
Hidup pastikan aman tenteram dunia wal akhirat kalau saja kita selalu bertafakur untuk mengingat Allah dan mengingat kehidupat akhirat, minimal 5 menit dalam sehari semalam
Rabu, 23 Oktober 2013
Seruan
Seruan Allah kepada seorang Arif billah,
yang sudah sampai kepada pengenalan sejati.
Buangkan jauh-jauh dari dirimu segala apa yang engkau lihat, lepaskan dirimu dari daya tarik apa pun yang ada, dan dari pengaruh yang bagaimanapun, terutamanya dari sebarang rangsangan-rangsangan, yang membuat sampah di kepalamu.
Keluarlah engkau dari ilmumu, amalmu, pengenalan makrifatmu, bahkan dari dirimu dan namamu sekalipun..
Keluarlah engkau dari huruf dan mahruf….
Lemparkan segala ibarat ke belakangmu dan campakkan erti dan makna ke belakang ibarat, dan lemparkan pendapat ke belakang erti dan makna,..
Maka masuklan engkau seorang diri… masuklah ke rumah Allah seorang diri..
Nescaya engkau akan melihat Aku sendiri.
Itulah sebenarnya tajrid (penghapusan) yang sewajibnya dilakukan oleh seorang salik untuk dapat masuk ke Hadirat Ilahi.
Dan itu adalah suatu perjalanan rohani yang tidak dapat dicapai oleh setiap orang,
melainkan orang-orang yang tertentu sahaja, orang dikasihi Allah.
Dan bersyukurlah jikalau engkau telah diberi pengetahuan, walaupun baru sampai ke tahap ini, kerana sememangnya ia suatu anugerah yang besar..
MasyaAllah.
Kufur

Kufur adalah menutup Keesaan Allah dengan tabir yang banyak..kejamakan, segala apa yang kelihatan di dunia ini adalah sebagai tabir yang menghalang penglihatan kepada Allah.
Syirik pula adalah menganggap Wujud Allah yang satu sebagai dua, atau lebih daripada dua, syirik sentiasa beralaku sama ada di dalam ibadah atau di luar ibadah, kecuali bagi mereka yang telah kasyaf, iaitu yang telah melihat Wajah Allah.
Menurut Syariat, kufur dan syirik adalah kotoran dan dosa yang perlu dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu supaya amal ibadah yang dilakukan mendapat pahala daripada Allah.
Menurut Tarikat kufur dan syirik adalah cinta kepada dunia, kerana cinta dunia telah membuatkan mereka terhijab daripada Allah.
Manakala menurut Hakikat pula kufur dan syirik adalah mengadakan gyair (selain Allah), dan tidak melihat Keesaan Allah di sebalik yang banyak, iaitu di sebalik apa yang kelihatan di alam maya ini.
Walaupun Allah telah menperingatkan manusia di dalam Al-Quran bahawa Tuhan itu adalah Satu,.. Esa. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengindahkan firman Allah ini, mereka tetap mensyirikkan Allah dalam setiap apa yang mereka lakukan. Dan Allah juga telah mengingatkan bahawa kebanyakan manusia tidak beriman kepada Allah tanpa menyekutukannya atau mensyirikkannya.
Firman Allah Albaqarah:ayat 163: Sesungguhnya Tuhanmu adalah Tuhan yang satu.
Firman Allah Surah Yusuf ayat 106: Dan kebanyakan mereka tidak beriman dengan Allah tanpa menyengutukan yang lain dengan NYa.
Syirik bukan senang dilihat Ia menyerap dalam semua orang, umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pula, kecuali bagi mereka yang sudah makrifah. Syirik dan kufur ini hanya dapat dihapuskan apabila seseorang itu mengEsakan Allah dalam setiap yang dilakukannya.
MasyaAllah.
Nyata
Jikalau kita teliti dengan benar akan kita dapati bahawa Wujud Allah adalah
lebih nyata daripada segala wujud lain yang kelihatan. Wujud Allah
itulah yang melihat dan yang dilihat, wujud itulah yang mendengar dan
didengar, dan sebagainya, kerana Dialah yang Awal dan yang Akhir.
Sebagai contoh, cahaya tidak boleh melihat tanpa cahaya, kerana jikalau tiada cahaya yang ada hanyalah kegelapan, seperti di malam hari, tiada ada benda yang dapat dilihat, dan seterusnya apa yang terlihat, jikalau ada cahaya, ialah cahaya itu sendiri. Benda-benda lain adalah gelap, tidak kelihatan, kerana tiada cahaya. Oleh kerana itu orang dapat melihat kerana adanya cahaya, dan benda gelap dapat dilihat kerana adanya cahaya.
Sebagai analogi, semua wujud selain Allah adalah gelap. Wujud benda-benda itu dipinjam daripada Wujud Allah, dan adalah suatu amanah daripada Allah. Dialah yang melihat dan yang dilihat, dialah yang mengetahui dan yang diketahui. Anda dan yang selain daripada Nya hanyalah gelap (kosong).
Sebagaimana Firman Allah Al-Qasas 88: Tiap-tiap sesuatu akan binasa kecuali Wajah (Dzat) Nya.
Satu lagi analogi, apabila seseorang terjun ke dalam tasik garam, lalu ia akan larut dan akhir menjadi garam itu sendiri, dan apabila anda masuk ke dalam Cahaya anda akan larut dan menjadi satu dengan Cahaya itu.
Sebenarnya apabila anda menegaskan ke AKU an anda, ini adalah sama dengan ke DIA an Allah. Jadi serupa sahaja sama ada anda berkata “Akulah yang benar”, atau “Dialah yang benar.” Tetapi syaratnya anda mestilah dalam keadaan Fana.
Ia merujuk kepada identiti yang sama, hanya dipandang dari sudut yang berlainan.
MasyaAllah.
Kekal dengan Allah

Terdapat beberapa cara seseorang itu boleh kekal bersama Allah (Baqa bi Allah) sepanjang masa atau masa-masa tertentu,
(masa tertentu ini maksudnya apabila ia lupa maka ia tidak bersama Allah lagi).
Kekal dengan Allah itu melalui makrifat dan keyakinan.
Apabila seseorang itu telah mencapai tahap Haqul yakin, maka ia merasakan Allah itu sentiasa bersamanya, ia mengerti dengan maksud kata-kata: “Di mana saja kamu ada Allah bersamamu”,
sesaat pun ia tidak lupa dengan kehadiran Allah, maka inilah yang dikatakan kekal bersama Allah.
Tahap yang berikutnya ialah apabila ia mencapai Isbatul yakin, iaitu ia melihat kehadiran Allah tanpa ragu-ragu lagi, maka apabila ia sentiasa melihat Allah bersamanya, maka ini pun dikatakan kekal bersama Allah.
Sedangkan dengan Makrifat pula, ia tahu ia tidak ada yang ada hanya Allah, dengan itu hanya Allah yang kekal.
Padanya kata-kata “kekal bersama Allah” itu hanya lah sebuah rasa yang bermaksud hanya ada Allah, hanya Allah yang kekal.
Sebagai kesinambungan setelah kenal dan kekal bersama Allah:
Manusia ini saat ia sudah mengenal sejatinya diri dia sendiri, maka ia bukan lagi selonggok daging (jasad) yang membungkus diri ia sendiri.
Apabila saat itu telah sampai maka dzikir tak lagi dengan suara atau dengan gerak, dzikirnya adalah melihat siapa yang ia ingat (Allah).
Ia melihat wajah Allah di manapun ia berada, dan ia tak lagi melihat kematian itu mati, karena sejatinya ia menyusuri ruang waktu milik Allah bersama Allah.
Ia adalah Cahaya Allah di bumi ini, dan ia tetap akan menjadi Cahaya milik Allah saat di akhirat nanti.
Dan ia sepenuhnya milik Allah, terserah Allah mau menaruh ia di mana.
Cobalah renung-renungkan…
MasyaAllah.
Hakikat Muhamad

Mari kita lihat apa itu yng dikatakan Hakikat Muhammad.
Sinaran Dzat pada dirinya sendiri adalah tajali pertama dan ini adalah suci dan kudus. Di sini ayan, yang mana adalah keupayaan yang paling terdalam sekali, bagi asma dan sifat, mereka bersatu dalam Dzati Batin. Asma dan sifat adalah keupayaan Dzati Zahir dan kedua-dua asma dan sifat itu bersatu dalam Dzati Zahir, dan Dzat itu yang diketahui, maka ianya Zahir, dan ayan, asma dan sifat adalah Batin.
Dalam proses sebaliknya, apabila Dzat menjadi Batin, maka asma dan sifat menjadi Zahir dalam ilmu. Asma dan sifat diketahui oleh Dzat pada keseluruhannya.
Mengetahui dalam ilmu tentang asma dan sifat oleh Dzat digelar Wahdat atau Hakikat Muhamad, sempadan atau had pertama wujud zahir. Wujud batin tiada batasan dan terzahir dalam ilmu dengan batasan-batasan asma dan sifat pada keseluruhannya.
Apabila wujud batin menjadi terperinci, ia menunjukkan empat iktibarat iaitu Ilmu, Nur, Syuhud dan Wujud. Apabila sifat dan asma mengambil bentuk maka zahirlah ayani kharija dan menjadi objek dalam ilmu. Peringkat ini digelar Wahidiyat atau pembatasan kedua dalam ilmu.
Setelah kedua-dua peringkat ini Wahdat dan wahidiyat, maka dapatlah dibezakan Uluhiyat daripada Rububiyat maka bermulalah peingkat-peringkat asmai ilahi dan asmai kiyani.
Rububiyat bermula dari peringkat Wahidiyat hinggalah sampai keperingkat habuk. Inilah perincian Hakikat Muhamad. Rusullulah SAW bersabda: Aku dari cahaya Allah dan segala kejadian berasal dari cahayaku.
Oleh itu benarlah jika dikatakan tiap-tiap objek adalah rasul yang diutus Allah atau barzah, batasan di antara dua keadaan. Daripada Rasullulah Muhammad SAW semua barzah terzahir. Apabila sesuatu barzah mengambil bentuk, maka bentuknya lebih terperinci daripada bentuk yang dahulu dan bentuk yang dahulu itu menjadi batin dan bentuk yang baru itu menjadi zahir.
Penjelasan tentang Hakikat Muhamad ini bagi sesetengah orang tidak mudah untuk dimengertikan kerana ia memerluan maklumat ‘background’ yang luas, oleh itu bersabarlah sehingga Allah memberikan pengertian yang benar.
MasyaAllah.
Ayat mutasyabihat
Ayat-ayat Al Quran ada yang diturunkan kepada Rasullulah SAW di Mekah dan ada pula yang diturunkan di Madinah.
Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah disebut ayat Makiyah,
ia dibahagikan kepada dua kumpulan, yang pertama disebut Muhamad, ayat
seperti ini berbicara dengan lurus, tidak ada erti lain hanya satu. Yang
Kedua, disebut ayat mutasyabihat, ayat ini berbicara dalam bentuk
kiasan (al Ibarah), ia berbicara batin (hakikat) dahulu baru mengarah
makna luar (lahiriah).
Manakala ayat yang diturunkan di Madinah disebut ayat Madaniah yang berbicara makna lahiriah dahulu lepas itu baru menjururus makna batin.
Mari kita lihat ayat Al Baqarah, ayat mutasyabihat yang diturunkan di Mekah.
QS Al Baqarah 2: 223
“Isteri-isteri kamu seperti tempat bercocok tanam bagimu, maka datanglah tempat bercocok tanam milik kamu itu sebagaimana kamu kehendaki dan buatlah kebaikan untuk dirimu dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNYA dan sampaikanlah berita gembira ini untuk orang-orang yang beriman”.
Apabila kita perhatikan ayat ini nampaknya ia seperti untuk kerukunan hidup berkeluarga antara suami dan isteri, tetapi di sebalik ayat yang nampak terang maksudnya ini ada rahsia atau faedah bagaimana seseorang itu dapat bertemu (makrifat) dengan Allah yang dikasihinya.
Hanya seseorang yang telah mempunyai kemakrifatan yang dapat menterjemahkan maksud hakikat ayat mutasyabihat seperti ini, kerana setiap huruf Al Quran memiliki pancaran cahaya atau maksud yang berlapis-lapis.
Marilah kita sama-sama perhatikan maksud ayat ini dari segi hakikatnya.
Isteri-isteri itu adalah empat inderawai atau empat pintu nafsu yang terdapat di kepala, iaitu dua mata, dua lubang hidung, mulut dan dua telinga. Mata digunakan untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk merasa dan hidung untuk penciuman bau.
Manakala arti bercocok tanam itu pula ialah bermaksud menutup. Secara lumrahnya isteri hanya milik suami dan ia mempunyai hak ke atas isterinya untuk mendatanginya.
Sementara itu, makna suami adalah satu simbul kejantanan dan itu digambarkan oleh sepuluh jari di tangan kita.
Tatkala takbiratul ihram, iaitu semasa mengangkat tangan dalam sholat, maka ia bermaksud tertutuplah pintu-pintu nafsu yang terdapat di kepala kita, maka dengan itu tertutuplah pula hubungan manusia itu dengan dunia luar (duniawi) dan hawa nafsu.
Maka dengan itu Ruh yang sekian lama ini tertutup oleh hawa nafsu dan duniawi dapat membebaskan diri, maka kembalilah Ruh kepada penciptanya dan mulalah ia berinteraksi dengan Penciptanya. Dari sisi lain inilah yang dimaksudkan dengan Mekraj. Inilah satu kegembiraan yang amat sangat bagi Sang Ruh.
Inilah maksud batin ayat tersebut, iaitu menerangkan kaedah bagaimana seseorang itu dapat bermakrifat dengan Allah.
Inilah antara ayat-ayat mutasyabihat yang terdapat di dalam Al Quran, yang mana ia mempunyai sisi makna batin, yang sengaja dibuat Allah begitu, bagi mereka yang berfikir dan mendapat ilham untuk kembali kepada Allah.
Cobalah cari maksud batin ayat-ayat mutasyabihat yang terdapat di dalam Al Quran.
semoga bermanfaat…..
MasyaAllah.
Langganan:
Postingan (Atom)