pula yang mesti ditinggalkan iaitu perkara haram. Manakala yang
makruh elok ditinggalkan. Terdapat juga sebahagian daripada kehidupan
ini yang boleh dibuat dan boleh ditinggalkan, yakni perkaraperkara yang
dikategorikan sebagai harus (mubah) hukumnya. Dengan kata lain, setiap
apa sahaja bidang yang kita ceburi di seluruh aspek kehidupan seperti
dalam sistem pendidikan, ekonomi, pertanian, kebudayaan, teknologi dan
lain-lain sistem hidup, tidak akan terlepas dari lima hukum ini.
2. Ilmu Hakikat Ilmu hakikat itu bidang kajiannya ialah tentang alam
rohani atau hati nurani manusia atau mengkaji tentang sifat-sifat nafsu.
Sifat-sifat nafsu yang terdiri daripada nafsu ammarah, nafsu lawwamah,
nafsu mulhamah, nafsu mutmainnah, nafsu radhiah, nafsu mardhiah dan
nafsu kamilah. Termasuk juga di dalamnya perihal sifat-sifat gerakan
serta dorongan hati. Definisi ilmu hakikat ialah rasa-rasa hati (zauk)
atau syu’ur ) yang ada di dalam hati atau jiwa manusia yang sifatnya
berubah-ubah dari satu bentuk rasa kepada rasa yang lain. Bergantung
kepada bentuk-bentuk rangsangan-rangsangan lahir yang mendatangi manusia
itu. Ada yang mahmudah dan ada yang mazmumah.
Di antara
rasa-rasa hati yang mahmudah (sifat positif) itu ialah ikhlas, cinta
Allah, rasa kehebatan Allah, rasa gerun dengan Neraka, rasa berdosa,
malu, rasa diawasi, kasih sayang, simpati, merendah diri, yakin, tawakal
dan sebagainya. Sementara rasarasa hati yang mazmumah (sifat negatif)
itu pula di antaranya riyak, ujub, sombong, pemarah, hasad, dendam,
tamak, bakhil, penakut, jahat sangka dan lain-lain lagi. Rasa-rasa hati
yang telah disebutkan di atas sentiasa silih berganti menguasai hati
atau roh. Oleh kerana itu, hati sentiasa berbolak-balik. Sebab itulah di
dalam kitab, hati berbolak-balik itu dikatakan qalbun. Tidak dinamakan
hati itu melainkan kerana berbolak-baliknya. Hati juga wajib bersyariat
iaitu menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Inilah yang dikatakan syariat
batin.
Jelaslah bahawa syariat dan hakikat sama pentingnya. Kita
tidak boleh menolak salah satu dan mengambil salah satunya sahaja.
Kedua-duanya mesti diamalkan serentak atau berjalan seiring. Oleh itu
dalam siri tertib untuk mengamalkan ajaran Islam bolehlah disusun
begini:
1. Syariat
2. Tareqat
3. Hakikat
4. Makrifat
Ertinya kita mulakan dengan bersyariat, kemudian bertareqat, seterusnya
berhakikat dan akhirnya bermakrifat. Semuanya saling berhubungan.
Hubungan antara satu dengan yang lain seolah-olah anak tangga pertama
dengan berikutnya, hinggalah selesai di anak tangga tertinggi sekali.
Maksudnya, mula-mula kita memahami syariat iaitu peraturan-Nya, yakni
mengetahui hukum-hakam. Mana yang halal, mana yang haram, yang sunat,
makruh dan mubah. Juga sah dan batal sama ada mengenai sembahyang,
puasa, jihad, dakwah, ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi. Kemudian
apabila kita mengamalkannya bersungguh-sungguh dan istiqamah, ertinya
kita telah menempuh jalan-Nya iaitu yang dikatakan tareqat. Yakni
mengamalkan apa yang diperintahkan dan meninggalkan yang dilarang secara
serius.
Jadi tidaklah salah kalau syariat itu disebut jalan.
Cuma be-lum ditempuhi jalan itu hanya sekadar mengetahuinya terlebih
dahulu. Bila jalan tadi telah ditempuh atau digunakan, barulah dinamakan
tareqat.
Syariat dan tareqat itu kalau dibuat dengan faham dan
di-hayati akan berlakulah nanti ahwal (perubahan jiwa) atau perubahan
peringkat-peringkat nafsu. Misalnya perubahan rasa kehambaan, rasa cinta
kepada Allah, rasa rendah diri kepada Tuhan, rasa tawakal, rasa
penyerahan diri, rasa berani, rasa kasih sayang sesama makhluk, rasa
redha, rasa sabar, rasa ikhlas kepada Allah dan mahmudah-mahmudah yang
lainnya. Atau kalau hendak dinisbahkan pada peringkat nafsu, prosesnya
berlaku daripada nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah,
berperingkat-peringkat sehinggalah ke peringkat kemuncak kebersihan
nafsu iaitu nafsu kamilah.
Orang yang mendapat ahwal (perubahan
jiwa) secara istiqamah (tetap tidak turun naik), inilah yang dikatakan
telah mendapat maqam. Yakni dia mendapat darjat mengikut sifat mahmudah
yang diperolehinya. Biasanya ia berlaku bertahap-tahap. Umpamanya maqam
sabar, maqam tawakal, maqam redha sehinggalah kesemua sifat-sifat
mahmudah itu diperolehi secara tetap (istiqamah). Boleh jadi ada yang
mendapat secara serentak sifat-sifat mahmudah itu. Inilah juga yang
dikatakan dia telah mendapat hakikat. Iaitu mendapat intipati Islam
(lubbun).
Erti lain maksud hakikat itu ialah batin Islam atau
intipati Islam (lubbun). Bilamana hal-hal hakikat tadi dapat dialami
secara kekal (istiqamah) berterusan, bahkan makin menebal dan subur,
maka akan terbukalah nanti rahsia-rahsia ghaib atau rahsia Allah. Ini
sangat sulit untuk digambarkan kecuali dirasai oleh orang-orang yang
mengalami dan merasainya.
Sebagaimana lautan dalam yang penuh
dengan pelbagai misteri, bukan semua orang dapat mengetahui rahsia di
dalamnya kecuali yang ahli tentangnya sahaja. Itupun perlu dibantu
dengan peralatan yang canggih, barulah dapat menyelami hingga ke
dasarnya. Sehingga terbongkarlah pelbagai rahsia yang tidak pernah
diketahui oleh manusia lain selama ini. Kebanyakan orang hanya tahu di
permukaannya sahaja.
Hasil berhakikat pula kita akan mendapat
makrifat. Iaitu sampai ke peringkat hal-hal hakikat dapat dialami secara
istiqamah. Allah akan kurniakan satu peringkat kemuncak yang mana dapat
mencapai ke satu tahap keyakinan yang tertinggi. Di waktu itu, dia
telah sampai ke peringkat makrifat, yakni dapat benar-benar mengenal
Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Gelaran untuk mereka ini lebih dikenali
sebagai al ‘arifbillah.
Bandingan adalah seperti berikut.
Mula-mula kita semai sebiji benih. Kemudian ia tumbuh menjadi sebatang
pokok. Pokok itu akhirnya berbuah dan buah itu bila masak memberikan
kita kesedapan rasanya, yang tidak dapat kita ceritakan pada orang yang
tidak memakannya.
Maka:
. biji benih itu umpama syariat.
. menanam pokok itu umpama tareqat.
. buah itu umpama hakikat.
. rasa buah itu umpama makrifat.
Sebab itu dikatakan syariat menghasilkan tareqat. Tareqat membuahkan
hakikat. Hakikat buahnya adalah makrifat. Semuanya saling melengkapi,
perlu-memerlukan, sandar-menyandar dan mesti berjalan seiring. Yang
lahir menggambarkan yang batin. Maka kalau dipisah-pisahkan, akan cacat
dan rosaklah keislaman seseorang itu.
Imam Malik r.hm. berkata:
“Barangsiapa berfeqah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi
fasik. Barangsiapa bertasawuf (hakikat) tanpa feqah (syariat), maka ia
jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”
Supaya lebih jelas lagi, mari kita lihat contoh-contoh berikut:
1. Berfeqah tanpa tasawuf Seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan
lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya.
Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar,
menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan
perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan
amalan-amalan sunat. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir
ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing.
Dibiarkan saja riyak, ujub, gila nama, ingin glamour, sombong, tamak,
bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat
negatif mencorak sikapnya. Inilah dia orang syariat atau orang berfeqah
sahaja. Pada pandangan mata lahir, dia seorang yang sangat baik kerana
hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah orang ini
masih berdosa, yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan
syariat batin yang diperintahkan oleh Allah. Lihatlah sabda Rasulullah
SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang
gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta
benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.”
(Riwayat At Tabrani)
Maka orang yang melanggar syariat batin ini,
Imam Malik menjatuhkan hukum fasik. Yakni orang berdosa, kalau mati
tanpa taubat akan masuk Neraka tetapi tidak kekal di dalam Neraka.
2. Bertasawuf tanpa feqah Seseorang yang menjaga hati sahaja, seluruh
atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin) tetapi menolak dan
meninggalkan syariat lahir semua sekali. Katakanlah dia sangat menjagai
hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan
kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat
mahmudah lagi. Tetapi dia tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan
lain-lain lagi. Inilah orang yang berhakikat tetapi menafikan syariat.
Pada Imam Malik, orang ini dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak
sedar. Bila mati tanpa taubat, akan dimasukkan ke Neraka dan kekal di
dalam-nya. Wal’iyazubillah.
Dalam masyarakat hari ini banyak kita
temui mereka yang memisahkan ajaran Islam dan beramal dengan salah satu
dari-nya. Ada yang bersyariat sahaja. Ada yang berhakikat saja. Bahkan
ada yang meninggalkan kedua-duanya sekali. Hal ini sebenarnya menyimpang
dari ajaran Islam. Islam yang sebenarnya bukan begitu. Ia mesti
diamalkan serentak antara syariat dan hakikat. Bila diamalkan, kita akan
memperolehi hasilnya iaitu makrifatullah. Seperti sebiji buah, ada yang
jadi kulit, ada isi dan ada rasa. Mana boleh kita pisahkan-pisahkan
antara ketiga-tiganya. Semuanya mesti bagus, barulah kita mengatakan
buah itu bagus. Kalau kulit saja busuk, tentu sudah ditolak orang kerana
dikatakan buah itu tidak bagus.
Kesimpulannya, Islam seseorang
itu hanya akan sempurna kalau dia mengamalkan syariat, tareqat dan
hakikat secara serentak. Maka layaklah ia digelar taslim, yakni tunduk
lahir dan batin. Siapa yang tidak sedemikian halnya maka Allah
menempelak dengan firman-Nya: “Mereka bercakap dengan mulut mereka tetapi
tidak seperti dalam hati-hati mereka.” (Ali Imran: 167)
Ciri-ciri yang menyamai sifat orang munafik yang lahirnya lain, dalam
hati pula lain. Moga-moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah SWT.
Aamiin Allahumma Aamiin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar