Laman

Jumat, 13 Mei 2016

HADIS-HADIS PERINTAH MENAHAN LISAN (RIYADHUS SALIHIN)


بسم الله الرحمٰن الرحيم
Hadis ke-1511:
وعن أَبي هريرة – رضي الله عنه – عن النَّبيِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ» متفق عَلَيْهِ
وهذا صَريحٌ في أنَّهُ يَنْبَغي أَنْ لا يَتَكَلَّمَ إِلاَّ إِذَا كَانَ الكلامُ خَيرًا، وَهُوَ الَّذِي ظَهَرَتْ مَصْلَحَتُهُ، ومَتَى شَكَّ في ظُهُورِ المَصْلَحَةِ، فَلاَ يَتَكَلَّم
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Nawawi memberi komentar: “Hadis ini jelas sekali menunjukkan bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali apabila perbicaraan itu adalah baik, iaitu hal yang telah jelas kemaslahatannya. Dan bila dia masih ragu kemaslahatan tersebut, maka hendaklah dia tidak berbicara.”
Maka apabila kita hendak bercakap, sentiasa hanya bercakap benda yang baik. Kalau tidak ada benda yang baik, dituntut supaya kita diam. Ini bererti, hendaklah kita berfikir dulu sebelum kita bercakap. Bukan cakap dulu baru fikir.
‘Dan bila dia masih ragu kemaslahatan tersebut, maka hendaklah dia tidak berbicara’. Ia membawa maksud bahawa dia fikir dulu sebelum dia mengucapkan sesuatu. Kalau ia jelas ada kebaikan, baru dia bercakap. Kalau terlintas di fikirannya sama ada ucapan itu bermanfaat atau tidak, maka hendaklah dia diam.
Jalan selamat adalah diam. Bukan seperti mana yang biasa orang kata, ‘Cakap je lah, mana tahu baik’. Itu tidak ada istilahnya dalam syarak. Syarak mengatakan seperti mana dalam hadis tadi, ‘Hendaklah dia berkata baik, atau diam’. Kalau ragu-ragu, jalan selamat adalah diam.
Hadis ke-1512:
وعن أَبي موسى – رضي الله عنه – قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ اللهِ أَيُّ المُسْلمِينَ أفْضَلُ؟ قَالَ: «مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ» متفق عَلَيْهِ
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu dia berkata, aku berkata, “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Orang Islam yang paling baik adalah orang Islam yang menjaga lidahnya dan juga tangannya dari mengganggu orang lain. Menjaga tangan maknanya daripada perbuatan memukul, mengambil harta orang, macam-macam lagi. Menjaga lisan maknanya dari kata-kata/ucapan yang boleh menyakiti orang. Maka menjaganya dengan menggunakannya dalam hal-hal yang sentiasa baik.
Hadis ke-1513:
وعن سهل بن سعد، قَالَ: قَالَ رسُولُ اللهِ – صلى الله عليه وسلم: «مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الجَنَّةَ» متفق عَلَيْهِ
Daripada Sahl bin Sa’ad dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara kedua rahangnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya maka aku menjamin untuknya Syurga.” (Riwayat Al-Bukhari, dan tidak ditemui dalam sahih Muslim)
Rasulullah memberi satu kiasan di dalam hendak mengingatkan umat Baginda supaya menjaga lidah. Baginda mengatakan ‘Barangsiapa yang dapat menjaga apa yang berada di antara dua rahangnya’ iaitu lidahnya, ‘dan apa yang berada di antara dua kakinya’ iaitu kemaluannya, ‘maka aku menjamin untuknya Syurga’.
Persoalan, kenapa Rasulullah tidak terus kata ‘Barangsiapa yang menjamin untukku lidah dan kemaluannya’? Kenapa Baginda berkias? Tujuannya adalah supaya kita ambil perhatian, supaya kita berfikir. Sebab kalau ucapan itu dimudahkan, orang akan mengambil mudah. Kita bagi contoh, kalau kita nak orang itu ambil perhatian apa yang kita pesan kepadanya, “Mat, kalau engkau nak buat sesuatu, gunakan apa yang ada di antara dua telinga engkau.” Orang itu akan fikir, di antara dua telinga ada apa?
Tujuannya untuk menarik perhatian, supaya kita ingat apa yang dikata. Seperti mana kadangkala apabila Rasulullah ingin menjelaskan sesuatu, Baginda akan bertanya dahulu. Contoh, “Tahukah kamu siapa yang muflis?” “Tahukah kamu apa itu ghibah?” “Tahukah kamu siapa yang datang tadi?” (dalam hadis Jibril). Kenapa Rasulullah tanya sedangkan Baginda tahu sahabat memang tidak ada jawapannya. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian.
Hadis ke-1514:
وعن أَبي هريرة – رضي الله عنه: أنَّه سمع النبيَّ – صلى الله عليه وسلم – يقول: «إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا إِلَى النَّارِ أبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ المَشْرِقِ والمَغْرِبِ» متفق عَلَيْهِ.
ومعنى: «يَتَبَيَّنُ» يُفَكِّرُ أنَّها خَيْرٌ أم لا.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya dia mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kandungan hadis:
Beratnya hasil buruk yang diperolehi oleh seseorang akibat tidak menjaga lidah, akibat mengucapkan satu perkara yang tidak baik. Hanya satu perkataan menyebabkan dia masuk ke dalam api Neraka yang jarak kedalamannya lebih jauh daripada timur dan barat.Hadis ini juga menunjukkan bahawa Neraka ada peringkatnya. Seperti mana Syurga berperingkat, Neraka juga berperingkat. Dalam bahasa Arab disebut darajat (peringkat ke atas) bagi Syurga, manakala bagi Neraka disebut darakat (tingkatan-tingkatan ke bawah).Darjat yang terbaik adalah yang teratas. Darjat tertinggi bererti kedudukan yang paling baik. Adapun Neraka, yang paling buruk adalah yang paling bawah.
Hadis ke-1515:
وعنه، عن النبيّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ الله تَعَالَى مَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللهُ بِهَا دَرَجاتٍ، وإنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلَمَةِ مِنْ سَخَطِ اللهِ تَعَالَى لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا في جَهَنَّمَ». رواه البخاري
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda. “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia menaruh perhatian padanya maka Allah mengangkatnya lantaran ucapannya itu beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam Neraka Jahannam.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ke-1516:
وعن أَبي عبد الرحمان بِلالِ بن الحارِثِ المُزَنِيِّ – رضي الله عنه: أنَّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «إنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللهِ تَعَالَى مَا كَانَ يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ يَكْتُبُ اللهُ لَهُ بِهَا رِضْوَانَهُ إِلَى يَومِ يَلْقَاهُ، وإنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللهِ مَا كَانَ يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ يَكْتُبُ الله لَهُ بِهَا سَخَطَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ». رواه مالك في المُوَطَّأ، والترمذي، وقال: حديث حسن صحيح
Daripada Abu Abdurrahman Bilal bin Al-Harits Al-Muzani radhiyallahu ‘anh, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya seseorang berkata-kata dengan kalimah yang diredhai Allah sementara dia tidak mengira bahawa ucapannya akan berakibat seperti itu, nescaya Allah akan mencatat untuknya keredhaanNya kerana ucapannya itu sehingga pada hari dia akan menemuiNya. Dan sesungguhnya seseorang berkata-kata dengan kalimah yang dimurkai Allah tanpa dia sangka bahawa ia akan berakibat seperti itu nescaya Allah akan mencatatkan kemurkaanNya kerana ucapannya itu sehingga pada hari dia menemuiNya.” (Riwayat Malik dalam Al-Muwattha’, Al-Tirmizi, dan dia berkata: Hasan Sahih)
Kandungan hadis:
Wajib merenungi dan memikirkan semua perkataan dan perbuatan.Sikap lalai terhadap murka Allah akan menjerumuskan ke dalam Neraka, itulah sejelek-jelek tempat tinggal.Meremehkan dosa dan perbuatan maksiat boleh menyebabkan pelakunya terjerumus dalam kebinasaan.
Hadis ke-1517:
وعن سفيان بن عبد الله – رضي الله عنه – قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ الله حدِّثني بأَمْرٍ أَعْتَصِمُ بِهِ قَالَ: «قلْ: رَبِّيَ اللهُ ثُمَّ اسْتَقِمْ» قُلْتُ: يَا رسولَ اللهِ، مَا أخْوَفُ مَا تَخَافُ عَلَيَّ؟ فَأَخَذَ بِلِسانِ نَفْسِهِ، ثُمَّ قَالَ: «هَذَا». رواه الترمذي، وقال: حديث حسن صحيح
Daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Aku berkata: “Ya Rasulullah, beritahulah aku sesuatu yang dapat aku jadikan pegangan.” Baginda bersabda, “Katakanlah: Allah adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau takutkan atasku? Maka Rasulullah memegang lidahnya kemudian berkata: “Ini.” (Riwayat Al-Tirmizi dan dia berkata: Hasan Sahih)
Kandungan hadis:
Menunjukkan kegigihan sahabat dalam mempelajari kebaikan.Istiqamah adalah dengan ilmu dan amal, seperti mana yang terangkum dalam hadis riwayat Al-Tirmizi yang menerangkan bahawa istiqamah adalah ilmu, manakala dalam riwayat Muslim diterangkan bahawa istiqamah adalah amal.Setelah Nabi memerintahkan untuk istiqamah, Baginda berpesan agar menjaga lidah. Ini mengacu kepada sabda Nabi dalam riwayat lain, “Iman seorang hamba tidak dapat istiqamah sampai hatinya mampu istiqamah, sedang hati tidak dapat istiqamah, sampai lidahnya mampu istiqamah.” (Hasan, riwayat Ahmad)
Hadis ke-1519:
وعن أَبي هريرة – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رسول الله – صلى الله عليه وسلم: «مَنْ وَقَاهُ اللهُ شَرَّ مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ، وَشَرَّ مَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ دَخَلَ الجَنَّةَ». رواه الترمذي، وقال: حديث حسن
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallambersabda, “Barangsiapa yang dilindungi oleh Allah dari kejelekan antara dua rahangnya dan kejelekan antara dua kakinya maka dia akan masuk Syurga.” (Riwayat Al-Tirmizi, dia berkata: Hadis hasan)
Hadis ke-1520:
وعن عقبة بن عامرٍ – رضي الله عنه – قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ اللهِ مَا النَّجَاةُ؟ قَالَ: «أَمْسِكْ عَلَيْكَ لِسَانَكَ، وَلْيَسَعْكَ بَيْتُكَ، وابْكِ عَلَى خَطِيئَتِكَ». رواه الترمذي، وقال: حديث حسن
Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah keselamatan?” Baginda bersabda, “Tahanlah lisanmu, dan jadikanlah rumahmu luas (dengan mengingati Allah dan ketaatan), dan tangisilah dosamu.” (Riwayat Al-Tirmizi, dia berkata: Hadis hasan)
Hadis ke-1521:
وعن أَبي سعيد الخدري – رضي الله عنه – عن النبيِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: «إِذَا أصْبَحَ ابْنُ آدَمَ، فَإنَّ الأعْضَاءَ كُلَّهَا تَكْفُرُ اللِّسانَ، تَقُولُ: اتَّقِ اللهَ فِينَا، فَإنَّما نَحنُ بِكَ؛ فَإنِ اسْتَقَمْتَ اسْتَقَمْنَا، وإنِ اعْوَجَجْتَ اعْوَجَجْنَا». رواه الترمذي.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda, “Apabila anak Adam memasuki waktu pagi, maka sesungguhnya setiap anggota tubuhnya tunduk kepada lidah, seraya berkata, “Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus maka kami pun lurus. Jika kamu bengkok maka kami pun bengkok.” (Hasan, riwayat Al-Tirmizi)
Kandungan hadis:
Kepentingan menjaga lidah demi keselamatan seseorang. Lidah biasanya menjadi penterjemah dan juru bicara kepada hati. Apa yang ada dalam hati biasanya akan muncul melalui lidah.Anggota tubuh manusia saling bergantung antara satu sama lain. apabila satu melakukan kesalahan, ia akan berpengaruh kepada anggota yang lain.
Hadis ke-1522:
وعن مُعَاذٍ – رضي الله عنه – قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَخْبِرْني بِعَمَلٍ يُدْخِلُني الجَنَّةَ وَيُبَاعِدُني مِنَ النَّارِ؟ قَالَ: «لَقَدْ سَألتَ عَنْ عَظيمٍ، وإنَّهُ لَيَسيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللهُ تَعَالَى عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وتُؤتِي الزَّكَاةَ، وتَصُومُ رَمَضَانَ، وتَحُجُّ البَيْتَ» ثُمَّ قَالَ: «ألاَ أدُلُّكَ عَلَى أبْوابِ الخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَما يُطْفِئُ المَاءُ النَّارَ، وَصَلاَةُ الرَّجُلِ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ» ثُمَّ تَلا: {تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ المَضَاجِعِ} حَتَّى بَلَغَ {يَعْمَلُونَ} ثُمَّ قَالَ: «ألا أُخْبِرُكَ بِرَأسِ الأَمْرِ، وَعَمُودِهِ، وَذِرْوَةِ سِنَامِهِ» قُلْتُ: بَلَى يَا رسولَ اللهِ، قَالَ: «رَأسُ الأمْر الإسْلامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةِ سِنَامِهِ الجِهادُ» ثُمَّ قَالَ: «ألاَ أُخْبِرُكَ بِمِلاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ!» قُلْتُ: بلَى يَا رَسولَ اللهِ، فَأخَذَ بِلِسانِهِ وقال: «كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا» قُلْتُ: يَا رسولَ الله وإنَّا لَمُؤاخَذُونَ بما نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فقالَ: «ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ! وَهَلْ يَكُبُّ الناسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟». رواه الترمذي، (1) وقال: «حديث حسن صحيح»، وَقَدْ سبق شرحه في باب قبل هَذَا
Daripada Mu’az radhiyallahu ‘anhu dia berkata: Aku berkata, “Wahai Rasulullah, khabarkan aku sebuah amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam Syurga dan menjauhkanku dari Neraka.” Baginda bersabda, “Engkau telah bertanya suatu yang sangat agung, dan sesungguhnya hal itu adalah mudah bagi orang yang dimudahkan Allah Ta’ala: Sembahlah Allah dan jangan engkau mensyirikkanNya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikan zakat, puasa Ramadan, dan tunaikan haji.” Kemudian Baginda bertanya, “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadam api, dan solatnya seseorang pada tengah malam.”
Kemudian Baginda membaca ayat: “ mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap. Mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami beri kepada mereka. Tidak ada seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (nikmat yang pelbagai) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Sajdah: 16-17)
Kemudian Baginda bersabda, “Mahukah kamu aku khabarkan pokok segala perkara, tiang dan puncaknya?” Aku berkata, “Tentu wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.” Kemudian Baginda bersabda, “Mahukah aku khabarkan kepadamu kunci untuk semua itu?” Aku menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Baginda memegang lidahnya seraya berkata, “Jagalah ini.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kita akan dihisab kerana ucapan kita?” Baginda bersabda, “Ibumu kehilanganmu! Tidakkah manusia tersungkur ke dalam Api Neraka di atas mukanya kecuali hasil dari lidah mereka?” (Riwayat Al-Tirmizi, dia berkata: Hadis hasan sahih)
Kandungan hadis:
Pertanyaan yang cukup agung/besar: kerana masuk syurga dan selamat dari neraka adalah hal yang sangat besar.Betapa besar dan beratnya suatu urusan, namun apabila dia mendapat taufiq, nescaya hal itu akan dipermudahkan baginya. Taufiq hanya diperoleh dengan memohon daripada Allah, dengan itu urusan tersebut menjadi ringan dan mudah.Petunjuk dalil: ‘Seseorang itu tersungkur ke dalam api Neraka di atas wajahnya hasil dari lidahnya’. Menunjukkan bahawa banyak bicara menimbulkan kerosakan yang tidak terhitung.Dianjurkan meninggalkan perbicaraan yang tidak penting, kerana banyak bicara mendatangkan banyak salah, dan banyak salah pasti banyak dosanya.Setiap orang akan diminta pertanggungjawaban atas semua ucapannya, baik bersifat serius ataupun sekadar gurauan.Penghinaan terhadap orang yang dimasukkan ke dalam Neraka adalah dengan dihumban wajah atau hidungnya, kerana wajah adalah anggota tubuh yang paling dihormati. Semoga Allah menyelamatkan kita semua pada hari kiamat kelak.
(Rujukan: Syarah Riyadhus Salihin, Syeikh Salim bin Eid Al-Hilali)
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
(Disalin dari rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan,

Tidak ada komentar:

Posting Komentar