Wahai diriku,
 Pandanganmu, 
pendengaranmu, akalmu, perasaanmu tak akan mampu mengungkap rahsia 
kehidupanmu. Rahsia nafasmu tiada mampu engkau bicarakan walaupun ia 
yang menyebabkan segala anggota badanmu berfungsi.
 Apakah nafas itu? Adakah ia ruh atau limpahan ruh atau nyawa? Dari mana
 bermula pergerakan nafas dan dari alam mana ia datang dan ke mana 
menghilang selepas kematian?
 Kerana kelemahan ini, RASULULLAH ﷺ 
diutuskan sebagai Nur bagi sekelian umat, pencinta bagi sekelian manusia
 dan jin, meninggalkan mukjizat Baginda iaitu Al-Quran untuk ditafakur 
dan ditadaburkan.[1]
 Firman ALLAH:
 قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ
 “Sesungguhnya telah datang kepadamu NUR dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
 Benarlah Baginda ﷺ adalah NUR dan pembawa kerahmatan buat sekelian alam.
 Buat umat, seakan Baginda ﷺ berkalam:
 “Wahai umatku,
 Melihatlah engkau, mendengarlah engkau, berfikirlah engkau, merasalah 
engkau dengan cahaya yang ku tinggalkan padamu. Ia membawa matamu 
melihat gambaran yang tak mampu matamu melihat, membawa telingamu kepada
 suara yang tak mampu engkau mendengar, memberi jawaban yang akalmu tak 
mampu memecahkan jawaban, membawa perasaanmu kepada merasai hakikat 
kebenaran. Barangsiapa hidupnya bersuluh dengan cahaya ini, ia tiada 
akan sesat selamanya.”
 Wahai diriku,
 Kembali kepada 
RASULULLAH ﷺ  Ia adalah cahaya sebagai penyelamat yang diutus oleh Allah
 kepada sekelian hambaNya. Keseronokan yang kamu sangka syurga adalah 
neraka, kebebasan yang kamu sangka bebas adalah penjara, kesakitan yang 
kamu lihat bagaikan neraka adalah syurga. Tiada manusia yang teguh 
agamanya membunuh diri, tapi mereka yang hidup dalam dunia kebebasan dan
 keseronokan ramai yang membunuh diri tanpa sebab, walaupun kehidupannya
 dikelilingi pelbagai kemewahan.
 Manusia boleh menipu orang lain,
 tapi mereka tak mampu menipu diri sendiri. Mereka ketawa dalam 
tangisan, mereka bermegah dalam ketakutan. Kemewahan dunia tiada mampu 
mententeramkan jiwa.
 Larilah dari hidup kepura-puraan, tiada apa 
yang untung malah kerugian dan kerugian. Cintailah mukjizat Rasulmu dan 
dakaplah ia bagaikan nyawamu dan ia adalah permata yang paling berharga 
dari segala yang ada di dunia ini. Tanpanya engkau akan terus tertipu 
dengan matamu, telingamu, akalmu dan perasaanmu. Kamu hidup dalam dunia 
anggapan, persepsi, khayalan dan kemungkinan.
 Rugilah dirimu jika
 segala apa yang kamu anggap benar itu tiada benar, apa yang kamu anggap
 kebaikan itu adalah keburukan. Maka hargailah dengan sepenuhnya wahai 
diriku akan lembaran cahaya hadiah kekasihmu RASULULLAH ﷺ  yang 
diambilnya dari Tuhan Pencipta dirimu
  Walid Al-Malik