Laman

Kamis, 12 Mei 2016

Andai ini yang terakhir


BUATLAH sebanyak mungkin kebaikan dalam apa juga perbuatan kerana tidak seorangpun daripada kita yang tahu sehingga bila kita dihidukanp di dunia ini. Sesungguhnya kematian akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja kerana janji Allah tentang kematian itu adalah sesuatu yang amat benar.
saban hari dalam menjalani kehidupan jangan sesaat pun kita lupa akan kematian, kerana kematian itu sentiasa mengekori perjalanan kehidupan manusia. Cuma tidak seorangpun daripada kita yang tahu bila dan waktunya nyawa kita akan diambil oleh pemilik alam ini iaitu Allah SWT.
Justeru, dalam menjalani apa juga bentuk kehidupan seseorang manusia hendaklah sentiasa memotivasikan diri mereka untuk berbuat sebanyaknya kebaikan dan binalah setinggi mungkin kejayaan semasa hayat masih ada kerana kematian itu adalah rahsia Allah dan akan mendatangi manusia pada bila-bila masa sahaja.
Hakikatnya kematian akan melembutkan hati yang sedang dilanda kesengsaraan. Kematian juga akan melapangkan jiwa yang sedang dalam kesempitan. Ini kerana walau seberat manapun kesulitan yang dilalui manusia di dunia yang fana ini, apabila tiba saat kematian segala yang ada di dunia ini pastinya akan ditinggalkan.
Seseorang manusia yang ada kesedaran tentang kematian pastinya akan sentiasa bermotivasi untuk menjalani kehidupan dengan hanya melakukan perkara yang hanya mengundang kebaikan. Ini kerana apabila seseorang manusia itu sedar bahawa kehidupannya tidak lama dan barangkali hari ini adalah kehidupan yang terkahir, sudah tentu akan mendorong seseorang mukmin untuk bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kalian lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kalian, kemudian kalian akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan”. (Surat Al Jumu`ah, ayat 8).
Menurut Ustazah Muzayyanah, sekiranya kita menyematkan dalam sanubari bahawa kematian itu akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja, ianya akan mendorong manusia untuk meningkatkan amal ibadah di sisi Allah. Seseorang manusia akan berbuat baik sesama manusia, akan ada cinta dan kasih sayang sesama ahli keluarga, akan saling menghormati sesama jiran tetangga dan menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Seseorang yang sentiasa mengingati akan kematian pastinya akan membawa diri mereka berada dalam suasana yang sentiasa insaf dan berbuat kebaikan tanpa batasan. Mengingati saat kematian yang pastinya hadir kepada manusia membuatkan seseorang itu tidak sanggup untuk berbuat dosa walau sekelumit zarah sekalipun kerana takut akan azab Allah yang amat pedih dan neraka yang menakutkan manusia.
Justeru, seseorang mukmin itu hendaklah selalu melapangkan hatinya untuk sering mengingati bahawa kematian itu rahsia Allah yang pasti datang kepada manusia pada bila-bila masa sahaja. Kematian itu adalah sesuatu yang pasti dan kematian yang baik (husnul khatimah) akan mendatangi seseorang mukmin yang hidupnya dipenuhi dengan kebaikan dan amalan soleh terhadap Allah SWT.
Namun jika seseorang manusia yang hidupnya dipenuhi dengan kemaksiatan, membuat kejahatan sesama manusia, tidak taat kepada perintah Allah, tidak solat dan tidak beramal soleh kepadaNya, sudah pasti seseorang manusia itu walaupun hidupnya dikurniai dengan nikmat kekayaan harta, namun kematiannya dalam keadaan yang amat papa dan azab Allah di akhirat pasti sedang menantinya.
Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud “Di mana saja kamu berada, kematian pasti akan mendapati kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (An-Nisa ayat 78)
Seseorang mukmin yang selalu mengingati bahawa kematian itu akan tiba bila-bila masa sahaja sering berdoa kepada Allah SWT agar didatangi dengan kematian yang baik buat dirinya. Oleh sebab itulah kita disaran untuk sentiada mengingati diri akan kematian kerana kematian itu sendiri mendorong manusia untuk selalu mengetuk pintu taubat seandainya ada kekhilafan yang dilakukan.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW bahawa orang-orang yang mengingati mati adalah orang yang bijak kerana orang-orang yang mengingati kematian akan membekalkan dirinya dengan sebanyak mungkin perbuatan yang mendatangkan pahala dan meningkatkan timbangan amalnya di akhirat kelak.
Orang yang sepanjang hidupnya mencari kebaikan, mengumpul pahala Allah dan selalu meletakkan matlamat akhirat sebagai keutamaan dalam kehidupan adalah orang yang bijak merancang kehidupannya yang bukan sahaja untuk mendapat redha Allah di dunia tetapi merancang kehidupan untuk menghuni syurga Allah SWT di akhirat nanti.
Namun malangnya bagi sesetengah manusia yang leka akan kematian dan merasakan kematian itu masih jauh dari dirinya kerana terpedaya dengan hasutan tipu daya syaitan yang sentiasa membelenggu hati manusia. Orang-orang yang jauh dari perintah Allah, tidak berusaha memperbaiki diri dan tidak ada keinginan untuk mengingati kematian akan terus dibelenggu dengan kesibukan-kesibukan dunia yang membuat dirinya jauh dari mengingati kematian. Lalu golongan ini akan seronok membuat kejahatan dan hidup dalam kerugian.
Hakikatnya kematian akan mendatangi semua makhluk dan manusia yang hidup, sama ada orang-orang yang soleh mahupun ahli maksiat, seseorang yang turun ke medan perang ataupun yang hanya tinggal di dalam rumah sahaja, seseorang yang bersemangat meraih kebaikan ataupun yang lalai dan leka. Semuanya akan menemui kematian bila telah sampai ajalnya, kerana Allah SWT telah menyebutnya di dalam ayat al-Quran yang bermaksud “Seluruh yang ada di atas bumi ini fana’ (tidak kekal).” (Ar-Rahman ayat 26).


Tidak ada komentar:

Posting Komentar