Laman

Senin, 20 Juni 2016

Ahli Hakikat Tidak Perlu Syariat?


Ada segolongan dari pengamal ilmu tarekat (hakikat) mendakwa bahawa mereka sudah tidak perlu bersholat, berpuasa, zakat atau mengerjakan haji kerana mereka sudah mencapai maqam haqiqat yang sebenar. Apakah benar dakwaan sebegini? Dan bolehkan mereka yang mendakwa sedemikian dijadikan ikutan?
Kami (hamba Allah yang faqir algi haqir abu zahrah) menjawab: Dakwaan itu adalah bathil, kerana hakikat setinggi mana sekalipun tidak terpisah dengan syariat. Dakwaan tersebut dilontarkan bukan oleh golongan thoriqat, sebaliknya golongan bathiniah yang bertopengkan thoriqat, atau golongan thoriqat yang palsu. Ahli sufi atau ahli thoriqat yang hak tidak mendakwa sedemikian.
Mari kita lihat apa kata para ulama’ terutamanya ulama’ tasawuf atau para masyaikh thoriqat yang mu’tabarah yang juga merupakan Kata-kata ulama berkenaan dengan syariat dan tasawuf (thoriqat/hakikat)
Syaikh al-‘Allamah al’Arifbillah Abi al-Qasim Abdul Karim bin Hawazin bin ‘Abdul Malik bin Talhah bin Muhammad al-Qusyairi an-Naisaburi menyebut di dalam kitab al-Risalah al-Qusyairiyah:
Telah berkata seorang lelaki kepada Junaid [al-Baghdadi]: Diantara ahli ma’rifah ada satu kaum yang mengatakan bahwa meninggalkan harakat [amal perbuatan – ubudiah] termasuk dalam bab berbuat baik dan taqwa. Maka Junaid [al-Baghdadi] berkata: Ini adalah perkataan orang-orang yang ingin menggugurkan ‘amal [menggugurkan taklif]. Dan mereka disisiku perkara ini besar. Dan sesungguhnya orang yang mencuri dan berzina pun masih lebih baik daripada orang yang mengatakan hal tersebut kerana para arifbillah mereka memperoleh ‘amal dari Allah Ta’ala dan ber’amal kerana Allah Ta’ala. Dan andaikata aku hidup 1,000 tahun, aku tidak akan meninggalkan amal-amal kebajikan sebesar zarrahpun.
Syaikh Junaid al-Baghdadi berkata lagi:
علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة من لم يقرأ القرآن ويكتب الحديث لا يقتدى به في علمنا هذا
Manakala Abu Yazid al-Bistami pula berkata:
Andaikata kalian melihat seorang yang diberikan pelbagai karamah, hingga di dapat terbang diudara sekalipun, maka janganlah kamu terpedaya, hingga kalian melihat bagaimana dia mematuhi perintah, larangan dan menjaga batas-batas Allah (hukum-hukum Allah) dan bagaimana ia menjalankan syariat.
Imam Malik رضي الله عنه berkata:
مَنْ تصوف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق، ومن جمع بينهما فقد تحقق
Barangsiapa bertasawuf (berhaqiqat) dan tiada berfeqah maka dia zindiq, dan barangsiapa yang berfeqah tiada bertasawuf maka dia fasiq, dan barangsiapa yang menghimpun keduanya maka dia tahqiq. (Kitab sharh ‘ain al-ilm wa zain al-Hilm; Mulla Ali Qari)
Yang pertama dikatakan sebagia zindiq kerana ia melihat kepada haqiqat tanpa melaksanakan hukum-hukum syariat yang ditaklifkan kepadanya. Makakala yang kedua dikatakan sebagai fasiq kerana syariat zahirnya bagus namun bathinnya masih bergelumang dengan mazmumah, tiada keikhlasan pada amalannya. Dan ketiga itu dikatakan tahqiq kerana dia telah menghimpunkan diantara syariat dan haqiqat. Sempurna zahir dan bathinnya.
Telah berkata Abu Nuaim al-Asbahani didalam kitabnya Hilyatul Auliya:
كان أبو حفص يقول: من لم يزن أفعاله وأحواله في كل وقت بالكتاب والسنة، ولم يتهم خواطره فلا تعده في ديوان الرجال
Abu Hafs [Umar bin Salamah al-Haddad; wafat 260H/874M] berkata: Barangsiapa yang tidak menimbang perbuatannya dan ahwalnya setiap waktu dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah, dan tidak merasa syak terhadap lintasan-lintasan hatinya, maka ia tidak termasuk di dalam diwan al-rijal
Sultanul Auliya’ Shaikh Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه berkata:
كل حقيقة لا تشهد لها الشريعة فهي زندقة. طِرْ إِلى الحق عز وجل بجناحي الكتاب والسنة، ادخل عليه ويدك في يد الرسول صلى الله عليه وسلم
Setiap haqiqat yang tidak disaksikan baginya dengan syariat, maka ia adalah zindiq. Terbanglah kepada al-Haq عز وجل dengan sayap al-Kitab dan as-Sunnah. Masuklah kepadaNya sedangkan tanganmu dalam gengaman tangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم . – Fathur rabbani -
ترك العبادات المفروضة زندقة. وارتكاب المحظورات معصية، لا تسقط الفرائض عن أحد في حال من الأحوال-الفتح الرباني للشيخ عبد القادر الجيلاني
Meninggalkan ibadat yang fardhu adalah zindiq. Melakukan perkara yang terlarang adalah ma’siat. Tidak gugur akan kefardhuan daripada seseorang ketika ia berada di dalam satu hal diantara ahwalnya. - Fathur rabbani -
Shaikh Abdul Wahab ash-Sha’rani berkata di dalam Thabaqatul Kubra:
من دقق النظر علم أنه لا يخرج شىء من علوم أهل الله تعالى عن الشريعة وكيف يخرج والشريعة صلتهم إلى الله عز وجل في كل لحظة
Barangsiapa yang menghalusi penelitiannya terhadap ilmu tasawuf, ia mengetahui bahwasanya tidak terkeluar satupun daripada ilmu-ilmu ahlillah (ilmu shufi atau ilmu haqiqat) daripada landasan syariat. Dan bagaimana mereka boleh terkeluar daripada landasan syariat sedangkan ianya merupakan penghubung mereka kepada Allah pada setiap saat.
Shaikh Abul Hasan ash-Shadhuli رضي الله عنه berkata
إِذا عارض كشفُك الصحيح الكتابَ والسنة فاعمل بالكتاب والسنة ودع الكشف، وقل لنفسك: إِن الله تعالى ضمن لي العصمة في الكتاب والسنة، ولم يضمنها لي في جانب الكشف والإِلهام
Apabila kasyafmu bercanggah dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah, maka beramal dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah dan tinggalkan kasyaf itu. Dan katakanlah kepada dirimu: Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menjaminkan bagiku akan 'ismah (keterpeliharaan) al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah, dan Dia tidak pernah menjamin tentang 'ismah kasyaf, ilham [kecuali jika kasyaf dan ilham itu tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah].
Abu al-Hussin al-Warraq berkata:
لايصل العبد إلى الله الا بالله، وبموافقة حبيبه صلى الله عليه وسلم في شرائعه. ومن جعل الطريق إلى الوصول في غير الإقتداء يضل من حيث يظن أنه مهتد
Tiada sampai seseorang hamba kepada Allah melainkan dengan Allah dan mengikut syariat kekasihNYA, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Sesiapa yang menjadikan jalan untuk sampai kepada Allah tanpa mengikuti Rasulullah صلى الله عليه وسلم , dia akan sesat dalam keadaan dia menyangka diberi petunjuk oleh Allah.
Abu Said Ahamd bin Isa al-Kharraz (wafat 277H) berkata:
كل باطن يخالفه ظاهر فهو باطل
Setiap perkara yang bathin yang bercanggah dengan perkara yang dzahir (syariat), maka ia adalah bathil.
Demikianlah sebahagian daripada petikan dari kata-kata ulama’ besar tasawwuf yang mana ada dikalangan mereka hidup dizaman salafus sholeh dan mereka inilah merupakan diantara imam-imam shufi yang mu’tabar.

 

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar