Cahaya hadis
Cahaya hadis
Pada kali ini, ana akan membincangkan
tentang keesaan wujud atau dalam bahasa Arabnya Wahdat al wujud. Bagi
ahli sufi keesaan wujud amat penting difahami kerana kalau tersalah
tafsiran akan mengakibatkan syirik dan kufur.
Seorang sufi terkenal al Balyani,
pernah membincangkan tentang keesaan wujud ini. Beliau berkata kepada
pencari-pencari (Allah) yang setia, jadilah kamu bekas untuk Allah.
Jikalau kamu tidak menjadi bekas kepada Dia, janganlah kamu menjadi
bekas untuk diri kamu sendiri, kerana dengan tidak menjadi bekas untuk
diri kamu sendiri, dengan sendirinya kamu menjadi bekas untuk Dia
(menjadi bekas itu seperti menjadi tempat penzahiran Dia di dunia ini).
Dan beliau dengan lebih berani
menyatakan: Sebaik-baiknya kamu jadilah Dia. Jikalau kamu bukan Dia,
janganlah kamu jadi diri kamu sendiri, jikalau kamu bukan diri kamu
sendiri kamu adalah DIA.
Wah, sungguh berani pernyataan beliau
(tetapi ia ditujukan kepada khalayaknya), dapatkah semua orang menerima
pendapat yang sebegitu, tetapi hakikatnya itulah makrifatullah yang
sebenar, yang dipegang oleh ahli-ahli sufi besar yang lain.
Baiklah sekarang cuba kita lihat tentang Hadis Qudsi, yang sangat popular di kalangan pencari-pencari (sufi) yang setia.
Sesiapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya mengenal ia Tuhannya:
Berdasarkan hadis tersebut, ia cuba menyatakan bahawa Dia tidak bersama
atau bersekutu dengan sesiapa atau dengan apa-apa pun, sama ada zahir
dan batin, sama ada sekarang, masa lalu ataupun masa akan datang.
Dia juga tidak di atas, di bawah, di kanan atau di kiri, dan tiada
siapa pun atau apa pun yang hampir atau jauh dariNya. Tidak ada masa
tidak ada ketika, tidak ada penzahiran dan tidak ada tempat yang
bersangkutan dengan Dia. Bahkan Dia dahulu sama dengan Dia sekarang. Dia
satu (wahid) tanpa kesatuan (wahidiyah).
Dia bukan nama atau benda yang dinamakan, kerana namaNya adalah Dia
dan benda yang dinamakan adalah juga Dia. Tidak ada nama selepas namaNya
dan tidak ada nama selain namaNya.
Dialah yang Awal, Yang Akhir, Yang Dzahir dan Yang Bathin. Tidak ada yang lain selain Dia.
Tiada yang melihat Dia, kecuali Dia. Tidak ada nabi, wali ataupun
malaikat yang kenal Dia. Hanya Dia yang kenal Dia. Dia mengutus diriNya
kepada diriNya sendiri dengan cara diriNya sendiri, dari diriNya sendiri
kepada diriNya sendiri. Tidak ada penyebab kecuali diriNya sendiri.
Tidak ada perbezaan antara “yang mengutus” dengan “yang diutus” dan
“yang menerima utusan”.
Kenabian dan kerasulan itupun diri Dia sendiri juga. Kerana itulah Rasullulah saw bersabda:
Siapa yang mengenal dirinya maka mengenal ia akan Tuhannya.
Sekarang cuba kita lihat pula satu lagi Hadis Qudsi yang popular di kalangan sufi.
Aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku:
Ramai orang tidak pasti dengan apakah
maksud hadis ini, bahkan ada yang menolaknya. Cuba kita fikirkan kalau
frasa itu tidak benar, wau,, mana mungkin tidak benar, kerana hadis
adalah kata-kata Rasulullah saw, beranikah ente tidak percaya kepada
sabda Rasulullah?.
Baiklah ana teruskan perbincangan, hadis tersebut mahu manyatakan bahawa:
Ente bukanlah ente sebenarnya, tetapi ente itu adalah Dia, dan tidak ada ente.
Ini bukan bermakna Dia memasuki (hulul)
ente atau timbul daripada ente, ataupun ente memasuki Dia. Ini juga
bukan bermakna ente memiliki sifat-sifat atau memiliki wujud. Tetapi
sebaliknya apa yang dimaksudkan hadis tersebut adalah ente langsung
tidak wujud, dan tidak akan ada wujud, sama ada oleh diri ente sendiri
ataupun melalui Dia, ataupun dalam Dia, ataupun dengan Dia.
Dan juga tidak boleh dikatakan, ente
dahulu wujud tetapi sekarang tidak berwujud lagi, ataupun sekarang ente
masih berwujud. Sila ambil perhatian, isi penting yang hendak dinyatakan
oleh hadis itu adalah:
Dia adalah ente dan ente adalah Dia.
Jikalau ente kenal diri ente dengan
cara kesufian ini, maka ente telah kenal akan Dia, jikalau tidak
demikian adanya, sesungguhnya ente tidak kenal akan Dia, tetapi hanya
kenal diri ente yang tidak berwujud itu.
Jikalau ente tidak dapat menerima
perkara ini, jangan menyalahkan sesiapa, tetapi bawalah ia ke dalam
tafakur ente, semoga Dia berkenan memberikan pengertian.
Semoga bermanfaat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar