Tujuan penyucian itu ada dua jenis: Pertama untuk membolehkannya masuk
kepada alam sifat-sifat Ilahi dan kedua untuk mencapai makam Zat.
Penyucian untuk memasuki alam sifat-sifat Ilahi memerlukan pelajaran
yang membimbing seseorang di dalam proses penyucian cermin hati daripada
gambaran haiwan manusia dengan cara rayuan, ucapan atau memikirkan dan
mendoakan pada nama-nama Ilahi. Ucapan
itu menjadi kunci, perkataan rahsia yang membuka hati. Hanya bila mata
itu terbuka baharulah boleh dia melihat sifat-sifat Allah yang sebenar.
Kemudian mata itu melihat gambaran kemurahan Allah, nikmat, rahmat dan
kebaikan-Nya di atas cermin hati yang murni itu. Nabi s.a.w bersabda,
“Mukmin adalah cermin bagi samanya mukmin”. Juga sabda baginda, “Orang
berilmu membuat gambaran sementara orang arif menggilap". Juga sabda
baginda, “Orang berilmu membuat gambaran sementara orang arif menggilap
cermin hati yang menangkap kebenaran." Bila cermin hati sudah dicuci
sepenuhnya dengan digilap terus menerus secara menzikirkan nama-nama
Allah, seseorang itu mendapat jalan kepada pengetahuan dan sifat Ilahi.
Penyaksian terhadap pemandangan ini hanya mungkin berlaku di dalam hati.
Penyucian yang bertujuan mencapai Zat Ilahi adalah melalui terus
menerus mentafakurkan kalimah tauhid. Ada tiga nama keesaan, tiga yang
akhir daripada dua belas nama-nama Ilahi. Nama-nama tersebut ialah:
LA ILAHA ILLA LLAH : Tiada yang ada kecuali Allah
ALLAH : Nama khusus bagi Tuhan
HU : Allah yang bersifat melampaui sesuatu
HAQ : Yang sebenarnya (Hakikat)
HAYYUN : Hidup Ilahi yang kekal abadi
QAYYUM : Berdiri dengan sendiri yang segala kewujudan bergantung kepada-Nya
QAHHAR : Yang Maha Memaksa, meliputi segala sesuatu
WAHHAB : Pemberi tanpa batas
WAHID : Yang Esa
AHAD : Esa
SAMAD : Sumber kepada segala sesuatu
Nama-nama ini mestilah diseru bukan dengan lidah biasa tetapi dengan
lidah rahsia bagi hati. Hanya dengan itu mata hati melihat cahaya
keesaan. Bila cahaya suci Zat menjadi nyata semua nilai-nilai kebendaan
lenyap, semua menjadi tiada apa-apa. Ini adalah suasana menghabiskan
sepenuhnya segala perkara, kekosongan yang melampaui semua kekosongan.
Kenyataan cahaya Ilahi memadamkan semua cahaya: “Tiap-tiap sesuatu akan
binasa kecuali Zat-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88). “Allah hapuskan apa
yang Dia kehendaki dan Dia tetapkan apa yang Dia kehendaki, kerana pada
sisi-Nya ibu kitab”. (Surah ar-Ra’d, ayat 39).
Bila semuanya lenyap
apa yang tinggal selamanya adalah roh suci. Ia melihat dengan cahaya
Allah. Ia melihat-Nya, Dia melihatnya. Di sana tiada gambaran, tiada
persamaan di dalam melihat-Nya: “Tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya.
Dia mendengar dan melihat”. (Surah asy-Syura, ayat 11).
Apa yang ada
hanyalah cahaya murni yang mutlak. Tidak ada apa untuk diketahui lebih
dari itu. Itu adalah alam fana diri. Tiada lagi fikiran untuk memberi
khabar berita. Tiada lagi sesiapa melainkan Allah yang memberi khabar
berita. Nabi s.a.w bersabda, “Ada ketika aku sangat hampir dengan Allah,
tiada siapa, malaikat yang hampir atau nabi yang diutus, boleh masuk
antara aku dengan-Nya”. Ini adalah suasana pemisahan di mana seseorang
itu telah membuang semua perkara kecuali Zat Allah. Itu adalah suasana
keesaan. Allah memerintahkan melalui Rasul-Nya, “Pisahkan diri kamu dari
segala perkara dan carilah keesaan”.
Pemisahan itu bergerak
daripada semua yang keduniaan kepada kekosongan dan ketiadaan. Hanya
dengan itu kamu memperolehi sifat-sifat Ilahi. Itulah yang dimaksudkan
oleh Nabi s.a.w apabila bersabda, “Sucikan diri kamu, benamkan diri kamu
dalam sifat-sifat yang suci (sifat Ilahi)”.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar