Laman

Kamis, 09 Januari 2014

Tujuh maqam ilmu dinilai dari niatnya:


Imam Abdullah bin al Mubarak ra telah meriwayatkan dalam kitab Al Zuhd dengan sanad beliau daripada Khalid bin Maadan yang berkata kepada Muaz r.a:
Wahai Muaz r.a! Kisahkanlah kepadaku satu hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah saw.
Khalid bin Maadan bercerita: “Muaz r.a menangis sehingga aku sangka tidak akan berhenti kerana lamanya…tetapi akhirnya Muaz r.a berhenti juga daripada tangisannya… kemudian Muaz r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku”:
Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu berpesan kepada kamu jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat kepada engkau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi. Kemudian ditentukanNya pada setiap langit satu malaikat untuk menjaga pintunya.


1. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Pada amalan tersebut terdapat Nur bagaikan cahaya matahari, sehingga menyangka bahawa amalan itu amat bagus. Apabila sampai ke langit yang pertama. Malaikat penjaga langit pertama itu berkata kepada Hafazhah:
“Pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui pintu langit jagaan ku untuk terus naik ke langit kedua.”


2. Kemudian malaikat Hafazhah membawa pula amalan seseorang hamba, kali ini berjaya melepasi langit pertama. Ia menyangka amalan itu sangat baik (Lantaran berjaya melintasi langit yang pertama, kerana pengamalnya tidak mengumpat orang). Namun apabila sampai ke pintu langit kedua malaikat penjaga pintu itu berkata:
“Berhenti kamu di situ hai hafazah, pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana ia mengharapkan keuntungan dunia dari amalan ini. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke langit ketiga. Selain daripada itu ia juga suka disanjung dan dirai di dalam majlis orang ramai. Akulah juga malaikat penjaga kebesaran.”


3. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang penuh sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang dan puasa. Malaikat Hafazhah merasa kagum melihat keindahan amalan tersebut lalu ia membawa amalan itu (melintasi langit yang pertama dan kedua dengan mudah). Namun apabila sampai ke pintu langit ketiga ia ditahan oleh malaikat penjaga langit ketiga itu:
“Berhenti kamu di sini dan pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur dan sombong. Allah memerintahkan aku supaya tidak membenarkan amalan orang yang takbur dan sombong dapat melintasiku.”


4. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu bersinar-sinar seperti bintang yang bergemerlapan. Baginya suara tasbih bersatu dengan pahala sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat. Namun berkata malaikat penjaga langit keempat itu:
“Berhenti kamu di sini dan pukulkan amalan ini ke muka, belakang dan perut orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat ujub. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ujub, yakni sangat bangga terhadap dirinya sendiri.”


5. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin cantik berseri yang dihantar penuh keraian ke rumah suaminya lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:
“Berhenti kamu dan pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya. Akulah malaikat hasad. Sesungguhnya orang itu sangat hasad dengki kepada orang yang belajar ilmu dan beramal yang menyamai taraf amalannya. Ia hasad dan mencela jika ada orang lain yang beramal lebih dari amalannya. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasad ini melintasi pintu langit kelima jagaan aku ini.”


6. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama sarat dengan pahala sembahyang, zakat, umrah puasa dan jihad fi sabillillah. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga melepasi pintu langit ke enam. Namun berkata pula malaikat penjaga pintu langit ke enam:
“Berhenti kamu dan pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang dalam kesusahan ditimpa mala petaka bahkan ia masih mampu bersuka ria. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang tidak peduli akan nasib umat Islam yang lain dapat melintasi aku.”


7. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu penuh dengan pahala sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Ianya berbunyi seperti lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan diiringi oleh tiga ribu orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat penjaga zikir. Tahukah kamu orang ini beramal dengan mengharap disebut dan dipuji orang. Aku akan menghalang amalan orang yang riak dan sukakan puji-pujian dari sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”


8. Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada perkara yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya;
“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya itu. Ia hanya mengharapkan sesuatu ganjaran daripadaKu. Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Lalu para malaikat tadi berkata:
“Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami.” Lalu melaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.
Mendengar sabda Rasulullah saw ini lalu Muaz r.a menangis seraya berkata: “Engkau adalah Rasulullah saw sedangkan aku adalah Muaz r.a (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera. Lalu Rasulullah saw bersabda:
“Hendaklah engkau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca Al Quran (Golongan Ulama) dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas orang lain dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu dihadapan orang. Dan jangan engkau campur adukkan urusan dunia di dalam urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu. Jangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia maka mencarik akan dikau oleh anjing2 api nereka pada hari kiamat nanti. Allah telah berfirman:
Maksudnya: Demi yang mencarik akan dicarikkan. (QS: Al Nazi’at: 2)
Apakah engkau ketahui wahai Muaz r.a siapakah mereka yang mencarik-carik itu?
Muaz r.a bertanya: “Ya Rasulullah saw, sebenarnya siapa mereka?”
Lalu Nabi saw menjawab: “Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang.”
Muaz r.a bertanya: “Ya Rasulullah saw siapakah orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”
Nabi saw menjawab: “Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”.
Kemudian lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca Al Quranul Karim lebih daripada Muaz r.a kerana beliau faham terhadap hadis yang besar ini.”
Renungkan baik-baik perkara yang terkandung di dalam hadis ini wahai orang yang menuntut ilmu pengetahuan. Timbangkanlah baik-baik, yang mana yang lebih penting dan yang mana lebih baik? Pastikah anda belajar ilmu yang akan menjadikan anda lebih berhati-hati? Berhati-hati daripada segala perkara yang akan membinasakan kalian kemudian hari! Hendaklah kalian sibuk dengan memperbaiki hatimu dan membangun akhiratmu. Janganlah anda bergaul dengan orang yang bercakap kosong, berangan-angan panjang tentang dunia, takabur, riak, hasad-dengki, ujub sehingga akhirnya anda turut binasa bersama dengan orang-orang yang binasa. Dan ketahuilah olehmu bahawa tiga perkara ini (hasad, riak dan ujub) ialah punca kepada segala penyakit hati dan baginya tempat tumbuh “hubbud dun-ya” (yakni cinta akan dunia dan takut akan kematian).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar