Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud
di tikar sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh
khusyuk dan tawadhuk. Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan
bertahmid.
Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin.
Ibadah itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak bertepi. Ibadah
tidak terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak
terbatas pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa
sehari berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat, menunaikan
haji dan sebagainya.
Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan
antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu
mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah.
Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi
tidak ramai yang mampu melakukannya.Mengingati Allah dikira ibadah
kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba
yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke dunia, tak membawa walau
seurat benang di tubuh. Justeru hati sentiasa ingat kepada Yang Maha
Pencipta, sentiasa mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung
kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas segala nikmat
kurniaanNya.
Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan
Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang
entah ke mana. Apatah lagi di luar sembahyang. Renungilah sabda
kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
“Wahai anak
Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku juga tetap ingat kepadamu. Dan
jika engkau lupa kepadaKu, Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila
engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang engkau suka, di
tempat engkau mematuhiKu dan Aku
mematuhimu, dan engkau
mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri
daripadaKu, sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah
yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu.
Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik, sehingga
terlaksana semua
takdirKu terhadapmu. Apabila Aku lahirkan engkau ke
alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini sewajarnya
balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik
kepadamu.”
Memang
wajar kita mengingati Allah yang telah banyak memberi nikmat kepada
kita. Allah yang sentiasa ingat akan kita. Yang terus saja memerhatikan
kita. Yang terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki kepada kita
walaupun Dia seringkali diderhakai.
Dengan apa patut kita balas
nikmat Allah yang terlalu banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta,
cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang dicintai. Begitu juga
dengan Allah. Ingatlah Dia kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan
semestinya di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia tetapi
hati bersama Allah. Agar setiap detik kita sentiasa dalam ibadah.
Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk).”
Demikian keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir tentang kebesaran
Allah. Akal yang berfikir akan meruntun hati agar sentiasa ingat kepada
Allah.
Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu
bermunajat dengan Allah; menginsafi kelemahan diri, lantas mengharap
belas kasihan Allah kepada kita yang terlalu banyak berbuat dosa. Hati
merintih dan mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah
perasaan betapa hinanya diri yang berasal dari setitik
air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam kehinaan selama-lamanya.
Rintihan hati inilah tanda kita hamba yang tak punya kuasa apa-apa
untuk menghalang kudrat dan iradahNya. Tak berupaya menepis Qadak dan
QadarNya. Hanya belas kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan
diri daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah
ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati seorang tuan.
Adakalanya segaja Allah timpakan ujian yang berat ke atas hambaNya.
Ketika itu hati si hamba akan merintih walaupun bibir boleh mengukir
senyum. Kadang-kadang ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah
tidak mendengar rintihan hati hambaNya.
Sebenarnya, Allah rindu
untuk mendengar rintihan hati si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat
Allah dan ia berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan daripada
dalam diri. Lalu kerana itu, Allah datangkan ujian silih berganti agar
rintihan hati si hamba tidak terputus kepada Tuhannya.
Hukama
berkata: “Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa
(termasuk rintihan hati) daripadaseorang abid yang duduk beribadah.”
Demikian tingginya nilai rintihan hati seorang hamba dibandingkan
dengan ibadah lahir. Ibadah lahir belum tentu melahirkan rasa kehambaan,
kerana boleh jadi seorang yang beribadah itu berasa selamat
denganibadahnya.
Ingatan hati dan rintihan hati seorang insan
terhadap Tuhannya datang daripada rasa kehambaan yang tulen. Rasa
kehambaan inilah tanda seorang insan telah
mendapat nikmat iman yang
tinggi nilainya. Tiada sesuatu yang lebih berharga daripada nikmat
iman. Beruntunglah mereka yang dianugerahi nikmat ini. hanya
hamba-hambaNya yang terpilih saja yang akan dikurniairasa kehambaan.
Seorang hamba yang hatinya sentiasa ingat dan merintih kepada Allah
tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan bala, tidak rasa tenang
dengan pujian, dan tidak menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa
serba kekurangan dan amat memerlukan Allah dalam semua keadaan. Inilah
yang dikatakan hati yang hidup, yang sentiasa dalam beribadah. Apatah
lagi jika ditambah dengan banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang,
puasa, sedekah dan sebagainya; makin tinggilah darjatsi hamba di sisi
Khaliqnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar