Laman

Minggu, 19 November 2017

Amalan dzikir


AMALAN Zikir memiliki berbagai kelebihan sepertimana yang masyhur dinyatakan dalam kitab-kitab Hadits. Hadhrat Hafiz Ibnul Qayyim Rahmatullah ‘alaih yang merupakan seorang ‘Ulama Hadits telah menyatakan berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan Zikir. Beliau menyatakan terdapat lebih dari seratus faedah yang dapat diperolehi menerusi amalan Zikir dan telah beliau nukilkan sebanyak tujuh puluh sembilan faedah di dalam sebuah risalah yang bertajukAl-Wabil. Hadhrat Maulana Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi Rahmatullah ‘alaih telah meyalin faedah-faedah itu satu persatu secara ringkas dalam kitabnya Fadhail Zikir dan hamba pun menyalinnya sebagai berikut:
1.  Zikir adalah menjauhkan Syaitan dan menghancurkan kekuatannya.
2. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala redha.
3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.
4. Zikir adalah menggembirakan hati.
5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan sanubari.
6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.
7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan mencurah-curah yakni memurahkan rezeki.
8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar.
9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana cinta itulah merupakan Ruh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barang siapa ingin mendapatkan cinta Ilahi itu maka hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya. Sebagaimana mutala’ah dan muzakarah itu merupakan pintu kejayaan ilmu, demikianlah Zikrullah itu merupakan pintu Cinta Ilahi.
10. Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat Ihsan. Denganadanya martabat Ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah dia melihatNya dan keadaan seperti inilah yang merupakan tujuan asasi daripada perjuangan Para Sufi.
11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat- bulatnya kepada Allah.Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi pelindung dan pembantu baginya.
12. Zikir adalah membawa seseorang kepada Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya dia bertambah dekat kepada Allah dan sebaliknya jika dia bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya dia bertambah jauh daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
13. Zikir adalah membukakan pintu Ma’rifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan keagungan dan kehebatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan melahirkan semangat buat merapatkan diri denganNya.
15. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ingat kepada seseorang yang ingat kepadaNya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran:“F a zk u ru n I Azkurkum.” Ertinya: Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu. Dan diterangkan pula di dalam Hadits: “Man Zakarani Fi Nafsihi, Zakrtuhu Fi Nafsi.” Ertinya: Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu.”
16. Zikir adalah menghidupkan hati. Hafiz Ibnu Taimiyah Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa perbandingan Zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu jika ia tidak berada di dalam air?
17. Zikir adalah santapan bagi Ruh dan Hati. Andaikata jika kedua-duanya tidak dapat menikmati santapannya maka adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.
18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karat kekotorannya sepertimana diterangkan di dalam Hadits bahawa tiap-tiap sesuatu ada daki dan kekotoran baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.
19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat.
20. Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh rasa ragu atau gelisah terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ianya dapat dihapuskan hanya oleh Zikrullah.
21. Orang yang berzikir dengan mensucikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, memujiNya, mengagungkanNya dan mengesakanNya, maka kalimah-kalimah zikirnya itu akan berpusing-pusing mengelilingi ‘Arash Allah Subhanahu Wa Ta’ala sambil menyebut nama penzikir itu dengan suara yang perlahan.
22. Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah Subhanahu Wa Ta’ala ingat pula kepadanya dalam kesusahan.
23. Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada azab Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
24. Zikir adalah menyebabkan turunnya Sakinah ketenangan dan Para Malaikat melingkungi orang-orang yang berzikir itu.
25. Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang yang berzikir itu daripada menumpat, mencela, berdusta, maki hamun dan bercakap yang sia- sia. Telah dibuktikan oleh kenyataan bahawa barangsipa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka terselamatlah daripada sifat-sifat yang keji. Sebaliknya orang yang tidak biasa dengan zikir maka dengan sendirinya dia terlibat di dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.
26. Majlis-majlis zikir adalah seperti majlis Para Malaikat sebaliknya majlis kelalaian yakni majlis yang peserta-pesertanya lalai daripada berzikir adalah seperti majlis Syaitan. Kini terserah kepada manusia, sertailah majlis mana yang suka. Menururt kebiasaan manusia sukakan akan sesuatu yang sesuai dengan sikap dan perangainya.
27. Zikir adalah memasukkan orang-orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang sia-sia adalah tercampak ke dalam kancah kecelakaan. Demikian juga orang-orang yang menyertai mereka itu.
28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada menyesal pada Hari Qiyamat. Di dalam Hadits ada disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada Zikrullah menyebabkan mendapat kerugian dan menyesal pad Hari Qiyamat.
29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri maka pada Hari Qiyamat dia akan ditempatkan di bawah naungan ‘Arash Ilahi di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang amat dahsyat itu.
30. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan Zikrullah.
31. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam Syurga.
32. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana Zikrullah.
33. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Barangsiapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang Aku berikan kepada orang-orang yang berdoa.”
34. Sungguhpun zikir merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afdhal dan utama daripada seluruh ibadat kerana menggerakkan lidah itu lebih mudah daripada menggerakkan seluruh badan.
35. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain yang mana diterangkan di dalam mafhum sebuah Hadits: “Barangsiapa yang membaca kalimah:La Ilaha Illa Allahu Wahdahu La Syarikalahu, Lahul Mulk Wa Lahul Hamd, Wa Huwa ‘Ala Kulli Syai in Qadir, sebanyak seratus kali pada suatu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripadanya seratus dosa, dipelihara daripada godaan Syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afdhal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi.”
36. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara Istiqamah, dia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan Dunia dan Akhirat, kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian. Diperingatkan oleh Allah di dalam Kitab Suci Al- Quran pada Surah Al-Hasyar ayat 19 yang ertinya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju ke arah kejayaan yang hakiki kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya dia terlalai daripada muslihat-muslihatnya dan akhirnya dia akan menjadi mengsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak enghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa dan akhirnya keadaan berubah menjadi belukar.
37. Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala dia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga dia cinta kepada zikir. Sepertimana seorang yang cinta kepada air ketika dia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika dia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa dia merasai panas atau dingin yang amat sangat, bahkan Zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-gala yang disebutkan itu tidak tersedia, maka tubuh ksar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, Ruh dan Hati juga akan mengalami kebinasaan.
38. Zikir adalah merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah Ma’rifat. Menururt istilah ‘Ulama Tasawwuf, pohon itu mendatangkan buah Ahwal dan Maqamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh dan semakin akarnya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.
39. Zikir adalah sumber syukur. Barangsiapa yang tidak mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dia tidak dapat bersyukur kepadaNya.
40. Dengan zikir, seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika dia beristirehat ataupun berada di pasar, ketika dia sihat ataupun sakit, ketika dia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada dalam serba kekurangan. Pada setiap masa dan dalam setiap keadaan dia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan dia mencapai kemajuan dengan secra terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir, maka dalam setiap keadaan dia meningkat ke martabat yang setinggi-tingginya.
41. Zikir adalah intisari Ilmu Tasawwuf yang diamalkan oleh setiap Ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Barangsiapa yang telah menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala nescaya dia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
42. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah dia mengalami kerugian demi kerugian.
43. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan saja ia menyubur ke bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun dia tidak berharta benda, memuliakannya walaupun dia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun dia tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti dia akan dihinakan walaupun dia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.
44. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menseraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat, yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan yang keji itu dibersihkan dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera Syaitan itu diceraikan daripadanya dan Akhirat yang jauh itu didekatkan dan Dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.
45. Zikir adalah mendekatkan kepada Zat yang zikirnya dikerjakan sehingga mendapat penyertaan denganNya sebagaimana diterangkan di dalam Al- Quran, “Inna Allaha Ma’allazi Nattaqau,” yang bererti: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala berserta orang-orang yang bertaqwa. Diterangkan di dalam satu Hadits Qudsi, “Ana Ma’a ‘Abdi Ma Zakarani,” ertinya: Adalah Aku menyertai hambaKu selama dia mengingati Aku. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku. Aku tidak menjauhkannya daripada RahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka, maka Aku menjadi Kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi Jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka ke alam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa.”
46. Penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. Ya Allah, berikanlah kepadaku barang sedikit daripada kenikmatanNya.
47. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta dan seimbang pula dengan berjuang pada Jalan Allah.
48.Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam pernah berkata kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur kepadaMu.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman kepadanya:“Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur.”
49.Di dalam Hadits yang lain diterangkan bahawa Hadhrat Musa ‘Alaihissalam memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah! Bagaimanakah cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:“Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir.”
50. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah Taqwa ialah Syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
51. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.
52. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.
53. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada Zikrullah.
54.Allah Subhanahu Wa Ta’ala menurunkan RahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan Para Malaikat berdoa untuk mereka.
55. Barangsiapa yang ingin menikmati Syurga sedangkan dia masih berada di dalam Dunia ini maka hendaklah dia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah seumpama taman-taman Syurga.
56. Barangsiapa senantiasa berzikir, dia akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum.
57. Amalan yang paling afdhal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afdhal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afdhal ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya dan demikianlah Jihad serta amalan-amalan yang lainnya.
58. Zikir adalah pengganti kepada ibadat-ibadat Nafilah. Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadits bahawa segolongan orang-orang miskin datang lalu merayu hal mereka kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan berkata, “Ya Rasulullah, saudara kami yang berharta benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan Haji, Umrah, Jihad dan lain-lainya.” Sebagai menjawab Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Mahukah kamu sekelian ku ajarkan sesuatu untuk mencapai yang mendahului dan untuk mendahului sesudah kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afdhal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat.” Selanjutnya Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bacalah kamu sekelian: Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar selepas tiap-tiap Solat.” Ini menunjukkan bahawa Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganggap zikir ini sebagai pengganti haji, umrah, jihad dan lain-lain bagi yang tidak berada.
59. Majlis Zikir adalah majlis Para Malaikat.
60. Allah Subhanahu Wa Ta’ala membanggakan orang-orang yang berzikir di hadapan Para Malaikat.
61. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.
62. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat yang lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya maka ibadat-ibadat yang lain itu menjadi mudah dan senang serta kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar, oleh itu semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.
63. Dengan berzikir semua keberatan akan berubah menjadi ringan, setiap kesukaran akan berubah menjadi senang, setiap bebanan menjadi ringan dan semua bala bencana akan terlenyap.
64. Lantaran zikirlah maka segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar.
65. Zikrullah adalah mempunyai kuasa yang terkhas untuk melahirkan ketenteraman dan untuk melenyapkan ketakutan. Ianya mempunyai kesan yang teristimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.
66.Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas kepada manusia. Maka dengan kekuatan itu diadapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.
67.Pemberes urusan-urusan keakhiratan adalah dahulu-mendahului di antara satu dengan yang lain dan di dalam mendahului ini yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir. Di dalam sebuah Hadits, Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda,
“Telah mendahului mereka yang Munfarrid.” Para Sahabat bertanya, “Siapakah yang Munfarrid itu Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka.”
68. Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang membenarkan dan menguji orang- orang yang berzikir.Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dusta. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa apabila seorang hamba mengucapkan: “La Ilaha Illa Allah Wallahu Akbar,”maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Benarlah ucapan hambaKu bahawa tiada Tuhan melainkan Aku dan Akulah Maha Besar.”
69. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam Syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka Para malaikat berhenti daripada membina rumah itu. Manakala mereka ditanyakan, mengapakah kamu berhenti daripada membina rumah itu? Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum lagi tiba.
70. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa barangsiapa mengucapkan:“Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Azim” sebanyak tujuh kali nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam Syurga.
71. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam Neraka kerana amal perbuatannya yang tidak baik maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan Neraka Jahannam. Semakin banyak zikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.
72. Jika seseorang yang berzikir di atas sebuah gunung atau di tanah datar maka tempat tersebut akan merasa amat bangga. Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa gunung-ganang bertanya-tanyakan di antara satu dengan yang lain bahawa hari ini adalah seseorang yang berzikir melalui di atas engkau. Jika diberitahukan bahawa ada yang melaluinya sambil berzikir, maka ia berasa gembira lagi bangga.
73. Nur Zikir adalah sentiasa bersama orang yang berzikir itu sama ada di Dunia mahupun di dalam Kubur dan ia memimpin di Titian Sirat. Ia tidak berpisah di mana-mana pun. Diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Kitab Suci al-Quran pada Surah Al-An’am ayat 122 yang bermaksud,“Apa k a h  orang yang sudah mati kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?”Or ang pertama itu beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta makrifat dan zikirnya sementara orang yang kedua itu ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Penghasilan Nur adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang.
74.Para Malaikat beristighfar memohon keampunan bagi orang yang berzikir. Hadits ada menyebut bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan Subhanallahi Wabihamdihiatau Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, maka Para Malaikat berkata,“Ya Allah, ampunilah dia.” Adalah termaklum bahawa doa Para Malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkanNya.
75. Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi kelepasan dari kemunafikan kerana orang-orang yang Munafik tiada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala melainkan sedikit. Hadhrat Ka’ab Ahbar Radhiyallahu ‘anhu berkata, “Barangsiapa berzikir sebanyak-banyaknya maka terpelihara dia daripada kemunafikan.”
76. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai suatu kelazatan yang tidak di dapati pada amalan-amalan yang lain. Hadhrat Malik bin Dinar Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan zikir.
77. Pada wajah orang yang berzikir itu di dapati kegembiraan di Dunia dan akan kelihatan Nur padanya di Hari Qiyamat.
78. Barangsiapa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, dirumah, di dalam safar perjalanan dan ketika berada di kampung, maka dia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di Hari Hisab kelak.
79. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah dia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya. Lidah itu sememangnya tidak mahu diam, ia akan sibuk dengan berzikir, kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan. Demikian juga halnya dengan hati, jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khaliq iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala maka sudah tentu dia akan sibuk dengan mencintai makhluk.
80. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga mengerumuni mereka dari setiap penjuru. Orang yang halnya sedemikian rupa senantiasa berada di tengah-tengah lingkungan para musuh yang mana tiap-tiap seorang darinya ingin menimpakan ke atasnya penderitaan demi penderitaan. Maka tiadalah apa-apa untukmematahkan serangan-serangan musuh itu melainkan Zikrullah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar