HATI Di sini kita akan membincangkan tentang ruhul amri (hati) yakni
perbahasan secara diurai dan terperinci tentang perjalanan ruhul tamyiz
atau ruhul amri atau qalbun (hati). Yaitu roh yang membedakan antara
manusia, jin dan malaikat dengan haiwan.
Setelah dikaji dalam
kitab-kitab Islam, didapati ada bermacam-macam nama atau istilah roh
yang diberi oleh ulama. Bahkan dalam Al Quran kalau kita lihat ada
bermacam-macam nama. Antara yang terkenal ialah roh. Adakalanya ia
dipanggil dengan qalbun - hati, fuaadun - hati sanubari,
latifatur-rabbaniah atau ruhul amri). Pada orang Melayu ia juga
dipanggil hati, nyawa, hati nurani atau hati sanubari. Tetapi yang
terkenalnya adalah roh saja.
Roh yang sedang kita perkatakan ini,
kalau dia berperasaan seperti sedih, gembira, senang, terhibur, marah
atau sebagainya, maka ia dipanggil dengan roh atau hati atau nyawa.
Tetapi waktu ia berkehendak, berkemauan atau merangsang baik sesuatu
yang berkehendak itu positif atau negatif, baik atau buruk, yang
dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram, di waktu itu ia
tidak dipanggil roh, hati atau nyawa lagi. Tetapi ia dipanggil nafsu.
Kalau di waktu ia berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan menyelidik,
maka ia dipanggil akal.
Kalau begitu uraiannya, maka nafsu, roh
atau akal ini hakikatnya adalah satu. Ia dipanggil akal di waktu ia
berfikir, mengkaji, menilai, memerhati dan menyelidik. Walhal bila
berperasaan, ia tidak dipanggil akal lagi, sebaliknya ia dipanggil roh
atau hati atau nyawa. Tetapi waktu ia berkehendak, berkemahuan atau
merangsang baik sesuatu yang berkehendak itu positif atau negatif, baik
atau buruk, yang dibenarkan atau tidak, yang halal ataupun yang haram,
di waktu itu ia dipanggil nafsu.
Kalau begitu walaupun ia
mempunyai tiga nama atau tiga istilah tetapi hakikatnya adalah satu.
Benda yang sama juga. Cuma peranannya saja yang tidak sama. Peranan yang
tidak sama itulah yang menjadikan namanya tidak sama atau namanya
berlainan.
Untuk mudah difahami begini kiasannya: manusia bila
dia berbohong dinamakan pembohong. Bila dia menipu dinamakan penipu.
Tetapi bila dia mencuri dinamakan pencuri. Bila dia memimpin dipanggil
pemimpin. Dinamakan pembohong, penipu, pencuri dan pemimpin, hakikatnya
adalah orang yang sama. Cuma namanya berbeda bila peranannya bertukar.
Kenapa fisik yang sama dapat timbul istilah yang berlainan? Ini karena
peranannya tidak sama. Apakah bila namanya berlainan, orangnya
berlainan? Tidak! Orang yang sama juga.
Perlu diingat, bila kita
membicarakan tentang roh ini, bukannya pula kita hendak mengkaji hakikat
roh atau mengkaji ain ataupun mengkaji hakikat zat roh itu. karena zat
atau hakikat roh itu tidak akan dapat dilihat oleh mata kepala. karena
ia adalah jismullatif), yakni benda halus yang bersifat maknawiah atau
abstrak. Iaitu tidak dapat dilihat oleh mata kepala tetapi terasa akan
adanya. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Mereka bertanya kepada engkau wahai Muhammad tentang roh.
Hendaklah engkau katakan kepada mereka, ‘Roh itu adalah urusan daripada
Tuhanku’…” (Al Israk: 85)
Dari ayat ini dapatlah kita faham
bahawa hakikat roh itu tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala. Zat
roh itu tidak akan dapat difikirkan oleh akal. Kita tidak tahu bagaimana
rupanya. Sebab tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Tetapi terasa oleh
hati akan adanya. Maka oleh yang demikian, hakikat roh itu tidak dapat
difikirkan oleh akal bagaimana rupanya, bagaimana bentuknya, berapa
tebal atau panjangnya. Ia tidak dapat dibayangkan. Hanya Allah yang tahu
dan tidak ada makhluk yang tahu.
Walaupun Allah berkata hakikat
roh atau zat roh tidak dapat diketahui dan tidak dapat dijangkau oleh
akal dan mata kepala, namun ada juga ulama-ulama yang berijtihad
tentangnya. Antaranya ialah Imam Malik. Beliau pernah berkata: “Roh
manusia itu sama saja bentuknya dengan jasad lahirnya.”
Kalau
diambil ijtihad Imam Malik itu, artinya rupa roh kita ialah seperti rupa
bentuk badan lahir kita. Ini juga memberi arti bahawa walaupun Allah
berkata roh itu adalah urusan-Nya, iaitu hakikat roh itu Allah saja yang
tahu dan makhluk lain tidak mengetahuinya, tetapi tidak pula ada
larangan dari Allah kalau ada sesiapa yang ingin berijtihad untuk
mengkajinya.
Bagi sesetengah orang, mungkin Allah beri ilmu yang
mendalam tentang hal ini sehingga dia dapat menjangkaunya. Oleh itu
maksud ayat Al Quran yang menyatakan ‘roh itu adalah urusan Tuhanku’,
Allah bermaksud kebanyakan manusia tidak dapat mengetahuinya tetapi
tidak pula menolak kalau ada orang-orang yang tertentu secara khusus
yang Allah beri ilmu tentang hakikat roh ini sehingga dapat
menghuraikannya.
Mengikut pendapat saya boleh jadi juga Imam
Malik memperkatakan hakikat roh ini bukan berdasarkan ijtihadnya saja
tetapi juga berdasarkan kasyaf. Kalau berdasarkan ijtihad tidak mungkin
akal beliau dapat menjangkaunya karena roh itu jismullatif (tubuh
halus). Ia adalah hati nurani yang bersifat maknawiah. Diibaratkan
seperti cahaya. Bahkan cahaya, dapat juga dilihat tetapi cahaya yang ini
tidak dapat dilihat atau ia jenis cahaya yang tersembunyi.
Bagaimana pula hendak diijtihadkan? Ijtihad itu dibuat pada benda-benda
yang berketul atau benda yang dapat dilihat. Benda-benda yang dapat
diraba dan dirasa. Tetapi roh, benda yang tidak dapat diraba, tidak
dapat dirasa dan tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Jadi bagaimana
hendak diijtihadkan. Begitulah pandangan saya. Wallahu ‘alam.
Oleh itu atas dasar apakah roh seseorang itu seperti rupa bentuk
lahirnya sebagaimana pendapat Imam Malik itu? Saya berpendapat Allah
beri dia (Imam Malik) kasyaf. Allah perlihatkan roh itu. Roh yang
jismullatif itu dibentukkan, dilihatkan macam rupa diri seseorang itu.
Kalau begitu apa yang dimaksudkan oleh Al Quran bahawa tidak ada orang
yang mengetahui hakikat roh itu melainkan Allah saja, itu adalah untuk
orang awam. Manakala bagi orang yang khusus macam Imam Malik mungkin
Allah beritahu padanya sebagai karamahnya.
Pendapat Imam Malik
ini agak munasabah (masuk akal), boleh diterima dan agak rasional.
Contohnya kita bermimpi melihat seseorang yang kita tidak pernah jumpa
atau dengan orang yang pernah kita jumpa sama ada yang masih hidup
mahupun sudah mati. Apa yang kita lihat dalam mimpi itu serupa dengan
bentuk lahir orang itu. Sedangkan orang yang kita lihat dalam mimpi itu
rohnya bukan orangnya. Mungkin waktu itu orang tersebut berada di rumah
atau telah berada di alam Barzakh.
Jadi di waktu itu dia adalah
roh. Roh bertemu dengan roh. Tetapi mengapa dalam mimpi kita roh orang
itu serupa dengan dirinya? Sedangkan bukan berjumpa jasadnya tetapi
rohnya. Ini membuktikan roh orang itu macam jasadnya juga. Jadi benarlah
apa yang diijtihadkan oleh Imam Malik itu.
Begitu juga orang
yang diyakazahkan melihat secara jaga orang yang sudah meninggal dunia.
Contohnya melihat Rasulullah, melihat para ulama zaman dahulu atau siapa
saja yang dia kenal. Dia melihat Rasulullah betul-betul macam
Rasulullah. Atau dia melihat gurunya benar-benar macam gurunya, melihat
ibu dan ayahnya serupa macam ibu dan ayahnya, tidak ada cacatnya.
Sedangkan mereka sudah mati. Waktu itu yang dilihat adalah rohnya. Ini
juga membuktikan benarnya pendapat Imam Malik yang mana roh seseorang
itu serupa dengan diri lahirnya.
Contoh lain, Rasulullah SAW
sewaktu diisrak dan dimikrajkan telah ditemukan dengan roh para rasul
dan para nabi. Rasulullah SAW lihat mereka seperti melihat jasad-jasad
mereka. Ini juga merupakan bukti yang rasional bahawa roh seseorang itu
sama rupanya dengan bentuk jasadnya.
Boleh jadi juga ayat Al
Quran di atas itu bermaksud bahawa ayat itu khusus ditujukan kepada
orang-orang kafir. Yakni mereka ini memang tidak memahami tentang
perjalanan roh dan fungsinya. Allah SWT memberitahu kepada kekasih-Nya,
Rasulullah SAW bawa mereka tidak akan faham tentang hal ini. Kekufuran
mereka itulah yang menghijabnya (menutup) sepertimana uraian saya yang
panjang lebar tentang hal ini di dalam Bab Mata Hati. Karena itulah
menjadi penyebab mereka langsung tidak memahaminya.
Allah SWT
tidak meminta Rasulullah SAW bersusah payah untuk pergi memahamkan
orang-orang kafir itu tentang hal roh ini. Lantaran itulah dikatakan roh
itu urusan Allah. Ini bukan pula bermaksud umat Islam pun turut juga
dilarang mengkaji tentang roh. Bahkan umat Islam mesti memahaminya
sungguh-sungguh tentang perjalanan roh ini. Kalau tidak bagaimana pula
hendak memperbaiki diri? Atau bagaimana hendak mengekalkan watak-watak
kemanusiaannya dan bukan watak kebinatangannya.
Untuk ini kita
wajib memahaminya serta menghayati watak- watak kemanusiaan itu. Hati
manusia berbeda dengan hati hewan. karena hati manusia dapat menerima
perintah suruh dan perintah larangan. karena itulah ia disebut ruhul
amri. Manakala hati hewan tidak bersifat demikian, maka ia disebut ruhul
hayah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar