Laman

Minggu, 25 Februari 2018

HADIAH SANG KEKASIH...


Wahai diriku,
Pandanganmu, pendengaranmu, akalmu, perasaanmu tak akan mampu mengungkap rahsia kehidupanmu. Rahsia nafasmu tiada mampu engkau bicarakan walaupun ia yang menyebabkan segala anggota badanmu berfungsi.
Apakah nafas itu? Adakah ia ruh atau limpahan ruh atau nyawa? Dari mana bermula pergerakan nafas dan dari alam mana ia datang dan ke mana menghilang selepas kematian?
Kerana kelemahan ini, RASULULLAH ﷺ diutuskan sebagai Nur bagi sekelian umat, pencinta bagi sekelian manusia dan jin, meninggalkan mukjizat Baginda iaitu Al-Quran untuk ditafakur dan ditadaburkan.[1]
Firman ALLAH:
قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ
“Sesungguhnya telah datang kepadamu NUR dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
Benarlah Baginda ﷺ adalah NUR dan pembawa kerahmatan buat sekelian alam.
Buat umat, seakan Baginda ﷺ berkalam:
“Wahai umatku,
Melihatlah engkau, mendengarlah engkau, berfikirlah engkau, merasalah engkau dengan cahaya yang ku tinggalkan padamu. Ia membawa matamu melihat gambaran yang tak mampu matamu melihat, membawa telingamu kepada suara yang tak mampu engkau mendengar, memberi jawaban yang akalmu tak mampu memecahkan jawaban, membawa perasaanmu kepada merasai hakikat kebenaran. Barangsiapa hidupnya bersuluh dengan cahaya ini, ia tiada akan sesat selamanya.”
Wahai diriku,
Kembali kepada RASULULLAH ﷺ Ia adalah cahaya sebagai penyelamat yang diutus oleh Allah kepada sekelian hambaNya. Keseronokan yang kamu sangka syurga adalah neraka, kebebasan yang kamu sangka bebas adalah penjara, kesakitan yang kamu lihat bagaikan neraka adalah syurga. Tiada manusia yang teguh agamanya membunuh diri, tapi mereka yang hidup dalam dunia kebebasan dan keseronokan ramai yang membunuh diri tanpa sebab, walaupun kehidupannya dikelilingi pelbagai kemewahan.
Manusia boleh menipu orang lain, tapi mereka tak mampu menipu diri sendiri. Mereka ketawa dalam tangisan, mereka bermegah dalam ketakutan. Kemewahan dunia tiada mampu mententeramkan jiwa.
Larilah dari hidup kepura-puraan, tiada apa yang untung malah kerugian dan kerugian. Cintailah mukjizat Rasulmu dan dakaplah ia bagaikan nyawamu dan ia adalah permata yang paling berharga dari segala yang ada di dunia ini. Tanpanya engkau akan terus tertipu dengan matamu, telingamu, akalmu dan perasaanmu. Kamu hidup dalam dunia anggapan, persepsi, khayalan dan kemungkinan.
Rugilah dirimu jika segala apa yang kamu anggap benar itu tiada benar, apa yang kamu anggap kebaikan itu adalah keburukan. Maka hargailah dengan sepenuhnya wahai diriku akan lembaran cahaya hadiah kekasihmu RASULULLAH ﷺ yang diambilnya dari Tuhan Pencipta dirimu
Walid Al-Malik

Tidak ada komentar:

Posting Komentar