Laman

Selasa, 26 April 2016

SIFAT DUA PULUH.

·

SIFAT DUA PULUH.
Apakah maksud sifat dua puluh ?
Sifat dua puluh adalah satu konsep ilmu yang ciptaannya sangat ajaib, didalam mentafsir kaedah mengenal Allah melalui ilmu makrifat.
Sifat 20 dicipta oleh ilham para sufi dan para aulia' terdahulu, bagi tujuan mengajar kita menuju jalan mengenal Allah. Barang siapa mempelajari sifat 20 dengan bersungguh-sungguh, berserta faham akan maksud dan makna yang tersirat, InsyaAllah ia akan dapat mengenal Allah swt dengan nyata dan terang. Banyak cabang ilmu dan banyak kaedah pembelajaran yang telah didedahkan melalui kitab, melalui pondok, melalui sekolah dan tidak kurang pula melalui guru-guru agama.
Semua itu bertujuan bagi mencari jalan, mencari cara dan mencari kaedah untuk mengenal Allah. Diantara banyak-banyak cara dan diantara banyak-banyak kaedah, cara dan kaedah terbaik bagi mengenal Allah swt adalah dengan mempelajari sifat 20.
Allah tidak akan dapat dikenal melalui mata zahir, ianya dapat dikenal melalui mata hati dengan mempelajari sifat-sifatnya. Tidak ada jalan, tidak ada cara dan tidak ada kaedah lain untuk mengenal Allah, melainkan melalui ilmu mengenal sifat-sifatNya. Hanya melalui sifat-sifatNya sahaja yang membolehkan kita mengenal Allah Ta'ala. Andaikata adanya jalan lain, selain dari kaedah itu, ternyata ianya adalah dusta yang teramat besar.
ADAKAH ALLAH LAYAK UNTUK DISIFAT-SIFATKAN ?
Sebelum sifat 20 diperjelaskan, suka dingatkan disini bahawa, Allah sebenarnya tidak bersifat dan Allah sebenarnya tidak boleh disifatkan. Seandainya Allah bersifat bererti Allah itu boleh di kualiti dan boleh dikuantitikan. Sedangkan Allah tidak berbilang, tidak berkualiti dan tidak berkuantiti. Maha suci Allah dari sifat berbilang-bilang yang menyerupai sifat makhloknya. Allah tidak boleh dipersifatkan.
Allah itu sangat tinggi, sangat jauh, lebih tinggi dan lebih jauh dari kedudukanNya. Hingga tidak sampi akal untuk mengkajiNya. Allah tidak terhad dan Allah tidak terbatas, sedangkan akal kita amat terhad dan amat terbatas. Allah tidak ada awal, dan tidak ada akhirnya. Tidak mungkin tercapai oleh akal untuk menjangkaunya.
Mana mungkin Allah bersifat, Allah adalah suatu zat yang bukan Ain ( bukan benda ). Allah bukan barang, dan Allah bukan sesuatu. Allah adalah perkara yang tidak boleh disifatkan. Sifat yang disifatkan dan sifat yang dinyatakan itu adalah semata-mata thamsil, semata-mata misalan, semata-mata usul, semata-mata perumpamaan dan semata-mata sekadar contoh bagi mempermudahkan faham
APAKAH ASAS SIFAT 20 ?
Sifat 20 berasaskan kepada 4 perkara ;
1). Zat. ( roh )
2). Sifat. ( rupa )
3). Afa'al ( perangai-perbuatan )
4. Asma' ( nama )
APAKAH SIFAT ALLAH YANG 20 ITU ?
1. Ujud = Ada
2. Qidam = sedia
3. Baqa' = kekal
4. Mukholafatuhu lilhawadis = bersalahan dengan yang baharu
5. Qiamuhu binafsih = berdiri sendiri
6. Wahdaniah = esa
7. Qudrat = kuasa
8. Irodat = menghendaki
9. Ilmu = mengetahui
10. Hayat = hidup
11. Sama' = mendengar
12. Basor = melihat
13. Kalam = berkata-kata
14. Qodirun = maha berkuasa
15. Muridun = maha menghendaki
16. Alimun = maha mengetahui
17. Hayyun = maha hidup
18. Sami'un = maha mendengar
19. Basirun = maha melihat
20. Muutakallimun = maha berkata-kata
20 sifat Allah itu terbahagi kepada berapa bahagian ?
20 sifat-sifat Allah terbahagi kepada 4 bahagian.
1. Bahagian sifat Nafsiah
2. Bahagian sifat ma'ani
3. Bahagian sifat ma'nawiah
4. Bahagian sifat salbiah
Bahagian yang empat inilah yang dikatakan menjadi intipati dan isi kepada ilmu mengenal Allah. 4 bahagian inilah nantinya yang akan mengupas dan yang akan menterjemahkan sifat 20. Barang siapa yang berhajat untuk mengenal Allah, perlu diambil perhatian kepada ke empat-empat bahagian tersebut.
SIFAT NAFSIAH
Apakah sifat yang terkandung dalam nafsiah ?
Sifat yang terkandung didalam nafsiah itu, hanya satu iaitu sifat wujud. Wujud yang membawa maksud ada. Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahupun yang batin.
Apakah maksud sifat nafsiah (menolak) ?
Sifat nafsiah itu, bermaksud menafikan keujudan yang lain selain Allah. Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud.
Wujudnya Allah itu, adalah ujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, afa'al dan asma'Nya. Zat Allah itu merupakan sifatNya dan sifat Allah itu adalah juga merupakan zatNya. Zat dengan sifat Allah itu adalah ujud yang terpisah, berpisah, bercerai dan ujud yang tidak berasingan.
Keujudan zat dengan keujudan sifat Allah itu, adalah esa (satu juga pada hakikatnya). Seumpama sifat ilmu dengan sifat kalam Allah. Apabila sifatnya bersifat mendengar (sama'), bererti zatnya juga, bersifat berpendengaran (sami'un). Apabila Allah bersifat melihat (basor), bererti zatNya bersifat berpenglihatan (basirun). Apabila Allah bersifat kuasa (kudrat), bererti zatNya bersifat kekuasaan (kodirun). Begitulah seterusnya dengan sifat-sifatnya yang lain.
Sifat Allah itu seumpama sifat angin dengan sifat bergoyang (bertiup). Apabila kita melihat pokok bergoyang, itu menandakan adanya angin. Bergoyangnya pokok, adalah bagi menandakan bergoyangnya angin. Sifat bergoyang itu sebenarnya bukan sifat pokok, yang bergoyang itu sebenarnya adalah sifat angin. Walau bagaimana pun sifat angin dan sifat bergoyangnya pokok itu, adalah satu sifat yang sama. Jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Pokok tidak boleh bergoyang dengan sendiri, jika bukan kerana digoyang dan ditiup oleh angin. Begitulah juga sifat Allah dengan ZatNya, tidak boleh bercerai.
Begitulah juga kaedahnya kita mentafsir sifat 20. Apabila ianya dirujuk kepada diri. Barulah kita dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya. Seandainya sifat 20 itu, tidak dirujuk kepada diri, selama itulah kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah. Dalam memahami sifat nafsiah (nafi) iaitu sifat menafikan, menidakkan, atau sifat menolak. Kita dikehendaki menidakkan sifat-sifat yang lain selain Allah. Kita dikehendaki menidakkan kewujudan sifat alam dan sifat diri kita sendiri. Menidakkan sifat diri kita, supaya ianya menjadi tidak ada dan tidak wujud (binasa). Cara untuk menidakkan sifat diri kita dan untuk mewujudkan sifat Allah itu, adalah dengan cara, menyerah atau membinasakan diri kepada Allah.
Bilamana sifat telinga telah dipulangkan, ianya akan disambut dengan sifat pendengaran Allah. Bilamana sifat mata telah binasa, akan disambut dengan sifat penglihatan Allah. Sifat berfikir, akan disambut dengan ilmu Allah. Selagi sifat mata menjadi sebahagian daripada sifat kita, sudah pasti kita tidak akan dapat melihat Allah melalui pandangan dan penglihatanNya.
Setelah sifat mata kita itu dipulangkan kepada Allah, akan bertukar menjadi sifat basor Allah, barulah sifat penglihatan basirun Allah itu, boleh melalui sifat mata kita. Bermaknanya disini bahawa, sifat mata yang ada pada kita sekarang ini, tidak boleh dan tidak layak menerima penglihatan Allah melaluinya, melainkan sifat mata makhlok telah binasa dan bertukar kepada sifat wajah Allah.
Maka kita tidak layak untuk menanggung atau menerima sifat penglihatan Allah yang maha tinggi. Sifat makhlok tidak layak untuk menanggong sifat Allah, melainkan sifat kita itu ditukar milik, supaya menjadi milik Allah, setelah melalui proses penyerahan diri (penyerahan tugas dan penyerahan hak milik) kepada Allah. Apabila sudah menjadi milik Allah, barulah mata kita itu, dapat melihat melalui penglihatan Allah. Apabila mata kita itu telah menjadi milik Allah, barulah sifat basirun (penglihatan) Allah itu dapat terpancar melalui mata kita.
Apabila penglihatan Allah sudah menembusi mata kita, dengan sendirinya sifat mata akan binasa. Mata makhlok akan hangus terbakar, binasa dan lenyap lantaran dipenuhi oleh cahaya Allah. Cahaya penglihatan Allah itu sendiri, yang membinasakan sifat mata kita. Hanya Allah sahaja yang dapat menanggung sifat Allah. Sifat mata kita tidak dapat untuk menanggung sifat penglihatan Allah.
Selagi mata masih bersifat makhlok atau masih menjadi sebahagian dari anggota diri kita, selagi itulah wajah Allah tidak boleh mengambil tempat. Selagi sifat Allah tidak dapat mengambil tempat, selagi itulah, kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah melaluinya. Inilah konsep nafsiah, iaitu konsep menidakkan sifat makhlok supaya dapat menjadikan semuanya bersifat wajah Allah. Setelah kita berjaya dalam menidakkan, fana' dan leburkan diri kita ke dalam cahaya Allah, maka jadilah telinga kita itu, merupakan pendengaran Allah, jadilah mata kita itu, penglihatan Allah dan sebagainya.
Mata kita tidak layak untuk menanggung penglihatan Allah. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ianya merupakan pakaian dan persalinan Allah. Sifat kita selaku makhlok, tidak layak untuk memakai yang menjadi persalinan Allah. Seandainya kita terpakai persalinan Allah, cepat-cepatlah bertaubat.
Apabila Allah bersifat basor, Allah juga bersifat basirun. Apabila Allah bersifat qudrat, Allah juga bersifat Qodirun dan sebagainya. Oleh yang demikian bagi yang telah sampi kepada mskam (tahap) makrifat, menjadikan yang dilihat itu, adalah juga yang melihat dan yang melihat itu, adalah juga yang dilihat, yang disembah itu, adalah yang menyembah dan yang menyembah itu, adalah juga yang disembah. Dengan syarat diri kita telah binasa, mati, lebur, dan karam dalam zuk cahaya wajah Allah. Walaupun Allah itu bersifat dengan 20 sifat, namun semua 20 sifat itu, adalah esa (satu) juga dalam zatNya. Walaupun sifat Allah itu banyak, tetapi ia satu dalam zatNya.
Yang menjadikan sifat Allah itu berbilang-bilang adalah dikeranakan khayalan fikiran dan lemahnya sangkaan akal manusia. Sedangkan pada dasar dan pada hakikatnya, kesemua sifat Allah itu adaslah satu (esa), tidak berbilang-bilang.
Mempelajari, memahami serta mengetahui sifat nafsiah bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa, tidak ada yang berbentuk, melainkan yang berbentuk itu adalah bentuk bagi Allah dan tidak ada yang bersifat, melainkan yang bersifat itu hanya sifat bagi Allah. Tidak ada yang berupa melainkan yang berupa itu adalah rupa bagi Allah.
Di dalam memahami sifat nafsiah, kita dikehendaki menafikan, mematikan, melenyapkan, menghilangkan dan membinasakan semua sifat-sifat yang lain selain dari sifat Allah. Di peringkat pengajian ilmu sifat nafsiah, kita dikehendaki melihat bahawa hanya Allah sahaja yang ada, ujud, wujud dan maujud. Keujudan makhlok alam pada peringkat ini belum lagi boleh diletak dalam gambaran fikiran dan belum lagi boleh dibayangkan dalam ciptaan khayalan akal. Yang ada dan yang ujud pada peringkat sifat nafsiah itu, hanyalah Allah semata-mata.
Sifat nafsiah adalah sifat bagi mengajar kits tentang kewujudan Allah secara mutlak dan secara "wujudiah". (wujud yang meliputi), meliputi sekslian alam, meliputi sekalian makhlok dan meliputi sekalian diri kita. Sifat nafsiah dalam wujudiah itu adalah membawa makna keujudan Allah secara mutlak, secara bersendirian, secara keesaanNya, tanpa adanya lagi yang lain selain Allah. Seumpama bukan pokok yang bergoyang tetapi yang bergoyang itu adalah angin. Walaupun kita nampak yang bergoyang itu pokok, didalam kefahaman pengajian ilmu makrifah yang bergoyang itu bukan lagi pokok, sesungguhnya yang bergoyang itu adalah sifat angin. Inilah kedudukan sifat nafsiah dalam tafsiran makrifat.
Di dalam kita belajar sifat nafsiah dalam sifat 20 kita jangan lupa untuk menghubungkaitkan dengan kalimah syahadah. Pelajaran sifat nafsiah dalam sifat 20, bukan sekadar bertujuan untuk dihafal. Pelajara sifat nafsiah itu selain bertujuan untuk mengenal sifat Allah melalui sifat 20, ianya juga adalah bertujuan bagi mentafsir kalimah syahdah. Sifat nafsiah itu, adalah satu kaedah kiasan sahaja. Tujuan sebenar kiasan sifat nafsiah itu, adalah disasarkan kepada tafsiran dan pemahaman kalimah syahdah.
Sifat nafsiah apabila dikaitkan, diletak atau diterjemahkan pada tafsiran syahadah, ia berada pada kedudukan kalimah "LAA" (iaitu kalimah nafi). Kalimah nafi adalah kalimah menolak yang lain selain Allah, membinasakan yang lain selain Allah. Kuwujudan sifat-sifat yang lain itu, seumpama bayang cahaya. Apabila hilang cahaya maka hilanglah bayang.
Apabila kita dapat memahami dan menghayati pengertian isi ilmu nafsiah dalam sifat 20 dengan penuh penghayatan, ianya membuatkan ucapan syahdah kita, benar-benar diterima Allah.
Bagaimana cara ucapan syahdah yang penuh makna ! Adapun ucapan syahdah yang penuh makna itu, adalah dengan melafazkan ungkapan kalimah "Laa" dengan menghilangkan dan membinasakan sifat-sifat yang lain, selain Allah. Sehingga tidak ada lagi keujudan bulan, bintang, alam, dunia dan keujudan kehidupan diri, melainkan Allahlah yang ujud, wujud dan maujud, pada sekalian wajah alam.
Ucapan perkataan "Laa" adalah tahap ucapan yang tidak ada lagi sesiapa. Tidak ada apa-apa dikiri, dikanan, diatas, dan tidak apa-apa lagi dibawah kita, melainkan semasa melafazkan kalimah "Laa" kita dikehendaki mengisi keyakinan hati dan mengisi kepercaysan akal, bahawa tidak ada yang lain lagi pada keujudan alam ini, melainkan sekalian yang ada ini, adalah wajah Allah (yang meliputi segalanya). Itulah diantara tujuan kita mempelajari sifat nafsiah ( sifat 20 )
APAKAH BENTUK SIFAT NAFSIAH ?
Sifat nafsiah adalaj berbentuk "PERKHABARAN", sifat yang hanya ada pada zat Allah dan tidak memberi bekas kepada alam, sifat nafsiah itu, tidak pula boleh dikualiti dan tidak boleh dikuantitikan. Adanya Allah adalah ada yang mutlak, ada yang tidak dikeranakan oleh suatu kerana yang lain.
Sifat nafsiah adalah sifat yang mengkhabarkan kepada kita bahawa Allah itu ada, adanya Allah itu melalui perkhabaran yang tidak dapat dipegang atau dirasa dengan tangan, tidak dapat dizahirkan untuk dilihat. Perkhabaran adalah perkara yang tidak boleh disifatkan, tidak boleh dikualiti atau dikuantitikan. Ia hanya boleh dirasa dan diyakini oleh hati tanpa usul
SIFAT MA'ANI
Apakah maksud sifat ma'ani ?
Pengertian sifat ma'ani adalah membawa maksud "PERGANTUNGAN". Ma'ani adalah sifat yang menumpang kepada sifat lain, seumpama sifat hidup yang bergantung kepada sifat haiyun, seumpama sifat basor, yang bergantung kepada sifat basiron dan sebagainya. Sifat ma'ani adalah sifat yang bergantunh kepada sifat maknawiyah. Tanpa maknawiyah sifat ma'ani tidak berfungsi. Berfungsinya sifat ma'ani adalah dengan kerana limpahan rahmat dari sifat maknawiyah ( kuasa Allah ). Sifat ma'ani itu, bergantung dan menumpang sifat maknawitah.
Sifat Apakah Yang Terkandung DI Dalam Ma'ani ?
Sifat yang terkandung di dalam sifat ma'ani ada 7 perkara:-
1. Hayat. = hidup
2. Qudrat. = kuasa
3. Irodat. = berkehendak
4. Ilmu =. Mengetahui
5. Sama'. = mendengar
6, basot. = melihat
7. Qalam = berkata-kata
Apakah Bentuk Sifat Ma'ani ?
Bentuk sifat ma'ani itu, adalah sifat yang boleh dilihat dan boleh digambarkan oleh akal. Ianya juga merupakan sifat yang terzahit (tergambar) pada fikiran dan terbayang pada khayalan. Seumpama sifat hayat (hidup), ianya terbaayang kepada sifat nyawa, sifat melihat, terbayang pada sifat mata dan pendengaran, terbayang kepada sifat telinga. Kita boleh bayangkan sifat ma'ani, melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya.
Sifat ma'ani bukan sahaja terzahir pada khabar tetapi terzahir juga pada kenyataan, ertinya maujud pada khayalan fikiran dan maujud juga pada kenyataan sebenar. Ujud sifat ma'ani itu, adalah dikeranakan dengan sesuatu, kerana yang lain. Tanpa kerana sifat yang lain, sifat ma'ani tidak boleh wujud dan tidak boleh zahir. Wujudnya sifat ma'ani adalah dikeranakan menumpang sifat maknawiyah.
Bagaimana Menterjemah Sifat Ma'ani Pada Diri Kita ?
Sifat ma'ani Allah Ta'ala yang jelas terzahir pada diri kita ada 7.
1. Hidup
2. Mengetahui
3. Berkuasa
4. Berkehendak
5. Melihat
6. Mendengar
7. Berkata-kata
Ada dengan terang dan jelas menzahir sifat-sifatNya ke atas diri kita. Tujuan dizahirkan sifatNya supaya dijadikan sebagai pedoman, sebagai panduan dan sebagai iktibar untuk kita mengenal, melihat dan memandang Allah melaluinya. Allah bukan ain (bukan benda) yang boleh dikenal melalui bentuk hitam dan putih. Allah menzahirkan sifat-sifatnya ke atas diri kita adalah bertujuan supaya dijadikan "Tempat memandang sifat-sifatnya" kepada mereka-mereka yang berpandangan jauh.
Tetapi ramai yang masih tidak memerhatikannya. Sifat hidup, sifat mengetahui, sifat berkuasa, sifat berkehendak, sifat melihat dan sifat berkata-kata yang dipakai Allah atas diri kita, adalah menjadi tanda kebesaranNya atas diri kita supaya kita memerhati dan melihatnya. Sifat-sifat tersebut bukannya sifat peribadi kita tetapi sifat tersebut sebenarnya adalah hak kepunyaan mutlak Allah Ta'ala.
Sifat yang kita pakai ini adalah pinjaman semata-mata. Dari itu hendaklah kita sedar dan insaf akan hal itu. Kesemua sifat-sifat tersebut adalah hak milik Allah dan kepunyaan Allah swt yang sepatutnya dikembalikan semula kepada tuan yang empunya, sementara hayat masih dikandung badan. Penzahiran sifat ma'ani (angin) atas makluk (diri kita) adalah sekadar pinjaman yang berupa pakaian sementara, yang akhirnya dikehendaki kembali semula kepada tuan yang empunya. Allah tidak boleh diibarat atau dimisalkan dengan sesuatu.
Maha seci Allah dari ibarat dan misal. Segala misalan atau segala perumpamaan yang dinukilkan itu, hanya sekadar mempermudahkan faham. Sifat ma'ani itu, adalah seumpama bayang-bayang, manakala Allah Ta'ala itu, adalah seumpama tuan yang empunya bayang.
Firman Allah :-
25.Surah Al-Furqān (Verse 45)
أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا
Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan
bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)!
Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
Maksud hadis:-
"Allah Jadikan Manusia dalam bayangNya"
Maksud bayang itu, adalah merujuk kepada makhlok dan diri kita. Bayang (diri) sebenarnya tidak mempunyai apa-apa sifat. Bayang hanya sekadar sifat yang menumpang dari yang empunya bayang. Bergeraknya bayang adalah gerak daripada yang empunya bayang. Berdirinya bayang adalah dengan berdirinya tuan yang empunya bayang (Allah). Mustahil bayang itu boleh berdiri dengan sendiri tanpa kuasa dari yang empunya bayang (Allah). Bayang dengan yang empunya bayang itu, mustahil bersatu dan mustahil bercerai.
Diri kita dengan wajah Allah itu, adalah seumpama ujud bayang dengan yang empunya bayang atau seumpama bayangan wajah dipermukaan cermin. Sifat ma'ani itu tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa bergantung dari sifat maknawiah. Hubungan antara sifat ma'ani dengan sifat maknawiah itu, adalah seumpama hubungan antara bayang dengan yang empunya bayang, Contohnya seumpama sifat mata dengan penglihatan, sifat telinga dengan pendengaran dan sifat mulut dengan yang berkata-kata. Walau bagaimana keadaan sekalipun, ianya tetap tidak boleh bercerai dan juga boleh bercantum. Inilah yang dikatakan hubungan sifat ma'ani dengan sifat ma'anawiyah itu, bercantum tidak bercerai tiada.
Maksud hadis :-
"Tiada bercerai antara nafi dan isbat, dan siapa-siapa ceraikan antara keduanya maka ora g itu kafir adanya"
Bayang bukan cahaya tapi tidak lain dari cahaya. Cahaya bukan matahari tapi tidak lain dari matahari. Begitu jugalah contohnya hubungan antara Allah dengan diri kita. Dari itu marilah kita sama-sama mengambil faham dan insaf bahawa sifat yang kita miliki ini, sebenarnya hak kepunyaan Allah, yang harus kita serah kembali kepada yang empunya.
Tujuan mempelajari sifat ma'ani adalah bertujuan supaya kita mengaku bahawa sebenarnya diri kita ini tidak ada, tidak wujud dan terjadi. Yang wujud, yang ada dan yang terjadi adalah hanya semata-mata Allah, seumpama sifat bayang, terzahirnya bayang itu, adalah bagi tujuan menampakkan dan menyatan sifat yang empunya bayang itu sendiri.
Di dalam keghairahan membicarakan soal sifat ma'ani, harus diingat bahawa Allah tidak bertempat. Allah tidak menjelma keatas jasad. Allah tidak bertempat di dalam atau di luar badan, Allah tidak bersatu, tidak bercantum dengan badan, Allah bukan kesatuan, Allah bukan bersyarikat, bukan bercantum dengan jasad kita. Orang-orang yang mengaku bahawa Allah menjelma di dalam jasad dan tidak kurang pula ada yang mengaku Tuhan dan sebagainya. Sesungguhnya mereka-mereka itu, adalah tergolong dikalangan mereka-mereka yang sesat dan sejahil-jahil manusia.
Allah tidak ada dalam diri kita, tetapi kitalah yang ada dalam Allah. Bukan kita mengandungi Allah, tetapi Allahlah yang mengandungi kita. Bukan kita yang meliputi Allah, tetapi Allahlah yang meliputi kita. Kesemua sifat yang kita miliki ini adalah milik Allah, sifat yang ada pada diri kita akan hancur, binasa dan hilang lenyap, sifat yang kekal dan yang abadi itu, hanyalah Allah swt.
Firman Allah :-
28.Surah Al-Qaşaş (Verse 88)
وَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَۘ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُۚ لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada
Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua
dikembalikan.
Apa Hubungan Sifat Maani Dengan Roh ?
Sifat ma'ani adalah wajah Allah yang terzahir melalui sifat dan rupa paras roh, melalui sifat mata, mulut, telinga, dan anggota tubuh seluruhnya. Sebagaimana rupa dan paras roh, sebegitulah wajah ma'ani Allah, kerana rohlah sifat ma'ani Allah. Untuk melihat sifat ma'ani Allah lihatlah pada wajah dan sifat rupa paras diri kita sendiri. Hubungan roh dengan sifat ma'ani itu, seumpama sifat mata pada roh, penglihatan bagi Allah, telinga pada roh, pendengaran bagi Allah dan begitulah seterusnya.
Apakah Hubungannya Sifat Ma'ani Dengan Kalimah Syahdah?
Tujuan kita mempelajari dan mendalami ilmu ma'ani itu, adalah untuk membawa kepada pemahaman kalimah syahadah. Tujuan nafsiah membawa pengertian kepada lalimah "Laa" adalah kslimah bagi menafikan kewujudan sifat makhlok. Manakala sifat ma'ani kalimah "Ila ha" pula, bermaksud mengadakan atau mengiakan dan mengambil balik segala apa yang kita telah tolak dalam kalimah "Laa". Jika dalam kalimah "Laa" kita tolak semua sifat makhlok, manakala dalam kalimak "Ila ha" pula, ianya kita adakan semula. Walaupun sifatnya diadakannya kembali, ianya adalah sekadar sifat yang menumpang.
Jika dalam kalumah "Laa" kita mengaku bahawa tidak ada lain, selain Allah, manakala dalam kalimah "Ila ha" pula kita mengaku bahawa Allah telah menzahirkan makhloknya melalui 7 sifatNya, seumpama sifat hidup, kuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan sifat berkata-kata. Walau bagaimana pun 7 sifat tersebut diatas hanya sekadar sifat menumpang. Seumpama sifat sama' menumpang sifat sami'un, sifat basor menumpang sifat basirun dan begitulah seterusnya.
Untuk dihubung kaitkan dengan kalimah syahdah, kita hendaklah melihat sifat mata yang kita miliki, tidak berguna, tanpa penglihatan Allah, telinga kita tidak akan bermakna tanpa pendengaran Allah, mulut tidak bererti tanpa berkata-kata Allah, hidung tidak berguna tanpa hidup Allah, akal tidak bererti jika tanpa ilmu Allah, anggota tidak bermakna tanpa kuasa Allah. Segala-galanya yang ada pada kita bergantung dan menumpang sifat Allah.
Semasa melafazkan kalimah "Ila ha" dalam bersyahadah, kita dikehendaki mengingati diri kita bahawa sifat yang ada pada diri dan yang kita bawa ini, tidak boleh berdiri sendiri, hanyalah sekadar sifat yang menumpang dan bergantung kepada sifat Allah. Diri kita tidak memiliki apa-apa. Kita tidak akan dapat melihat tanpa basirun Allah dan kita tidak akan dapat mendengar tanpa samiun Allah. Dari kesedaran dan keinsafan itu, membawa hati kita kepada suatu perasaan kosong, hiba, hina, kerdil, miskin, kecil dan perasaan fakir dihadapan Allah. Inilah tujuan kita mempelajari sifat ma'ani.
Diri kita ini sesungguhnya yatim piatu yang tidak punya apa-apa. Ibubapa, anak-isteri, kaum-keluarga, harta benda, hidup mati dan kaya miskin itu, adala hak Allah ta'ala, yang boleh diambilnya balik pada bila-bila masa. Yang kita miliki ini, adalah semata-mata hak kepunyaan Allah. Ditangan Allahlah diri kita, segala kekuatan, kecantikan, kekayaan dan kegagahan yang selama ini kita megah-megahkan itu, sebenarnya adalah milik kepunyaan Allah. Dengan kefahaman bahawa, sifat diri kita ini, sebenarnya mati dan menumpang. Seumpama sifat mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan seluruh anggota, menumpang wajah kebesaran Allah. Yang hendahnya dikembalikan semula sifat itu kepada Allah.
Anggaplah diri kita ini, sudah mati, binasa, hilang dan lenyap dalam wajah Allah. Yang kita miliki ini, semuanya adalah hak Allah Ta'ala belaka. Hendaklah kita serah kembali kepada Allah. Kembalikan sifat-sifat tersebut kepada Allah. Jadikanlah diri kita ini seumpama fakir, muflis, hina, mati, binasa dan hilang dalam kekuasaan Allah. Inilah diantara hikmah dan diantara intipati mempelajari sifat ma'ani dalam sifat 20.
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Sifat Ma'ani ?
Peranan sifat ma'ani hanya sekadar menjadi saksi (kesaksian) Sifat ma'ani berperanan sekadar sifat menumpang. Seumpama basor, hanya menumpang kepada sifat basirun. Telinga menumpang sifat sama', manakala sama' pula menumpang sifat samiun. Lidah menumpang sifat kalam, manakala kalam pula menumpang sifat mutakallimun. Sifat ma'ani adalah sifat menumpang sifat maknawiah (sifat kekuasaan Allahh).
Dari kefahaman itu, dapatlah kita tilik diri sendiri, betapa sifat yang ada pada diri kita ini, semuanya kepunyaan Allah. Kita ada mata, tatapi Allah yang memiliki sifat penglihatan. Kita ada telinga tetapi Allah yang memiliki sifat pendengaran. Kita ada mulut tetapi Allah yang memiliki sifat berkata-kata. Begitulah seterusnya, yang menggambarkan bahawa diri kita ini adalah kepunyaan Allah.
Sifat ma'ani bertujuan supaya sifat Allah dapat dilihat melalui pancaindera, pada roh dan pada diri kita sendiri. Allah berilmu manakala diri pula bersifat mengetahui melalui akal. Allah berkudrat, manakala diri pula bersifat berkuasa melalui pancaindera. Allah berirodat, manakala diri pula bersifat berkehendak ( dapat berkeinginan melalalui rasa ). Allah bersifat sama' manakala diri pula bersifat mendengar melalui telinga. Allah bersifat basor manakala diri pula bersifat melihat melalui mata. Allah bersifat kalam, manakala diri pula bersifat berkata-kata melalui lidah.
Jangan sekali-kali kita menjadi lupa diri, bahawa semua sifat-sifat yang kita miliki ini, adalah kepunyaan Allah, diri kita ini, hanya sekadar menumpang sifat Allah. Apabila kita faham sifat ma'ani, dengan sendirinya membawa diti kita pulang kepangkuan Allah dengan tangan kosong, dengan menyerahkan segala sifat kepada Allah. Bahawasanya diri kita ini, sebenar nya adalah kepunyaan dan milik Allah sepenuhnya secara mutlak. Sifat yang kita pakai dan yang ada pada kita ini, seumpama sifat bayang (menumpang yang empunya bayang).
Setelah kita sedar, bahawa sifat yang kita pakai ini adalah sifat pinjaman dan menumpang sifat Allah, sebaiknya kembalikanlah semua sifat-sifat itu kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba memakai pakaian Allah, walaupun secara percuma atau secara pinjaman, kerana kita tahu bahawa pakaian Allah itu, amat tidak layak untuk dipakai oleh kita. Kita tidak layak memakai pakaian Allah dan kita tidak sajak untuk menerima pijaman Allah. Pakaian Allah itu, Allahlah pemiliknya, Allahlah yang layak memakainya. Sebenarnya kita ini, tidak punya apa-apa pakaian atau persalinan. Kita ini adalah ibarat tangan kosong. Yang menjadi milik dan kepunyaan kita bukan pakaian atau persalinan, yang menjadi mikik dan kepunyaan kita yang mutlak, adalah Allah itu sendiri.
Inilah konsep yang hendak diketengahkan dan yang hendak diterapkan melalui sifat ma'ani. Konsep serta kefahaman inilah yang benar-benar perlu kita fahami. Cuba fahami dan hayati betul-betul sifat ma'ani yang tujuh itu, apabila kita telah kasyaf dalam menghayati sifat ma'ani, di sinilah membawanya lebur dan terbakarnya sifat diri yang palsu dan yang menumpang ini.
Bagi mereka-mereka yang mengenal Allah, apabila dia cuba untuk memakai sifat Allah. maka hancur terbakarlah anggotanya, lebur musnahlah sifat jasadnya. Mereka tidak sekali-kali berani memakai sifat pakaian Allah. Pakaian Allah itu ada tujuh iaitu seumpama sifat hidup, ilmu, kudrat, irodat, samak, basor dan kalam, manakala pakaian kita juga tujuh isitu seumpama
1. Pakaian sifat mati (binasa)
2. Pakaian sifat bodoh dungu
3. Pakaian sifat lemah, lumpuh tidsk berupaya.
4. Pakaian sifat tidak berkemahuan, tidak berkehendak
5. Pakaisn sifat pekak dan tuli.
6. Pakaian sifat buta
7. Pakaian sifat bisu.
Inilah pakaian dan sifat-sifat yang kita pakai serta pakaian mereka-mereka yang mengenal diri dan yang mengenal Allah swt. Mereka ini beranggapan dan beriktikat bahawa, diri serta jasad mereka sudah mati, tidak ada, lebur dan binasa. Mereka tidak lagi berakal tidak lagi mempunyai kekuatan, tidak lagi berkemahuan, tidak berpendengaran, tidak lagi berpenglihatan dan tidak lagi bersuara,diri da. Jasad mereka sudah fana', sudah baqo' dan karam dalam wajah Allah swt.
Diri mereka tidak ubah seumpama manyat yang hidup. Mereka tidak memakai pakaian Allah, mereka tidak meminjam pakaian Allah, mereka tidak mengambil persalinan Allah, mereka tidak memakai apa-apa yang menjadi haq Allah. Tidak layak bagi mereka untuk menerima apa-apa yang menjadi milik Allah. Bagi mereka, segala-galanya adalah dari Allah, kepada Allah dan berserta Allah. Baiklah didalam tidur, dalam jaga, dalam gerak, dalam tutur kata, dalam penglihatan, pendengaran, berkeinginan Dan sebagainya, semuanya milik Allah
Bukan sifat mata yang mereka pandang, tetapi penglihatan Allah, bukan sifat telinga menjadi tumpuan, tetapi pendengaran Allah, bukan mulut menjadi keinginan, yang menjadi keinginan mereka ialah suara (kata-kata) Allah Allah. Yang berkeinginan dan berkehendak itu, adalah Allah swt. Yang berkuasa dan berilmu itu adalah Allah. Inilah kaedah pegangan iktikad orang makrifat, dalam menterjemah sifat ma'ani. Yang menjadikan hati kita penuh yakin kepada Allah.
Tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk dipelajari dan difahami, adalah untuk membawa kita kepada suatu keinsafan diri, bahawa semua yang kita miliki dan yang ada pada diri kita ini, sebenarnya adalah milik Allah. Setelah kita sedar yang segala-gala sifat itu menjadi milik Allah, hendaklah kita kembalikannya semula kepada Allah. Seandainya yang menjadi milik Allah itu telah kita serahkan semula kepada Allah, semasa hayat masih dikandung badan dan semasa masih berada didalam dunia, apabila kita pulang kerahmatullah kelak (setelah kita mati nanti), tidak ada apa-apa lagi yang perli ditanya, perlu dihisab dan perlu dipersoalkan oleh Malaikat Mungkar Dan Nakir.
Perkara yang membuat kita ditanya dan disoal itu, adalah kerana hutang sifat kita semasa di dunia masih belum dijelaskan, mereka yang belum melangsaikan pinjaman dan yang belum mengembalikan hak Allah semasa hayat masih ada dan semasa masih hidup didunia, hutang sifat yang kita pinjam dari Allah, hendaklah dikembalikan semula kepada Allah. Jika ianya dilangsaikan semasa di dunia, tidaklah ada lagi sial jawab dari Mungkar dan Nakir didalam kubur.
Apa lagi yang Allah hendak tuntut, apa lagi yang Allah hendak tagih dari kita, jika semuanya telah dikembalikan dan diserahkan kepadaNya. Hidup dan mati kita telah kita serahkan kepada Allah, jasad zahir dan batin telah dikembalikan kepada Allah. Apa lagi yang hendak Allah dakwa!, apa lagi yang hendak Allah tuntut !, yang hendak Allah dakwa dan tuntut itu, bagi mereka-mereka yang kembali kepangkuannya dengan tidak menjelaskan hutang sifat dan tidak mengembalikan hakNya. HakNya diambil pakai, diambil guna, tapi tidak pandai untuk memulangkan dan tidak pula pandai mengembalikannya semula kepada Allah.
Jika semuanya telah dikembalikan kepada yang empunya, nescaya tidak ada lagi, tuntut menuntut, dakwa-dakwi dan tidak lagi ada soal jawab kubur, malah dipintu surgalah kita disambut oleh Allah swt.
Inilah tujuan pengajaran sifat ma'ani diperkenalkan. Ini adalah tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk di ambil tahu oleh sekalian kita. Dengan mempelajari sifat ma'ani, akan membawa kita tahu untuk membezakan, yang mana hak kita dan yang mana hak Allah swt. Perhatikan sekali lagi perkara ma'ani dan hendaknya kita hayati dan tilik dengan mata hati yang kasyaf.
Selagi hayat masih dikandung jasad, kita di kehendaki mengembalikan hak kepada yang berhak, nantinya bila tiba di alam akhirat kelak, kita akan mendapat layanan dan sambutan yang istimewa dari penguasa langit, lain dari yang lain. Kita akan ditempatkan bersama orang yang sempurna lagi terpuji. Roh orang-orang sebeginilah di namakan roh mutmainnah, roh yang diterima Allah. Tempat kita itu, adalah disisi Allah, bukannya disisi tanah yang mengandungi ulat dan cacing.
Roh sebeginilah yang dikatakan roh yang suci bersih, roh yang sentiasa disertai air sembahyang, roh yang sentiasa di iringi dengan kalimah syahdah. Inilah roh mereka-mereka yang mati sebelum mati dan roh mereka-mereka yang mengenal diri semasa didunia. Inilah yang dikatakan roh yang mengenal tuannya. Tuan yang empunya roh itu, tidak lain dan tidak bukan hanya Allah swt yang satu lagi esa. Inilah penjelasan dan kupasan tentang kefahaman ilmu mengenal Allah (makrifat) melalui pelajaran sifat ma'ani dalam sifat 20, yang bukan sahaja setakat tahu makna tetapi hendaklah dihayati dengan isi disebaliknya.
SIFAT MAKNAWIYAH.
Apakah maksud sifat maknawiyah?
Pengertian sifat maknawiyah itu, membawa maksud sifat kekuasaan Allah, menjadi tempat pergantungan segala rupa (sifat), nama (asma'), berperangai (fe'el) dan pergantungan segala berzat (roh) krpadanya. Maknawiyah adalah tempat bergantungnya sifat ma'ani. Contohnya, bergantungnya sifat mendengar kepada pendengaran Allah, bergantung sifat melihat kepada penglihatan Allah dan begitulah seterusnya. Seumpama sifat cahaya (ma'ani) yang bergantung harap kepada sifat matahari (maknawiyah).
Begitu jugalah hubungan di antara sifat maknawiyah dengan sifat ma'ani, sebagaimana sifat ma'ani, sebegitulah rupanya sifat maknawiyah. Sebagaimana ciptaan, sedemikianlah penciptanya. Sebagaimana hasil, sedemikianlah acuannya. Sebagaimana yang awal sedemikianlah akhirnya, semuanya itu, adalah satu dari segi zatnya, cuma berbeza pada panggilan nama. Sifat Allah dengan hasil nukilannya seumpama bercerai tidak bersatu tiada. Pencipta (zat) dan ciptaan (sifatnya) adalah satu. Sifat bukan zat tetapi tidak lain dari zat. Sifat ma'ani dengan sifat maknawiyah, seumpama wajah orang yang menilik, dengan bayangan wajah di dalam cermin. Sifat maknawiyah bermaksud adalah bagi menggambarkan kekuasaan Allah. Sifat bagi menggambarkan akan kehebatan kekuasaannya.
Sebagaimana kuasanya Allah itu, sebegitulah besarnya Dia. Walau bagaimana besar dan kuasanya Allah itu, tidak bermakna tanpa ciptaannya (makluk kejadiannya). Tanpa kejadian alam dan tanpa penzahiran makhlok, segala kehebatan, kekuasaannya, dan segala kehebatan kebesaranNya tidak akan dapat diterjemah dan diperzahirkan untuk dilihat makhlukNya.
Kekuasaan Allah di dalam sifat maknawiyah, diterjemah melalui sifat ma'ani, manakala sifat ma'ani pula, diterjemah melakui pancaindera kita. Kejadian dan penzahiran sifat makhloknya yang bersifat ma'ani. Allah yang bersifat dengan segala keperkasaan pengetahuanNya, ianya tidak membawa apa-apa makna, tanpa diterjemahkan melalui diri kita ( sifat makhlok ).
Sifat kepandaian yang ada pada kita itu, sebenarnya ilmu Allah, dengan itu, walau setinggi manapun darjat kepandaian kita, kita tetap selaku hamba disisi Allah. Oleh itu janganlah kita bersifat sombong dan angkoh bila berada dan berjalan dibumi Allah. Dengan sifat mata yang cantik, wajah yang ayu, kuasa yang besar dan kekayaan yang menimbun, jangan pula menjauhkan dari mengingati Allah. Ingatlah segala sifat yang ada pada kita itu adalah wajah bagi Allah. Hendaknya kita itu, bersifat rendah diri, pemalu, tidak sombong, murah hati dan bersifat sopan santun di dalam menzahirkan sifat Allah atas diri kita. Jangan bakhil atau kedekut dengan harta yang Allah hamburkan melalui kita, rajin-rajinlah bersedekah dan bantu membantu kepada orang yang memerlukan, samada dalam bentuk wang ringgit, mahupun tenaga dari anggota zahir. Semua sifat itu, bukannya untuk menggambarkan kebaikan atau kebesaran diri kita, tetapi bagi menzahirkan sifat kekeasaan Allah Ta'ala.
Maksud diperkenalkan ilmu sifat maknawiyah, adalah bertujuan supaya kita dapat memati, membinasa, dan mengembalikan sifat anggota jasad. Seumpamanya dengan membinasakan sifat mata, dengan sendirinya akan membinasakan pula sifat meluhat. Setelah kedua-dua sifat mata dan sifat melihat (basor) telah dapat dibinasakan (dikembalikan) kepada Allah, dengan sendirinya sifat basirun Allah (sifat yang memberi pengkihatan) akan dapat kita lihat.
Setelah ketiga-tiga sifat pancaindera, sifat ma'ani dan sifat maknawiyah dapat kita serahkan semula kepada Allah. Disitulah nantinya, kita akan dapat melihat, bahawa diri kita telah lebur, disitulah, kita akan dapat menatap dan memandang bahawa, semua yang ada itu, adalah wajah Allah. Tidak sempurna ilmu maknawiyah jika kita tidak mengembalikan ketiga-tiga sifat tersebut, jangan pula kita kembalikan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Seandainya dikembalikan sifat penglihatan sedangkan sifat mata tidak dikembalikan, ini tidak membawa makna dan konsep maknawiyah. Maknawiyah bukan sahaja sifat yang terletak pada kita, tetapi juga terletak pada sekalian makhlok alam seluruhnya. Termasuklah alam haiwan, alam bukit bukau, alam jin dan seluruhnya seisi alam.
Sifat Apakah Yang Terkandung Di Dalam Maknawiyah ?
7 Sifat maknawiyah yang terkandung didalam sifat 20
1. Haiyun = Yang hidup
2. Alimun = Yang tahu
3. Muridun = Yang berkehendak
4. Qodirun = Yang berkuasa
5. Samiun = Yang mendengar
6. Basirun = Yang melihat
7. Mutakallimun = Yang berkata-kata.
Apakah Bentuk Sifat Maknawiah ?
Sifat maknawiyah (sifat kekuasaan Allah Ta'ala), hanya ujud pada zat Allah, tidak memberi bekas kepada alam. Maknawiyah tidak boleh dikualiti atau dikuantiti. Maknawiyah adalah suatu sifat yang menggambarkan ketinggian, kebesaran dan kekuasaan Allah. Sifat kebesaran Allah itu tidak boleh diterjemahkan kepada penglihatan. Seumpama Allah bersifat tinggi atau besar setinggi dan sebesar mana Allah itu, tidak dapat dizahirkan melalui kuantiti penglihatan atau jangkauan akal. Tujuh sifat maknawiyah adalah tempat bergantung tujuh sifat ma'ani. Maknawiyah menanggung dan mendukungi sifat ma'ani. Sifat maknawiyah adalah tempat tumpang dan pergantungan sifat ma'ani.
Apakah Peranan Sifat Maknawiyah ?
Tujuan sifat maknawiyah dijadikan dan diciptakan Allah itu, adalah bertujuan untuk menzahirkan, mempernampak dan untuk memperlihatkan sifat kekuasaannya atas makhlok. Hendaknya dengan ciptaan sifat maknawiyah itu, makhlok akan dapat mengenal Allah melalui tujuh sifat kekuasaanNya.
Rupa alam ini, adalah merupakan bekas, bayang atau wajah Allah. Oleh itu bagi sesiapa yang berhajat untuk mengenal Allah, maka lihatlah alam dan jangan lupa untuk melihat pula kepada diri sendiri. Diri kita ini hanya bersifat ma'ani (tetamu) yang menumpang sifat maknawiyah Allah. Sifat maknawiyah Allah yang ternyata atas diri kita itu, adalah seumpama rumah, manakala sifat ma'ani pula seumpama tetamu. Diri kita ini, merupakan tetamu yang menumpang rumah Allah (ma'ani menumpang sifat maknawiyah). Sifat tuan itu hanya ada pada Allah dan bukan pada diri kita, kita hanya selaku hamba (tetamu).
Oleh itu kita jangan sekali-kali bersifat angkoh. Jangan anggkoh sesama manusia, apa lagi kepada Allah, kerana semua sifat yang ada pada kita itu adalah sifat menumpang, jadi sedarlah diri itu sikit. Selaku menumpang, buatlah cara menumpang, jangan pula tinggi kadok dari junjung. Untuk mengatakan alam ini merupakan Allah, sudah tentu kurang manis pada pandangan syara' dan tidak layak pada hukum, mana mungkin sifat Allah untuk disamakan dengan sifat makhlok, tetapi menurut pengajian ilmu makrifat dalam mentafsir sifat 20, telah mengisyaratkan bahawa, segala sifat yang bersifat itu, sebenarnya adalah sifat bagi Allah, segala nama yang bernama itu, adalah nama bagi Allah, segala perangai atau gerak geri yang bergerak itu, adalah gerak Allah dan segala zat yang berzat itu, adalah zat bagi Allah. Menurut kacamata ilmu makrifat, alam ini sudah binasa, sudah hilang ghaib dalam wajah Allah. Yang ada (yang wujud) hanyalah Allah. Jikalau pun ada yang bersifat wujud selain dari Allah, itu cuma sekadar bayangan nama dari hayalan akal.
Sifat Allah itu termasuk segala-galanya, yang batin mahupun yang zahir, termasuk sifat yang dulu mahupun sifat yang sekarang. Awal itu adalah Allah, maka akhir pun juga adalah Allah. Tinggal lagi cara mana kita memahami sifat 20 dan cara mana kita mentafsir sifat maknawiyah dan sifat ma'ani keatas diri kita. Ianya bergantung kepada cara mana kita meletakkan diri dalam wajah Allah dan cara mana wajah Allah itu, terletak pada diri kita. Bagi yang pandai meletakkan sesuai pada tempatnya disitu kita akan dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya. Ianya saling berkaitan antara satu sifat dengan sifat yang lain. Alam mendukung dan mengandungi sifat ma'ani, manakala ma'ani pula didukungi dan dikandungi oleh sifat maknawiyah.
Maknawiyah pula didukung oleh sifat salbiah, manakala sifat salbiah pula mendukung kesemua sifat. Sifat ma'ani dan sifat maknawiyah (sifat menumpang dan sifat yang ditumpangi) adalah menumpang pula sifat salbiah Allah (sifat kebesaran dan kesempurnaan Allah)
Tujuan sifat maknawiyah dicipta adalah, bagi menyedarkan diri-diri kita semua, bahawa hidup ini, adalah kerana ada Yang Maha Menghidupkan, psndainya kita ini, adalah kerena adanya Yang Maha berilmu, kuasanya kita ini adalah kerana adanya Yang Maha Berkuasa, kemahuan kita ini adalah kerana ada Yang Maha Berkehendak. Makhlok tidak boleh hidup tanpa yang empunya hidup, makhlok tidak berfikiran tanpa yang empunya ilmu, makhlok tidak berupaya dan tidak berkemahuan, jika tidak dengan keupayaan dan kemahuan Allah swt.
Apakah Hubungan Sifat Ma'ani dan Maknawiyah Dengan Diri Kita?
Perhubungan diantara sifat ma'ani dengan sifat maknawiyah itu, adalah seperti berikut;
1. Bukan hayat yang hidup, sifat hidup yang ada pada hayat kita adalah bagi menyatakan dan menzahirkan haiyun yang ada pada zat Allah.
2. Bukan ilmu yang tahu, sifat tahu yang ada pada ilmu kita itu adalah bagi menyatakan dan menzahirkan sifat Alimun yang ada pada zat Allah
3. Bukan irodat yang berkehendak, sifat berkehendak yang ada pada irodat kita itu adalah bagi menyatakan dan bagi menzahirkan sifat muridun yang ada pada zat Allah.
4. Bukan kudrat yang berkuasa, sifat berkuasa yang ada pada kita itu adalah bagi menyata dan bagi menzahirkan sifat kodirun yang ada pada zat Allah.
5. Bukan samak yang mendengar, sifat mendengar yang ada pada kita itu adalah bagi menyatakan dan bagi menzahirkan sifat samiun yang ada pada zat Allah.
6. Bukan basor yang melihat, melihat yang ada pada kita itu adalah bagi menyatakan dan bagi menzahirkan sifat basirun yang ada pada zat Allah.
7. Bukan kalam yang berkata-kata, sifat berkata-kata yang ada pada kita itu adalah bagi menyatakan dan bagi menzahirkan sifat mutakallimun yang ada pada zat Allah.
Sifat ma'ani menumpang sifat maknawiyah, sifat maknawiyah pula menjadi tempat bergantungnya sifat ma'ani. Seumpama sifat penglihatan (ma'ani) bergantung kepada yang memberi penglihatan (makknawiyah), manakala sifat yang memberi penglihatan (maknawiyah) menumpang dan bergantung pula kepada Yang Maha Esa (salbiah). Mempelajari sifat ma'ani yang tujuh dan mempelajari sifat maknawiyah yang tujuh tidak akan memberi apa-apa menafaat, jika ianya tidak dihubungkaitkan dan jika tidak dirujuk kepada diri kita sendiri. Dengan cara menghubungkaitkan pelajaran sifat-sifat tersebut keatas diri kita, barulah ianya mendatangkan menafaat kepada diri.
Bagaimana cara untuk menghubungkaitkan sifat tersebut dengan diri kita ?. Kaedah untuk menghubung kaitkan sifat tersebut dengan diri kita adalah dengan cara melihat kepada sifat mata kita, yang berfungsi selaku untuk menzahirkan sifat basor (melihat), melalui basirun Allah (penglihatan Allah).
Begitu juga dengan sifat nyawa kita, yang berfungsi selaku untuk menzahirkan sifat hayat (hidup), melalui sifat haiyun Allah (penghidupan Allah). Apabila kita lihat sifat basor, sifat hayat, sifat sama', dan lain-lainnya, yang ada pada diri kita ini, hendaknya jangan kita lupa untuk memandang kepada tuan yang empunya sifat. Apa gunanya mata, jika tidak dilengkapi dengan penglihatan, apa gunanya telinga, jika tidak dengan pendengaran.
Segala penglihatan dan segala pendengaran kita itu, dari mana asal datangnya, jika bukan daripada Allah. Apabila kita tahu bahawa semua itu datangnya dari Allah, hendaknya jangan kita lupa akan asal usul diri kita. Bila kita tidak lupa asal usul, membuatkan kita tidak lupa kepada Allah selaku tuan punya kepada sifat yang ada atas diri kita ini. Apabila kita sedar bahawa sifat-sifat yang kita miliki dan yang ada atas diri kita ini sebenarnya adalah hak Allah. Dari itu jangan pula kita lupa untuk dikembalikannya semula kepada tuannya yang asal (Allah). Inilah kaedah mengenal sifat maknawiyah Allah atas diri kita. Apa sahaja ilmu yang kita belajar, semuanya menuju kepada penyerahan dan mengenal Allah Ta'ala.
Kita ada mata, telinga, mulut dan sebagainya, namun sifat-sifat tersebut, hanyalah sekadar menumpang sifat penglihatan, pendengaran dan kalam Allah. Sifat yang ada pada diri kita itu juga, hanyalah sifat sementara yang menumpang kasih dari sifat Allah. Setelah sedar yang diri kita sekadar menumpang, janganlah kita bersifat anggkoh, bakhil, kedekut, tamak, dengki, khianat dan jangan bersifat sombong. Buat apa sombong, sedangkan pakaian yang kita pakai ini, bukannya milik kita.
Jika kita sudah sedar bahawa itu adalah barang pinjaman, harapnya dikembalikan dengan seberapa segera yang boleh, jangan bertangguh-tangguh lagi. Jika ditangguh-tangguh, bimbang nanti kalau-kalau ajal terlebih dahulu datang menjemput sebelum sempat untuk dikembalikan.
Tujuh sifat ma'ani Allah dan sifat maknawiyah Allah itu, hanya akan dapat diterjemah melalui penzahiran sifat makhlok, seumpama anggota mata pada sifat ma'ani bermakna penglihatan pada sifat maknawiyah Allah, yang hanya dapat diterjemah melalui diri kita. Seumpama sifat pendengaran dan berkata-kata pada maknawiyah, bila diterjemah pada diri kita, ianya akan memperlihat dan mempamerkan sifat kekuasaan Allah atas sifat diri kita sebagai makhlok. Sifat dua puluh itu, adalah sifat Allah, sungguhpun begitu, kita hendaklah mentafsirkan ia ke atas diri kita, barulah kita dapat mengenal Allah melaluinya.
Dari itu juga, ianya menampakkan dan memperlihatkan lagi betapa kecil dan kerdilnya kita. Tanpa sifat-sifat Allah, kita bukanlah siapa-siapa. Kita tidak boleh berdiri sendiri, tanpa zat Allah. Bagi yang berpandangan, cuba-cubalah tiliki diri sendiri, dengan cara mengenal diri sendiri, InsyaAllah mudah-mudahan supaya Allah pula dapat kita knenal.
Renungi sedalam-dalamnya ke dalam diri masing-masing. Disitu akan kita temui diri kita yang sebenar dan temui juga akan kebesaran, kesempurnaan dan keagungan Allah. Sifat yang kita pakai dan sifat yang kita bawa ini adalah hak Allah Taala sepatutnyalah dan selayaknyalah dikembalikan dan dipulangkannya semula kepada yang berhak.
Diri kita tidak ubah seumpama sifat orang yang sudah mati. Sungguhpun orang mati ada mata, ada telinga dan ada mulut tetapi mata, mulut dan telinganya tidak dapat berfungsi apa-apa tanpa yang menghidupkannya. Yang menghidupkan ma'ani itu, adalah sifat maknawiyah Allah.
Pelajaran ini adalah semata-mata untuk menyedarkan kita, untuk menginsafkan kita bahawa, yang empunya penglihatan, pendengaran, suara, suami, isteri, anak, makan minum, kesihatan, pakaian, perlindungan tempat tinggal dan sebagainya itu, adalah datangnya dari Allah swt belaka dan bukannya dari hasil daya usaha atau titik peluh kita. Kebanyakkan dari kita tidak nampak dan tidak sedar, yang semua itu adalah datangnya dari Allah. Ada diantaranya, sengaja buat-buat tidak nampak.
Kebanyakkannya hanya pandang sifat mulut, hanya nampak sifat mata dan hanya lihat sifat telinga, tidak terpandang oleh mereka kepada yang empunya penglihatan, pendengaran dan tidak terpandang kepada tuan asal yang empunya segalanya. Sekali lagi marilah sama-sama kita kembali kepada Allah. Supaya dengan cara ini, kita memperolehi ketenangan jiwa, redho dengan apa yang berlaku, ikhlas dalam beribadah, jujur dalam pekerjaan dan membuatkan hati kita sentiasa berserah kepada Allah Yang Maha Esa.
Bagi yang masih tidak nampak, sesungguhnya mereka itu buta. Buta mata zahir dan buta mata hatinya. Selagi diri tidak dibinasakan (diserahkan) kepada Allah selaku tuan asal yang empunya segalanya, selagi itulah kita tidak akan dapat untuk membezakan antara sifat Allah dengan sifat diri kita. Apakah mereka sangka sifat diri kita sama dengan sifat Allah! Sifat Allah tidak sama dengan sifat makhlok, tetapi dalam masa yang sama, ianya juga tidak lain dari itu.
Hidup ini seumpama suara yang tersimpan di dalam halkum. Segala apa yang terjadi (terzahir) dan yang bakal terjadi itu, sudah sedia ada dalam pengetahuan Allah, sudah tertulis, termeterai dan terpahat di dalam ilmu Allah sejak azali lagi, tanpa berubah atau terpinda sedikitpun darinya. Segala kejadian itu, akan terjadi dan akan terzahir mengikut apa yang sudah tersurat, itulah makanya sebagai umat Islam, di sarankan supaya berserah diri dan.. (bersambun)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar