Laman

Selasa, 22 Oktober 2013

Manisnya gula


Manisnya gula.

Apabila akal dan hatinya percaya dan yakin bahawa tiada yang ada, tiada yang wujud dan tiada yang maujud tetapi itu semua pada hakikinya adalah Dia (Allah), maka inilah satu daripada tanda-tandanya salik itu telah sampai kepada matlamat yang dicarinya.

Selain daripada Dia semuanya ilusi belaka, yang ada hanyalah Dia semata-mata. Segala sifat, nama, kelakuan dan dzat adalah Dia semata-mata. Inilah pandangan dan pegangan mereka yang telah sampai ke tahap yakin sepenuh yakin.

Mereka mempunyai iktikad yang tinggi dan bulat, iatu sangat-sangat yakin kepada apa yang dipegang oleh akal dan hatinya. Iktikad mereka pada ketika itu adalah diri mereka sudah tidak ada lagi, segala yang ada, segala yang berlaku dan segala yang akan berlaku adalah semata-mata Dia.

Mereka hanya mahu bertawakal dan berserah kepadaNya. Pasrah tanpa bimbang, ragu-ragu dan was-was. Diri mereka sendiri telah dianggap binasa, apabila diri telah binasa, yang tinggal lagi bukan diri mereka, yang tinggal bukan lagi alam, bahkan hanya Dia semata-mata.

Ini bukanlah bersatu dengan Allah (hulul), tetapi hanyalah tawakal atau berserah kepadaNya dengan dilandasi Makrifatullah.

Inilah pegangan mereka yang dikasihiNya sama ada mereka yang terdahulu ataupun pada masa sekarang ini. Mereka tidak menggunakan ilmu jampi serapah, ilmu pengasih atau ilmu kebal apabila mereka berhadapan dengan sesuatu keadaan yang mencabar, tapi yang mereka ada adalah keyakinan mereka kepada Allah. Dan itu sudah cukup untuk menyelamatkan mereka dari mara bahaya di dunia dan akhirat.

Yakin kepada kekuasaan Allah, membuatkan mereka tidak merasa takut kepada mara bahaya sama ada di dunia ini atau di alam ghaib (akhirat), mereka tidak takut selain Allah.

Keyakinan kepada Allah itu, yang membuatkan mereka tidak berbekas oleh senjata tajam, pedang mahupun peluru senapang dan sebagainya. Keyakinan hanya semata-mata Allah itulah, yang membuatkan mereka berani, gagah, kuat dan selamat dari sebarang mara bahaya.

Ini bukanlah ilmu bersatu dengan Allah, tidak mungkin kita dapat bersatu dengan Dia. Kerana Dia itu esa jua. Tidak mungkin sesuatu yang esa dapat bersatu dengan yang lain, hanya yang lebih dari satu (esa) sahaja dapat bersatu, contohnya, kopi dan  susu, dapat bersatu menjadi benda baru iaitu kopi susu.  Tetapi jikalau hanya ada kopi sahaja bagaimana dapat ia bersatu menjadi kopi susu, kopi (esa) tetap kopi selama-lamanya.

Mereka yang mempunyai keyakinan di peringkat ini, tidak memandang lagi kepada yang lain, tetapi hanya kepada Dia. Mereka tidak lagi memandang alam sebagai alam, tetapi yang mereka pandang itu adalah Wajah Allah “berserta” alam. Mereka tidak lagi melihat diri, sebagai diri, tetapi yang mereka lihat itu adalah Wajah Allah “beserta” diri.

Bukan mereka menafikan kewujudan sifat alam atau sifat makhluk atau sifat diri, alam dan makhluk itu tetap ada buat sementara (walaupun hakikatnya tiada), tetapi mereka manggangap alam dan makhluk itu telah binasa dalam Wajah Allah.

Kalau dibuat analogi, mereka hanya tertuju kepada sifat manis, tetapi bukan tertuju kepada sifat gula.

Semoga bermanfaat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar