Manisnya gula
Manisnya gula.
Apabila akal dan hatinya percaya dan
yakin bahawa tiada yang ada, tiada yang wujud dan tiada yang maujud
tetapi itu semua pada hakikinya adalah Dia (Allah), maka inilah satu
daripada tanda-tandanya salik itu telah sampai kepada matlamat yang
dicarinya.
Selain daripada Dia semuanya ilusi
belaka, yang ada hanyalah Dia semata-mata. Segala sifat, nama, kelakuan
dan dzat adalah Dia semata-mata. Inilah pandangan dan pegangan mereka
yang telah sampai ke tahap yakin sepenuh yakin.
Mereka mempunyai iktikad yang tinggi
dan bulat, iatu sangat-sangat yakin kepada apa yang dipegang oleh akal
dan hatinya. Iktikad mereka pada ketika itu adalah diri mereka sudah
tidak ada lagi, segala yang ada, segala yang berlaku dan segala yang
akan berlaku adalah semata-mata Dia.
Mereka hanya mahu bertawakal dan
berserah kepadaNya. Pasrah tanpa bimbang, ragu-ragu dan was-was. Diri
mereka sendiri telah dianggap binasa, apabila diri telah binasa, yang
tinggal lagi bukan diri mereka, yang tinggal bukan lagi alam, bahkan
hanya Dia semata-mata.
Ini bukanlah bersatu dengan Allah (hulul), tetapi hanyalah tawakal atau berserah kepadaNya dengan dilandasi Makrifatullah.
Inilah pegangan mereka yang dikasihiNya sama ada mereka yang
terdahulu ataupun pada masa sekarang ini. Mereka tidak menggunakan ilmu
jampi serapah, ilmu pengasih atau ilmu kebal apabila mereka berhadapan
dengan sesuatu keadaan yang mencabar, tapi yang mereka ada adalah
keyakinan mereka kepada Allah. Dan itu sudah cukup untuk menyelamatkan
mereka dari mara bahaya di dunia dan akhirat.
Yakin kepada kekuasaan Allah, membuatkan mereka tidak merasa takut
kepada mara bahaya sama ada di dunia ini atau di alam ghaib (akhirat),
mereka tidak takut selain Allah.
Keyakinan kepada Allah itu, yang membuatkan mereka tidak berbekas
oleh senjata tajam, pedang mahupun peluru senapang dan sebagainya.
Keyakinan hanya semata-mata Allah itulah, yang membuatkan mereka berani,
gagah, kuat dan selamat dari sebarang mara bahaya.
Ini bukanlah ilmu bersatu dengan Allah,
tidak mungkin kita dapat bersatu dengan Dia. Kerana Dia itu esa jua.
Tidak mungkin sesuatu yang esa dapat bersatu dengan yang lain, hanya
yang lebih dari satu (esa) sahaja dapat bersatu, contohnya, kopi dan
susu, dapat bersatu menjadi benda baru iaitu kopi susu. Tetapi jikalau
hanya ada kopi sahaja bagaimana dapat ia bersatu menjadi kopi susu, kopi
(esa) tetap kopi selama-lamanya.
Mereka yang mempunyai keyakinan di
peringkat ini, tidak memandang lagi kepada yang lain, tetapi hanya
kepada Dia. Mereka tidak lagi memandang alam sebagai alam, tetapi yang
mereka pandang itu adalah Wajah Allah “berserta” alam. Mereka tidak lagi
melihat diri, sebagai diri, tetapi yang mereka lihat itu adalah Wajah
Allah “beserta” diri.
Bukan mereka menafikan kewujudan sifat
alam atau sifat makhluk atau sifat diri, alam dan makhluk itu tetap ada
buat sementara (walaupun hakikatnya tiada), tetapi mereka manggangap
alam dan makhluk itu telah binasa dalam Wajah Allah.
Kalau dibuat analogi, mereka hanya tertuju kepada sifat manis, tetapi bukan tertuju kepada sifat gula.
Semoga bermanfaat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar