SEBAHAGIAN DARI
KEJAHILAN MURID IALAH : BURUK ADABNYA TETAPI BALASAN KE ATASNYA
DIPERLAMBATKAN LALU DIA MENYANGKA SEKIRANYA ADABNYA ADALAH JELIK TENTU
ALLAH S.W.T SUDAH MEMUTUSKAN BANTUAN DAN PASTI DIA AKAN DIJAUHKAN.
KETAHUILAH! ADAKALANYA KURNIAAN TELAH DIPUTUSKAN TETAPI SI MURID TIDAK
MENYEDARINYA. SEKIRANYA TIDAK ADA KURNIAAN BAHARU ITU PUN MERUPAKAN
PUTUS BANTUAN. ADA KALANYA DIA SUDAH DIJAUHKAN TETAPI DIA TIDAK
MENYEDARINYA, MESKIPUN HANYA DIJAUHKAN DENGAN CARA MEMBIARKANNYA MENURUT
SANGKAANNYA.
Hikmat 75 menceritakan tentang istidraj yang
dialami oleh orang yang lalai daripada peringatan Allah s.w.t, Hikmat 76
ini pula mengingatkan murid yang berjalan pada jalan kerohanian supaya
gejala istidraj itu tidak menimpanya ketika dalam perjalanan. Bagi
orang awam tidak bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh menyebabkan
tersingkirnya rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu. Bagi orang
Mukmin di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan
bersama-sama Allah s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan
bersama-sama Allah s.w.t bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi
mereka yang mendekati Allah s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran
Allah s.w.t pada setiap masa dan di mana sahaja. Apabila seseorang itu
meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia
berada, Allah s.w.t mendengar pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia
berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba yang berdiri di
hadapan Tuannya. Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t bertambah
pula tuntutan adab sopan ke atasnya. Perjalanan menuju Allah s.w.t
bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau
ukhrawi. Perjalanan ini adalah tindakan menghinakan diri di hadapan
Allah s.w.t, kerana hina, lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya
Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian
makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak
kepada sesuatu apa pun.
Adab sopan yang paling utama dijaga
adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan sekalian
alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan
menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya. Seorang hamba
hendaklah yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya
memilih layanan yang hendak diberikan kepada si hamba itu.
Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah beliau membeli seorang hamba.
Berikut adalah percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu:
Ibrahim: “ Siapakah nama kamu?”
Hamba : “ Panggil sahaja dengan nama apa yang tuan suka”.
Ibrahim : “ Apa yang kamu ingin makan?”
Hamba : “ Apa sahaja makanan yang tuan beri”.
Ibrahim : “ Apakah pakaian yang kamu perlukan?”
Hamba : “ Apa sahaja pakaian yang tuan mahu berikan”.
Ibrahim : “ Apa pekerjaan yang kamu hendak buat?”
Hamba : “ Apa sahaja pekerjaan yang tuan perintahkan”.
Ibrahim : “ Apakah kehendak kamu?”
Hamba : “Apa kehendak tuan itulah kehendak hamba Seorang hamba tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh tuannya”.
Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba Allah s.w.t tentu dia
menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Beginilah adab sopan seorang
hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t. Seorang yang mengaku sebagai hamba
Allah s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat keperluannya. Bukankah
Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba
berdiri di hadapan Tuannya tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang
kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat
hamba yang sejati.
Seorang murid yang sedang dalam perjalanan
masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah s.w.t, lantaran
itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah s.w.t,
seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat keadaannya. Banyaklah
permintaannya kepada Allah s.w.t. Dia mungkin meminta Allah s.w.t
melepaskannya dari sesuatu yang tidak disenanginya tanpa berfikir bahawa
yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan kebaikan baginya. Dia
mungkin meminta didekatkan kepada Allah s.w.t kerana dia merasakan dia
sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai
mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang demikian menunjukkan
tiada sopan santun seorang hamba kepada Tuannya, iaitu Allah s.w.t yang
sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya.
Walaupun
si hamba itu telah tidak bersopan di hadapan Allah s.w.t, mungkin dia
tidak dihukumkan dengan serta-merta. Ini membuat si hamba tadi menyangka
bahawa tiada salah pada adabnya. Ini menandakan kejahilannya.. Dia
tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah merupakan balasan
terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan pengalaman
kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan
terhadap Allah s.w.t, putus juga perjalanannya mendekati Allah s.w.t.
Tetapi dia masih menyangkakan yang dia terus mendekati Allah s.w.t.
Apabila dia dibiarkan menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan
tanpa dia menyedarinya. Begitulah hebatnya akibat tidak menjaga adab
sopan dengan Allah s.w.t. Jika seorang murid tidak mahu putus
kesopanannya dengan Allah s.w.t maka hendaklah dia mendekati Allah s.w.t
dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang paling hampir untuk
masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Senjata yang paling kuat mempertajamkan
kesabaran ialah ucapan:
“ Wahai Tuhanku. Engkau berbuat sesuatu sebagaimana Engkau kehendaki”.
Dalam perkara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t ini termasuk juga
adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya dan
Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya dipotong tangannya”,
dibaca oleh Imam as-Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak kepada
lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong tangannya”. Begitulah
halusnya sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan menyebut
ibarat yang boleh menunjukkan kecacatan terhadap Rasulullah s.a.w dan
puteri baginda yang mulia itu. Orang-orang Islam yang beradab sopan
tidak memperkaitkan Rasulullah s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan
perkara yang tidak elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh
al-Quran tanpa wudhuk, tidak membacanya di tempat membuang air, tidak
membuang najis dengan menghadap ke kiblat dan banyak lagi perkara yang
termasuk dalam adab sopan beragama yang menjadi kewajipan bagi orang
yang mengaku beragama Islam menjaganya. Jangan memandangnya sebagai
perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja mempunyai peraturan atau
taman larangan, dan peraturan atau taman larangan Tuhan ialah adab sopan
dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang itu tidak luput dari penglihatan
Allah s.w.t walau sejenak pun maka sepanjang masa seseorang itu berada
dalam majlis-Nya dan berkewajipan memelihara adab sopan atau
peraturan-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar