Laman

Minggu, 10 Juli 2016

Tercapainya khusyuk (zikirullah)


Dalam solat, hati mesti mengingati Allah dengan penuhkhusyuk. Firman Allah dalam surah Toha ayat 14 yang bermaksud: “…dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”Kita hanya akan dapat mencapai khusyuk dalam solat jika hati kita sentiasa berzikrullah diluar solat. Rasulullah s.a.w sentiasa ingat akanAllah sepanjang masa, sehingga semasa tidur pun baginda s.a.w ingat Allah. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dua mataku tidur sedangkan hatiku tidak tidur.”
Seorang mukmin yang beramal dengan tarekat tasawuf sentiasa meniru amalan zikir Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sentiasa berzikir.Oleh sebab itu, mudah Rasulullah s.a.w khusyuk dalam solat.Begitulah juga ahli tarekat sepatutnya mudah khusyuk dalam solat.
Amalan zikir dalam sesuatu tarekat sememangnya bertujuan dapat mengubahkeadaan hati daripada lalai (ghaflah) kepada sedar (yaqazah). Malahan keadaan hati akan terus bertambah baik sehingga hati akan tenggelam dalam mengingati Allah. Mari kita lihat tingkat-tingkat zikir seperti yang diajarkan oleh Ibnu Ata’illah dalam kitabnya Hikam.Menurut beliau, zikirullah ada empat tingkat:
a) Zikir ghaflah
Di tingkat zikir ghaflah, tazakkur (satu unsur penting dalam yaqazah) belum berlaku, kerana hati masih lalai (ghaflah).Hati yang lalai tidak berfungsi.Hati yang tidak berfungsi adalah hati yang tidur. Hati yang tidur sama juga dengan hati yang mati. Hati inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Jawahir al-Quran dengan katanya: “Sesungguhnya anda hidup di dunia ini (hati anda) tidur, sekalipun tubuh badan anda berjaga.Hati manusia tidur. Apabila mereka mati, maka hati mereka baru terjaga”.Jika hati tidur tentulah sangat sukar untuk khusyuk dalam solat.Sebaliknya solatnya tenggelam dalam lautan lalai.
b) Zikir yaqazah
Di tingkat dhikiryaqazah, tazakkur baru bermula, kerana hati telah sedar atau telah terjaga atau telah hidup dan dilimpahi cahaya hidayat Allah. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 122 yang bermaksud: “dan Adakah orang yang hatinya mati, kemudian Kami hidupkan, dan Kami jadikan baginya cahaya hidayat yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapat) menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti orang yang (hatinya tetap mati) berada dalam berbagai kegelapan, yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya”.
Di tingkat ini, nur hidayah yang Allah limpahkan ke dalam hati diistilahkan dengan nur intibah, kerana hati menjadi sedar dan hidup.Orang yang menerima permulaan tazakkur ini digelarkan dengan gelaran salik.Golongan salik inilah yang mempunyai peluang yang besar untuk mendapat khusyuk yang minima dalam solat, kerana khusyuk dihubungkan dengan hati yang ingatkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 16 yang bermaksud: “Adakah belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mengingati Allah serta membaca (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?...”
c) Zikir hudur
Di tingkat zikir yang ketiga, ingatan dan tumpuan hati kepada Allah menjadi cukup kuat sehingga hati tertumpu kepada Allah semata-mata.Nur yang dilimpahkan oleh Allah melalui ruang hati diistilahkan sebagai nur al-Iqbal.Dengan nur tersebut, hati benar-benar takut dan gerun terhadap Allah disamping bergantung kepada rahmatNya semata-mata.Hati orang tersebut menjadi merdeka dari semua pengaruh makhluk.Hati tersebut hanya menjadi hamba Allah, yang membolehkan orang tersebut terus bersifat sabar semata-mata inginkan Allah dan keredhaanNya.Orang yang disampaikan di peringkat ini digelarkan dengan salik yang khawas atau salik yang khusus.Golongan inilah yang dapat khusyuk dalam solat yang lebih baik.
d) Zikir ghaiybah
Di tingkat zikir ke empat, tazakkur menjadi sempurna.Nur yang Allah limpahkan ke dalam ruang hati diistilahkan dengan nur al-Wisol iaitu suatu Nur khusus yang menyampaikan hati seseorang ke tingkat haqiqat dan makrifatullah, atau menyampaikannya ke tingkat Ihsan.Di peringkat inilah biasanya orang tersebut mengalami fana’dan kemudiannya diletakkan oleh Allah dalam keadaan baqa’.Menurut ulama-ulama tasawuf, orang yang sampai di peringkat ini dikenali sebagai salik yang khawasul-khawas atau salik yang khususul-khusus.Golongan inilah yang benar-benar dapat mencapai khusyuk sebenar dalam solat.
 
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar